Sungguhpun Parti Kemajuan Singapura (PSP) mengambil pendekatan lebih ‘fokus’ bagi kempen Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), ia tidak membuahkan hasil yang setimpal.
Dalam penampilan sulung PSP pada GE2020, parti itu menandingi 24 kerusi di empat Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) dan lima Kawasan Undi Perseorangan (SMC).
Kali ini, ia tertumpu pada 13 kerusi meliputi dua GRC dan empat SMC.
Usaha lebih fokus ini juga melihat parti itu memberi tumpuan kepada tiga isu utama – mengurangkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), dasar perumahan dan pengalaman di Parlimen sebagai Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP).
Namun, parti itu tewas semua kerusi yang ditandingi pada GE2025 berdasarkan keputusan rasmi.
Setiausaha Agung parti, Encik Leong Mun Wai, menyifatkan keputusan itu sebagai “mengejutkan” dan ia akan menilai semula strategi kempen pilihan raya bagi memperoleh lebih kepercayaan rakyat.
Bercakap di luar ibu pejabat PSP di Pusat Beli-belah Bukit Timah dengan nada sugul pada 3 Mei, Encik Leong berkata:
“Keputusan ini mengejutkan kami, tetapi warga Singapura telah membuat keputusan.
“Kami akan mengkaji perkara ini dan mempertimbangkan secara serius bagaimana kami dapat memperoleh lebih kepercayaan daripada orang ramai pada masa hadapan.
“Kami mungkin perlu menyemak strategi dan cara kami melakukan sesuatu.”
Awal dari itu, calon PSP di GRC West Coast-Jurong West, Encik Sumarleki Amjah, tiba di ibu pejabat PSP bersama Encik Jeffrey Khoo, yang bertanding di SMC Marymount, sekitar 10.50 malam.
Calon SMC Pioneer, Cik Stephanie Tan, adalah yang terakhir tiba.
Selepas Encik Leong berucap, kesemua calon parti itu meninggalkan ibu pejabat dengan wajah sugul sekitar 11 malam, setelah sidang akhbar dibatalkan.
GRC West Coast-Jurong West yang dijangka melihat persaingan sengit antara PSP dengan parti pemerintah Parti Tindakan Rakyat (PAP) tidak menjadi realiti dengan PSP hanya mendapat 39.99 peratus undi berbanding 60.01 peratus bagi PAP, berdasarkan keputusan rasmi.
Pada GE2020, 3.38 peratusan mata undi memisahkan kededua parti bagi GRC West Coast – kini GRC West Coast-Jurong West menyusuli laporan Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC) pada Mac.
Keputusan lain bagi GRC Chua Chu Kang, PSP tewas kepada PAP dengan 36.41 peratus undi.
Pasukan PSP GRC West Coast-Jurong West merangkumi pengerusi parti, Dr Tan Cheng Bock; Setiausaha Agung parti, Encik Leong Mun Wai; naib pengerusi pertama parti, Cik Hazel Poa; dan dua muka baru, peguam Encik Sani Ismail dan ketua perniagaan Encik Sumarleki Amjah.
Dr Tan, Encik Leong dan Cik Poa merupakan calon yang bertanding bagi GRC West Coast pada GE2020.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg