Topik diikuti
Pergi ke BHkuPengamat: Ahmad Samsuri suntik nafas baru pembangkang M’sia
Pengamat: Ahmad Samsuri suntik nafas baru pembangkang M’sia
Meskipun selaku Ketua Pembangkang, beliau berdepan ujian besar imbangi sokongan akar umbi konservatif, tentang dasar Anwar Ibrahim di Parlimen
Pengamat: Ahmad Samsuri suntik nafas baru pembangkang M’sia
Pelantikan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, sebagai Ketua Pembangkang di Malaysia pada 16 Mei menandakan fasa baru dalam politik pembangkang, di mana Parti Islam SeMalaysia (PAS) mempamerkan wajah kepimpinan baru yang beralih daripada imej Islamik tradisionalnya.
Beliau menyandang lima jawatan lain pada waktu sama, iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rhu Rendang, Menteri Besar Terengganu, Ahli Parlimen Kemaman, Naib Presiden PAS dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN).
Pengamat yang dihubungi Berita Harian (BH) berkongsi walaupun Dr Samsuri, yang mesra dikenali sebagai Dr Sam, mempunyai imej teknokrat yang boleh memenangi undi golongan sederhana, karyawan dan pengundi bukan Islam, beliau berdepan beberapa cabaran.
Antara lain, cabaran itu termasuk membuktikan keupayaannya di Parlimen untuk menunjukkan beliau mampu berhadapan secara langsung dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selain mengekalkan sokongan daripada pengundi tegar.
Fasa baharu PAS
Pelantikan Dr Sam diputuskan oleh Majlis Agung PN pada 16 Mei.
Beliau menggantikan Datuk Seri Hamzah Zainuddin, yang dilucut jawatan selepas beliau disingkir daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), yang menganggotai PN pada 13 Februari.
PN adalah gabungan parti politik yang dibarisi empat parti komponen, iaitu PAS, Bersatu, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).
PN juga membentuk kerajaan di empat negeri, iaitu Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Zamil Utama dan Penyelaras Program Sosial dan Budaya di Iseas-Institut Yusof Ishak dan Penyelaras Program Pengajian Sosial dan Budaya Serantau, Dr Norshahril Saat, berkongsi pelantikan Dr Sam boleh dilihat sebagai isyarat PN menjadikan Dr Sam sebagai lambang pakatan pembangkang.
Selain itu, Zamil Kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Dr Oh Ei Sun, berkata perkara itu mencerminkan tolak ansur yang agak bijak antara golongan tegar PAS yang ingin memastikan parti itu akhirnya berjaya merangkul jawatan ketua pembangkang, dengan golongan sederhana dalam PAS dan parti komponen lain yang ingin melihat penampilan tokoh yang lebih diterima oleh penyokong bukan PAS.
Sekali gus, ia meningkatkan peluang kemenangan PN dalam pilihan raya.
Menelusuri sejarah PAS, Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 2023 menandakan satu titik penting, di mana gabungan parti politik PN berjaya memenangi 105 daripada 127 kerusi, yang ditandingi di enam negeri.
Kemenangan ini telah meletakkan PN sebagai pesaing hebat dalam menerajui kepimpinan negara bagi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, yang dijangka diadakan pada 2027, namun berpotensi berlangsung lebih awal.
Cabaran kian memuncak
Berbanding imej pembangkang yang selama ini sering dilihat terlalu tegar, mudah memberi reaksi atau terlalu bergantung pada retorik agama-politik, Dr Sam menampilkan wajah yang tidak sentiasa tampil cenderung menentang.
Kedudukan Dr Sam sebagai bukan ulama turut menunjukkan PN bersedia menonjolkan sikap seseorang yang berprinsip agama, tetapi juga seorang yang profesional.
Namun, keupayaannya masih belum memuaskan, ujar pengamat.
Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya (UM) pula berkata Dr Sam perlu membuktikan pembangkang bukan sekadar kuat menolak dasar kerajaan, bahkan mampu menawarkan dasar gantian yang matang dalam ekonomi, kos sara hidup, hubungan persekutuan-negeri, pendidikan, pelaburan dan reformasi institusi.
“Bagaimanapun, ujian sebenar Dr Sam bukan pada pelantikan, tetapi pada prestasi beliau di Parlimen.
“Jika beliau berjaya membawa wacana pembangkang ke tahap dasar, angka, penyelesaian dan semak imbang yang berwibawa, maka beliau boleh muncul sebagai aset nasional PN.
“Tetapi jika beliau sekadar mewarisi politik serangan lama, peluang membina imej negarawan pembangkang akan terhad,” kongsi Dr Awang Azman.
Di samping itu, Dr Sam juga perlu menunjukkan kebolehan dalam Parlimen Malaysia, dan berdebat dengan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Dr Norshahril.
Dalam pada itu, Dr Oh berpendapat ketua pembangkang baharu itu berdepan cabaran lain dari sudut mengekalkan sokongan daripada pendukung kuat PAS.
Katanya: “Beliau (Dr Sam) lebih mudah diterima oleh penyokong bukan PAS, namun mungkin dilihat tidak cukup konservatif dan kurang berorientasikan keagamaan bagi kebanyakan penyokong tegar PAS.”
Siapakah Dr Sam?
Dr Sam, 55 tahun, mempunyai latar belakang akademik dalam bidang kejuruteraan dan memperoleh ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Penyalaan dan Pembakaran Aeroenjin serta Kegagalan Enjin Altitud Tinggi dari Sekolah Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Leeds.
Beliau pernah dilantik sebagai Ketua Jabatan Kejuruteraan Aeroangkasa Universiti Putra Malaysia (UPM) dari 2003 hingga 2008, serta Profesor Madya di jabatan yang sama dari 2006 hingga 2008.
Dalam bidang politik, beliau pernah menjadi Setiausaha Politik kepada Presiden PAS dari 2008 hingga 2018; Timbalan Pengerusi Lajnah Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat dari 2015 hingga 2017; serta Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat dari 2017 hingga 2019.
Beliau juga merupakan ahli Jawatankuasa Lajnah Politik dan Pilihan Raya PAS Pusat sejak 2009; Naib Presiden PAS sejak 2019; dan Adun Rhu Rendang sejak 2018.
Dalam pentadbiran negeri, beliau ialah Menteri Besar Terengganu dari 2018 hingga 2023, sebelum dilantik semula ke jawatan itu pada 15 Ogos 2023.
Kerjaya Dr Sam yang merentasi pelbagai bidang seperti akademik, pentadbiran dan politik menyumbang kepada wajah model Islam teknokrat yang ditonjolkannya.
Namun, wajah model tersebut bukanlah sesuatu yang asing dalam sejarah PAS.
Memberi contoh, Dr Norshahril berkata pada 2015, pemimpin teknokrat PAS menubuhkan Parti Amanah kerana tidak bersetuju dengan Majlis Syura Ulamak PAS.
“Saya fikir Dr Sam sudah belajar daripada sejarah PAS bahawa kepimpinan parti masih milik ulama, dan beliau hanya menjalankan tugas kepimpinan lain seperti pentadbiran.
“Ini menunjukkan dalam PAS masih ada sempadan agama dan sekular, yang sangat terkenal sejak 1980-an,” kata Dr Norshahril.
Sementara itu, pada awal Mei, Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, telah bertemu dengan Dr Sam di Terengganu.
Dr Sam menyambut kunjungan Encik Lee dan delegasinya dalam kapasiti beliau sebagai Menteri Besar negeri itu.
Di samping itu, Dr Sam juga dilihat mengadakan pertemuan dengan pegawai asing dari Australia dan Perancis.
Ia termasuk pertemuan bersama Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Cik Danielle Heinecke, pada awal Mei dan Duta Perancis ke Malaysia, Encik Marc Abensour, pada Mac.
Ini memberi isyarat Dr Sam mampu berinteraksi dengan tokoh antarabangsa dalam suasana tenang, teratur dan pragmatik, kata pengamat yang dihubungi BH.
Hal ini penting dalam memecahkan stereotaip kepimpinan PAS hanya layak berada dalam ruang politik domestik atau di negeri-negeri majoriti Melayu/Islam sahaja, tambah mereka.
“
“Ujian sebenar Dr Sam (Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar) bukan pada pelantikan, tetapi pada prestasi beliau di Parlimen. Jika beliau berjaya membawa wacana pembangkang ke tahap dasar, angka, penyelesaian dan semak imbang yang berwibawa, maka beliau boleh muncul sebagai aset nasional PN. Tetapi jika beliau sekadar mewarisi politik serangan lama, peluang membina imej negarawan pembangkang akan terhad.”“
“Saya fikir Dr Sam sudah belajar daripada sejarah PAS bahawa kepimpinan parti masih milik ulama, dan beliau hanya menjalankan tugas kepimpinan lain seperti pentadbiran. Ini menunjukkan dalam PAS masih ada sempadan agama dan sekular, yang sangat terkenal sejak 1980-an.”