Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong: Bakal calon GE2025 PAP muktamad, lebih 30 muka baru

Pasukan parti di GRC Marsiling-Yew Tee tidak berubah, ‘perubahan lebih ketara di tempat-tempat lain’
Apr 12, 2025 | 5:23 PM
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (dua dari kanan), dan tiga lagi AP  GRC Marsiling Yew-Tee – (dari kiri) Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) North West, Encik Alex Yam; Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad; dan Cik Hany Soh – akan mempertahankan kerusi Parlimen mereka dalam GE2025.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (dua dari kanan), dan tiga lagi AP GRC Marsiling Yew-Tee – (dari kiri) Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) North West, Encik Alex Yam; Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad; dan Cik Hany Soh – akan mempertahankan kerusi Parlimen mereka dalam GE2025. - Foto ST

Perdana Menteri Lawrence Wong berkata Parti Tindakan Rakyat (PAP) telah memuktamadkan senarai bakal calon parti itu yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).

Senarai itu termasuk lebih 30 bakal calon baru, jumlah terbesar yang diketengahkan PAP sejak beberapa pilihan raya lalu.

Bakal calon itu akan diperkenal mengikut kawasan undi sepanjang beberapa hari akan datang, kata Encik Wong dalam satu sidang media di PAP cawangan Limbang di Chua Chu Kang North pada 12 April.

Encik Wong menarik perhatian tentang peranan penting pucuk pimpinan dalam ketidaktentuan global yang dihadapi dunia sekarangi.

“Rakyat Singapura harus membuat keputusan memilih pasukan yang mereka percayai untuk mengharungi ribut ini dan menentukan hala tuju negara kita.

“Saya mengambil tanggungjawab ini dengan serius kerana taruhannya tinggi buat diri kita dan keluarga kita, demi masa depan kita dan kedudukan Singapura di dunia,” ujar Encik Wong, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Marsiling-Yew Tee.

Beliau menambah bahawa warga Singapura juga akan mengetahui rancangan PAP apabila parti itu membentangkan manifestonya tidak lama lagi.

GE2025 adalah pilihan raya pertama yang akan ditandingi PAP di bawah teraju Encik Wong sebagai Perdana Menteri dan setiausaha agung parti itu.

Di sidang media itu, Encik Wong turut mengumumkan bahawa beliau dan tiga lagi AP GRC Marsiling Yew-Tee – Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad; Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) North West, Encik Alex Yam; dan Cik Hany Soh – akan mempertahankan kerusi Parlimen mereka.

Ia pasukan bakal calon PAP pertama yang diumumkan akan bertanding dalam GE2025, dengan lebih banyak pengumuman sedemikian boleh dijangka selepas ini.

“Pasukan di Marsiling-Yew Tee tidak berubah, tetapi akan ada perubahan lebih ketara di tempat-tempat lain,” ujar Encik Wong.

Parti Demokratik Singapura (SDP) mengumumkan pada 30 Mac bahawa mereka akan bertanding di GRC Marsiling-Yew Tee.

Baru-baru ini, Encik Wong mengumumkan Pelan Induk Majlis Bandaran Marsiling-Yew Tee (2025-2030). Di bawah pelan itu, penduduk Marsiling dan Yew Tee boleh menjangkakan, antara lain, lebih banyak ruang masyarakat, taman dan kesalinghubungan lebih baik.

Encik Wong menyertai politik pada 2011 dan berkhidmat sebagai AP GRC Marsiling-Yew Tee sejak September 2015. Sebelum itu, beliau berkhidmat di GRC West Coast.

Bercakap tentang usaha pembaharuan parti itu, beliau berkata: “Kami mempunyai pasukan Anggota Parlimen cemerlang, tetapi untuk memberi khidmat lebih baik kepada rakyat Singapura, saya perlu memperbaharui dan menyegarkan semula pasukan PAP, untuk membawa masuk tenaga baru, idea baru dan semangat baru.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg