Sebagai seorang doktor perubatan, Dr Syed Harun Alhabsyi, sedar keadaan kehidupan seseorang boleh berubah dalam sekelip mata.
Disebabkan itu, beliau cuba mengelak daripada membuat perancangan terlalu jauh dan bersiap sedia bagi keadaan sukar atau yang tidak dijangkakan.
Pelantikannya sebagai Presiden Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) pada 2022 selepas berkhidmat selama sedekad, misalnya, bukan sesuatu yang beliau rancang atau impikan.
Menjadi Anggota Parlimen Dilantik (NMP) pada 2023 juga bukanlah sesuatu yang beliau bayangkan, apatah lagi menyertai sebuah parti politik dan bertanding dalam Pilihan Raya Umum (GE).
Namun sejak kebelakangan ini, nama Dr Syed Harun, 40 tahun, diutarakan sebagai bakal calon baru Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi GRC Nee Soon.
Konsultan psikiatri dan pengarah perubatan di The Starfish Clinic of Psychiatry & Mental Wellness itu dilihat di kawasan undi tersebut sejak Mac setelah meletak jawatan sebagai NMP pada Februari.
Dr Syed Harun dijangka menggantikan Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, yang dijangka bertanding di GRC Marine Parade-Braddell Heights.
“Bagi saya, mengapa saya ke depan untuk berkhidmat adalah kerana ia adalah lanjutan kepada diri saya dan siapa saya selama ini,” katanya.
Dalam wawancara sekitar sejam bersama Berita Harian di kedai kopi di Yishun Avenue 6 pada 16 April, Dr Syed Harun berkata datuknya, ustaz terkenal dan pemimpin masyarakat Allahyarham Syed Abdillah Aljufri, menjadi sumber inspirasi baginya untuk melakukan kerja relawan sejak remaja hingga hari ini.
Bermula sebagai relawan di rumah tumpangan kanak-kanak Jamiyah Darul Ma’wa ketika berumur 15 tahun, beliau menjadi mentor belia di Yayasan Mendaki, menganggotai Majlis Tertinggi Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan menyumbang khidmat di LBKM sejak 2012.
Di luar masyarakat Melayu/Islam, beliau turut menawarkan masa dan tenaganya sebagai anggota Majlis Belia Kebangsaan (NYC), anggota Jawatankuasa Penasihat Dana Belia Kebangsaan, naib pengerusi panel perundingan filem dan naib pengerusi jawatankuasa semakan rumah kebajikan.
“Bagi saya, menyumbang kepada masyarakat adalah satu tugas dan tanggungjawab, lebih-lebih lagi jika kita telah menikmati nasib baik dan (mendapat) peluang.
“Tiada dalam kalangan kita yang berjaya atas usaha sendiri semata-mata. Ia mengenai masyarakat, keluarga, doa dan berkat daripada semua di sekeliling kita yang membantu kita berjaya dalam hidup,” katanya.
Dr Syed Harun anak sulung dalam keluarga empat beradik, membesar di flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di kawasan Kaki Bukit.
Sebelum bersara, bapanya seorang teknisyen. Ibunya pula masih bekerja sebagai pengurus latihan. Beliau dan adik-beradiknya meraih ijazah sebelum memulakan kerja.
Bapanya mengikuti pengajian peringkat diploma ketika berumur sekitar 50 tahun, manakala ibunya mendapat ijazah sarjana muda pada usia 40-an tahun.
“Saya melihat ini sebagai nasib baik dan peluang kerana ada orang lain yang datang daripada keluarga pincang, yang risau tentang tambang bas dan makanan mereka yang seterusnya.
“Saya menyedari ini melalui kerja sukarelawan yang saya lakukan,” kata Dr Syed Harun yang sudah berumah tangga.
Berkongsi pengalaman pengajiannya, Dr Syed Harun mendapatkan pendidikan peringkat sekolah rendah di Haig Boys School, dan beliau aktif dalam sukan sepak takraw.
Di Institusi Raffles (RI), beliau merupakan timbalan ketua pengawas dan naib kapten pasukan hoki – sukan yang beliau masih ceburi hingga kini.
Di Maktab Rendah Victoria (VJC), beliau juga merupakan kapten pasukan hoki.
Dr Syed Harun meraih ijazah sarjana muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS) daripada Universiti Nasional Singapura (NUS) pada 2010.
Beliau kemudian mengikuti pengajian lima tahun di Institut Kesihatan Mental (IMH) untuk menjadi pakar psikiatri. Setelah lebih sedekad dalam sektor awam, beliau, satu-satunya pakar psikiatri Melayu/Islam di Singapura, menyertai sektor swasta pada 2022 dan kini mengendalikan kliniknya sendiri.
“Sedang saya menjalani sekolah perubatan, saya memikirkan tentang bidang kepakaran yang ingin saya ceburi dan saya mendapati tidak ada pakar psikiatri dalam masyarakat Melayu/Islam.
“Saya ada seorang senior, tetapi beliau daripada masyarakat India/Islam,” cerita Dr Syed Harun.
“Etos hidup saya adalah jika kita mempunyai kemahiran, ilmu dan ada keperluan dalam masyarakat, saya rasa ia menjadi satu tanggungjawab.
“Saya yakin kalau kita ikuti laluan itu, walaupun sukar, kita tidak akan tersalah langkah kerana kita membantu orang ramai dalam proses itu.”
Pada 2023, Dr Syed Harun mula terlibat dalam arena politik Singapura sebagai NMP.
“Peluang menjadi NMP timbul pada waktu saya baru mengambil alih sebagai presiden LBKM.
“Pada waktu itu, saya sedang melihat bagaimana untuk mengembangkan LBKM dan memperbaiki perkara tertentu.
“Saya perlu fikirkan betul-betul tentang peluang menjadi NMP itu kerana saya sebenarnya suka bekerja tanpa menarik perhatian kepada diri saya,” katanya,
“Tidak mudah untuk saya katakan ya kepada jawatan NMP pada waktu itu. Tapi saya juga rasa bahawa jika orang percaya pada keupayaan saya, jika orang rasa yang saya boleh buat perbezaan… saya tawakal, saya istikharah, saya dapatkan nasihat daripada pembimbing dan orang yang saya percayai, kemudian saya serahkan selebihnya kepada Allah.”
Sepanjang pelantikannya sebagai NMP dari Julai 2023 hingga Februari 2025, Dr Syed Harun telah memfailkan lima usul penangguhan mengenai pelbagai isu.
Ini termasuk dasar luar, penjagaan kesihatan mental, mewujudkan peluang untuk belia berkembang maju, perpaduan sosial dan mengambil pendekatan seluruh masyarakat untuk menangani diskriminasi.
Namun keputusan beliau, dan seorang lagi NMP, Encik Raj Joshua Thomas, meletak jawatan sekitar setahun sebelum penggal mereka berakhir, agak mengejutkan.
Ia mencetus spekulasi bahawa mereka mungkin diketengahkan sebagai calon dalam GE2025.
Pada 31 Mac, Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, semasa satu taklimat media berkata di bawah Perlembagaan Singapura, seorang NMP boleh meletak jawatan untuk menyertai sebuah parti politik dan bertanding dalam pilihan raya.
Encik Thomas pada 17 April mengumumkan bahawa beliau tidak akan bertanding dalam GE2025.
“Saya fikir untuk saya terus menimbang secara subjektif dan fikirkan secara mendalam sama ada untuk menyertai PAP atau tidak, saya perlu meletak jawatan terlebih dahulu. Ini kerana jika tidak, saya tidak akan dapat mengekalkan sifat tidak berpihak yang diperlukan ke atas saya sebagai NMP.
“Selepas meletak jawatan, saya memahami PAP dengan lebih baik, saya memahami dengan lebih dekat kerja yang dilakukan di lapangan dan kemudian saya menyertai sebagai anggota parti. Semua itu selepas saya meletak jawatan,” kata Dr Syed Harun.
Beliau berkata keluarganya menyokong keputusannya untuk bertanding, namun pada masa sama mereka juga berhati-hati kerana menjadi ahli politik adalah satu peranan yang mendedahkan seseorang kepada sokongan dan kritikan orang awam.
Jika dilantik sebagai Anggota Parlimen (AP), Dr Syed Harun mahu mengutarakan isu berhubung akses kepada pendidikan, akses kepada kemudahan kesihatan terutama kesihatan mental, dan mobiliti sosial.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg