Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Vivian: Mandat kukuh pemerintah penting bagi S’pura di peringkat sejagat

May 5, 2025 | 4:03 PM
Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan (dua dari kanan), bersama Anggota Parlimen (AP) Parti Tindakan Rakyat (PAP) di GRC Holland-Bukit Timah, (dari kiri) Encik Christopher de Souza; Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Negara), Cik Sim Ann; dan Encik Edward Chia, berjaya mengekalkan kerusi mereka di kawasan undi itu dengan memperoleh 79.29 peratus undi.
Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan (dua dari kanan), bersama Anggota Parlimen (AP) Parti Tindakan Rakyat (PAP) di GRC Holland-Bukit Timah, (dari kiri) Encik Christopher de Souza; Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Negara), Cik Sim Ann; dan Encik Edward Chia, berjaya mengekalkan kerusi mereka di kawasan undi itu dengan memperoleh 79.29 peratus undi. - Foto ST

Mandat kukuh yang diperoleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), merupakan kelebihan besar bagi Singapura, kata Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan.

Dalam satu wawancara dengan The Straits Times (ST) pada 4 Mei, beliau berkata pencapaian cemerlang Parti Tindakan Rakyat (PAP) dalam GE2025, mendatangkan faedah dalam kedudukan negara di peringkat sejagat.

PAP memenangi 87 daripada 97 kerusi dan memperoleh 65.57 peratus undi, meningkat daripada 61.24 peratus undi pada GE2020.

Menekankan pentingnya Encik Wong mendapat mandat kukuh bagi GE2025, Dr Balakrishnan, berkata: 

“Apabila perdana menteri berkata sesuatu, pemimpin lain tahu kita mampu melaksanakannya dan memastikan ia berjaya. 

“Apabila mana-mana menteri berkata sesuatu, mereka tahu pendirian tersebut telah diselaraskan.

“Tiada siapa yang bertindak sendiri, ini bukan persembahan solo. Ini adalah satu pasukan yang telah diselaraskan dengan teliti.”

Menurut Dr Balakrishnan, dunia sedang menuju ke arah peralihan baru dan tempoh ini penuh dengan bahaya, walaupun pada masa ini tidak dapat dipastikan perkara yang bakal membentuk dunia baru itu.

Memandangkan Singapura adalah sebuah kota kecil dan jumlah perdagangannya tiga kali ganda daripada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP), dan ia bergantung kepada perdagangan bebas tanpa sekatan, perkembangan dunia kini akan membawa cabaran besar bagi negara ini, tambah Dr Balakrishnan.

Menyamakan Singapura dengan sebuah ‘kapal kecil’, beliau berkata adalah penting untuk memastikan kapal tersebut berada dalam keadaan terbaik dan semua yang berada di atas kapal berasa selamat ketika menghadapi badai.

“Pada masa seperti itu, anda memerlukan seorang kapten yang mempunyai pandangan menyeluruh tentang keadaan yang lebih besar, yang mempunyai hala tuju yang jelas, tahu ke mana hendak berlayar, dan memastikan semua bekerjasama.

“Beberapa tahun mendatang tidak akan menjadi mudah. Kita tidak boleh yakin bahawa kejayaan semalam tiba-tiba membawa makna yang semua baik-baik sahaja. Ia bukan begitu. 

“Kami sedang bersedia memastikan kapal kami dan semua orang di dalamnya selamat sampai ke destinasi,” jelas Dr Balakrishnan.

Beliau berkata demikian kepada ST selepas beramah-tamah dengan penduduk di Plaza Bukit Panjang, bersama Anggota Parlimen (AP) GRC Holland-Bukit Timah, yang terdiri daripada, Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Negara), Cik Sim Ann, 50 tahun; peguam, Encik Christopher de Souza, 49 tahun; dan usahawan, Encik Edward Chia, 41 tahun.

Pasukan itu mengekalkan kerusi mereka di GRC Holland-Bukit Timah dengan memperoleh 79.29 peratus undi, menewaskan calon parti Titik Merah Bersatu (RDU). 

Ini adalah peningkatan daripada 66.36 peratus undi yang diperolehi pada GE2020.

Ia juga merupakan pencapaian terbaik dalam sejarah pasukan PAP di GRC empat anggota itu, tidak termasuk kemenangan tanpa bertanding pada 2006 semasa GRC tersebut baru dibentuk.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg