Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengamat: PM Wong pilih pasukan teras yang diyakini

SM Lee, DPM Gan, Shanmugam, Chun Sing, Ye Kung, bentuk pasukan teras mapan, serba boleh
May 24, 2025 | 5:30 AM
podcast BH, susulan Kabinet baru, politik S’pura
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (tengah) membuat pengumuman bagi Kabinet barunya pada 21 Mei yang terdiri daripada (dari kiri) Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim; Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam, Encik Chan Chun Sing; Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong; Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Encik K. Shanmugam; Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial, Encik Ong Ye Kung; dan Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Pendidikan), Cik Jasmin Lau. - Foto fail

Keputusan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, untuk tidak melantik Timbalan Perdana Menteri kedua tidak seharusnya dianggap sebagai satu isu.

Sebaliknya, Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong; Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong; dan tiga Menteri Penyelaras boleh dianggap sebagai anggota teras Kabinet, yang akan menjadi sumber rujukan untuk Encik Wong semasa beliau membuat keputusan berhubung dasar-dasar utama.

Ia juga menunjukkan bahawa Encik Wong menganggap tiga Menteri Penyelaras, iaitu Menteri Pertahanan Encik Chan Chun Sing, Menteri Kesihatan Encik Ong Ye Kung dan Menteri Ehwal Dalam Negeri Encik K. Shanmugam, selaku pemimpin utama dalam kepimpinan generasi keempat (4G), kata pengamat politik dalam dalam podast NoTapis BHerbual terbitan Berita Harian (BH) baru-baru ini.

Berkongsi pendapat, Pengarah Urusan, Crescent Law Chambers LLC, Encik Ahmad Nizam Abbas berkata keputusan Encik Wong untuk tidak melantik seorang lagi Timbalan Perdana Menteri menunjukkan beliau ingin sebuah pasukan teras dan bukan seorang pengganti semata-mata.

“Jika kita menyebut tentang Timbalan (Perdana Menteri), ia merujuk kepada seorang pengganti. Namun apabila kita melihat Encik Wong, beliau merupakan Perdana Menteri yang masih muda dan beliau dikelilingi dengan menteri yang sebaya usia.

“Tercetusnya soalan mengenai peri penting pelantikan Timbalan Perdana Menteri adalah kerana apa yang beliau inginkan bukanlah pengganti.

“Sebaliknya beliau mencari rakan kongsi, pemimpin bersama atau pasukan yang akan membuat keputusan besar dengannya,” kata Encik Ahmad Nizam, seorang peguam.

Beliau menambah dengan memisahkan Menteri Penyeleras kepada tiga bidang tumpuan, ia membentuk teras bagi pasukan Encik Wong yang dapat membantu memantau kesan dasar nasional ke atas rakyat.

Encik Shanmugam, Encik Ong dan Encik Chan dilantik sebagai Menteri Penyelaras bagi tiga bidang tumpuan utama – Keselamatan Negara; Dasar Sosial; dan Perkhidmatan Awam.

Profesor Madya di Sekolah Sains Kemasyarakatan, Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Dr Walid Jumblatt Abdullah, menambah bahawa pelantikan dua Menteri Penyelaras yang boleh dianggap sebagai rakan sebaya – Encik Ong dan Encik Chan – adalah signifikan bagi Encik Wong.

“Kita dapat lihat bahawa Menteri Penyelaras yang sebelumnya lebih berpengalaman berbanding dengan Encik Ong dan Encik Chan yang boleh dianggap rakan sebaya.

“Ia jelas menunjukkan siapa yang menganggotai pasukan teras dan siapa yang berada di luar.

“Encik Wong juga telah mengumumkan Encik Gan akan menyandang jawatan dalam ketiadaannya tetapi jika kededua Perdana Menteri dan Timbalan Menteri tiada, beliau akan membuat pilihan,” kata Dr Walid.

Kededua pengamat berkongsi sentimen yang serupa semasa mengupas susunan Menteri dalam Kabinet yang dianggap seimbang.

Memberi contoh, Dr Walid berkata pelantikan Encik Chan selaku Menteri Pertahanan, daripada jawatan sebelumnya iaitu Menteri Pendidikan, adalah satu keputusan tidak mengejutkan berdasarkan pengalamannya.

Encik Desmond Lee, yang sebelumnya Menteri Pembangunan Negara, kini menggalas jawatan sebagai Menteri Pendidikan.

“Menteri bagi Kementerian Pendidikan (MOE) dapat menunjukkan sisi yang lebih lembut kerana peranan tersebut adalah jawatan yang berurusan secara langsung dengan orang ramai.

“Justeru, Encik Chan telah menjalankan tugasnya dengan baik dan kini Encik Lee juga boleh diberi peluang untuk melakukan yang sama.

“Ia bukan satu kejutan bahawa Encik Chan dilantik sebagai Menteri bagi Kementerian Pertahanan,” kata Dr Walid.

Di samping itu, Kabinet baru yang diumumkan Encik Wong turut menyaksikan empat penjawat politik dinaikkan pangkat. Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, Encik Murali Pillai dan Cik Sun Xueling dinaikkan pangkat kepada Menteri Negara Kanan manakala Encik Baey Yam Keng pula menjadi Menteri Negara.

Dua Anggota Parlimen (AP) muka baru, Encik Jeffrey Siow dan Encik David Neo, turut dilantik menjadi penjawat politik.

Encik Siow, 46 tahun, mantan Setiausaha Tetap Kedua (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Tenaga Manusia), telah dilantik sebagai Pemangku Menteri Pengangkutan serta Menteri Negara Kanan (Kewangan). Encik Neo pula akan berkhidmat sebagai Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia serta Menteri Negara Kanan (Pendidikan).

Langkah melantik Encik Siow, menurut Dr Walid, mencerminkan keyakinan Encik Wong terhadap kakitangan awam veteran itu.

“Ini adalah pengiktirafan terhadap kepercayaan Perdana Menteri kepadanya, saya rasa, untuk melihat bagaimana beliau dapat atasi cabaran dalam peranannya.

“Ia bukan satu ujian, tetapi satu pengakuan terhadap keyakinan Encik Wong terhadap dirinya,” kata Dr Walid.

Menyetujui pendapat itu, Encik Ahmad Nizam berkata Encik Siow menunjukkan potensi yang diiktiraf oleh Encik Wong.

Namun, Encik Wong juga memberi Encik Siow sokongan utuh, dalam bentuk pelantikan Cik Sun sebagai Menteri Negara Kanan di Kementerian Pengangkutan (MOT). Cik Sun juga diberikan portfolio baru di Kementerian Pembangunan Negara (MND) dan pada masa yang sama menggugurkan portfolio di Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA)

“Kita juga mesti melihat dalam kekuatan keseluruhan MOT. Cik Sun mempunyai kekuatannya sendiri... yang ditunjukkan sama ada di MSF atau MHA.

“Maklum balas yang diterima Cik Sun sangat positif dan jika dilihat di sidang Parlimen, beliau dapat menangani setiap isu,” kata Encik Ahmad Nizam.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg