Terdapat perubahan generasi berdasarkan penekanan kepada calon yang lebih muda bagi Parti Tindakan Rakyat (PAP), menerusi 32 muka baru yang diperkenalkan parti itu pada 17 April.
Namun, kadar pembaharuan mungkin terlalu cepat, lantas kesannya terhadap kempen dan keputusan Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) bagi parti tersebut masih belum dapat ditentukan.
Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH) mengenai pengumuman persaraan dan peletakan jawatan beberapa Anggota Parlimen (AP) PAP baru-baru ini, pengamat politik yang dihubungi berkata bahawa calon yang baru diperkenalkan PAP mungkin tidak begitu berpengalaman dalam bertanding.
Namun, bagaimana ia akan menjejaskan keupayaan PAP untuk bertanding dengan berkesan masih belum dapat dilihat lagi.
Profesor Undang-Undang, Universiti Pengurusan Singapura (SMU), Profesor Madya Eugene Tan berkata:
“Penekanan adalah terhadap calon yang lebih muda bagi PAP dalam GE2025 ini.
“Sudah tentu ia adalah peralihan generasi tetapi saya tertanya-tanya sama ada kadar pembaharuan itu terlalu pantas.
“Nama-nama yang dikenali akan dikenang, tetapi keperluan untuk menambat generasi milenial dan Gen Z boleh menyumbang kepada perubahan yang ketara ini.”
Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman, mengumumkan persaraannya daripada politik pada 21 April.
Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen, yang menjadi Anggota Parlimen (AP) selama lima penggal turut mengumumkan bahawa beliau tidak akan bertanding dalam GE2025 pada 18 April.
Persaraan Menteri Negara Kanan (Pengangkutan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Dr Amy Khor, juga telah diumumkan pada 14 April.
Sementara itu, Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean, pula mengumumkan beliau tidak akan bertanding di GRC Pasir Ris-Changi pada 21 April.
Seramai 32 calon baru telah ditampilkan pada 17 April bersama manifesto PAP oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
“Sejumlah 32 muka baru itu adalah hampir satu pertiga daripada keseluruhan barisan calon PAP bagi GE2025.
“Tambahan lagi, sebahagian besar calon PAP tidak pernah bertanding dalam lebih daripada dua GE.
“Jadi pasukan PAP kali ini mungkin tidak begitu berpengalaman dalam berkempen berbanding GE lalu,” kongsi Profesor Madya Eugene Tan.
Seorang lagi pengamat politik bebas, Dr Felix Tan, pula berasakan bahawa calon-calon baru tidak semestinya menjejas keyakinan pengundi, atau membuat mereka lebih cenderung untuk mengundi PAP.
“Walaupun terdapat pengundi muda dan pengundi kali pertama yang lebih berani, ia tidak menunjukkan bahawa mereka pasti akan mengundi penyandang kerusi, atau mengundi untuk PAP,” kata Dr Tan.
Beliau juga menambah bahawa barisan baru yang diperkenalkan menunjukkan bagaimana PM Wong ingin menyuntik kesegaran kepada pasukan yang mewakili kepimpinannya.
“Seperti Perdana Menteri lain, mereka mempunyai pasukan legasi yang kuat, dan dalam hal ini, Encik Wong juga ingin mempunyai pasukan yang mewakili kepimpinannya.
“Dengan barisan baru ini, ia mungkin dapat mencerminkan jenis kepimpinan yang beliau inginkan,” ujar Dr Tan.
Menurutnya lagi, pengumuman persaraan dan peletakan jawatan, serta menamakan calon-calon baru yang muda adalah penting kerana ia dapat menambat pengundi muda dari sudut kebimbangan dan keprihatinan mereka.
“Dari sudut kebimbangan terhadap isu tertentu, mereka (calon baru) akan dapat berhubung dengan lebih baik.
“Dari segi strategi berkempen pula, ia berkemungkinan besar akan menjangkau demografi yang lebih muda kerana banyak sempadan pilihan raya yang diubah mempunyai pengundi yang lebih muda,” tambah Dr Tan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg