Parti Tindakan Rakyat (PAP) telah memperkenalkan barisan baru pemimpin yang bakal bertanding di Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Chua Chu Kang termasuk dua calon baru, Dr Choo Pei Ling dan Encik Jeffrey Siow dalam satu sidang media di Cawangan PAP Chua Chu Kang pada 14 April.
Pasukan ini dipimpin Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong. Turut serta dalam pasukan ini adalah peguam dan Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang kini, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim.
Dr Choo, 38 tahun, adalah seorang seorang saintis neuro dan ahli fisioterapi neuro, yang juga profesor kanan di Kelompok Kesihatan dan Sains Kemasyarakatan, Institut Teknologi Singapura (SIT), manakala Encik Siow, 46 tahun, adalah mantan kakitangan awam kanan.
Selain pasukan seramai empat calon di GRC Chua Chu Kang ini, Menteri Negara Kanan (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Cik Low Yen Ling, juga mengesahkan akan bertanding di Bukit Gombak yang kini dijadikan Kawasan Undi Perseorangan (SMC) baru selepas proses semakan sempadan.
Di sidang media tersebut, Encik Gan, 66 tahun, turut mengumumkan Encik Don Wee, 49 tahun, dan Dr Amy Khor, 67 tahun, tidak akan bertanding bagi Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).
Encik Wee, seorang akauntan, ditugaskan menjaga kejiranan Brickland sejak 2020, manakala Dr Khor yang menggalas amanah sebagai Menteri Negara Kanan (Pengangkutan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), pula telah menjadi AP SMC Hong Kah North sejak 2011.
Menjelaskan tentang hasratnya membantu lebih ramai orang menerusi penglibatan sebagai pemimpin masyarakat, Dr Choo yang telah 20 tahun terlibat dalam kerja sukarela, dan merupakan penasihat kedua pertubuhan akar umbi Kembangan-Chai Chee berkata:
“Sejak kecil, saya telah menemui makna dalam membantu orang, terutama orang yang tidak dapat membantu diri mereka sendiri. Seperti orang yang mengalami kecederaan otak dan terlantar sakit atau tidak mampu bergerak mahupun warga emas yang berusaha untuk bergerak sendiri.
“Sepanjang saya berkhidmat dalam kerja kemasyarakatan, saya mendapati mutu hidup bukan hanya tentang penjagaan kesihatan yang baik tetapi ia juga meliputi usaha membina perpaduan dalam masyarakat.”
Encik Siow, 46 tahun, bapa dua anak, pula membawa pengalaman lebih 20 tahun dalam perkhidmatan awam sebelum bersara pada 2 April.
Jawatan terakhirnya adalah sebagai Setiausaha Tetap Kedua (Tenaga Manusia merangkap Perdagangan dan Perusahaan), menyusuli peranan perkhidmatan lain sebagai pengarah urusan badan berkanun, Enterprise Singapore, dan selaku Ketua Setiausaha Sulit kepada mantan Perdana Menteri (kini Menteri Kanan), Encik Lee Hsien Loong.
“Saya datang dari keluarga yang sederhana. Ibu bapa saya tidak berpelajaran tinggi. Saya memilih berkhidmat kepada masyarakat kerana ingin menyumbang kembali kepada pemerintah yang telah membantu saya meraih pendidikan yang baik,” kata Encik Siow.
Menyentuh tentang tumpuannya bagi penduduk GRC Chua Chu Kang, Encik Gan terus menekankan perpaduan keluarga dan masyarakat.
Encik Zhulkarnain, 44 tahun, pula merupakan penyokong kuat bagi wanita, belia dan keluarga kurang bernasib baik. Di kawasan Keat Hong, beliau giat melaksanakan inisiatif akar umbi seperti program pemuliharaan makanan dan saringan kesihatan berkala untuk warga emas.
Menjawab soalan wartawan tentang pelan untuk flat Bina Ikut Tempahan (BTO) baru seperti Keat Hong dan Tengah, Encik Zhulkarnain berkata:
“Ada beberapa pelan induk untuk naiktarafkan kawasan undi ini termasuk projek pembinaan masjid dan kelab masyarakat.”
Beliau juga menekankan, bukan prasarana yang menjadi tumpuan tetapi membina rangkaian masyarakat yang dapat saling membangun bersama-sama.
Cik Low, 50 tahun, yang telah lebih 14 tahun berkhidmat bagi penduduk pula telah merealisasikan projek seperti stesen MRT Hume dan Taman Bukit Gombak seluas 4.8 hektar.
Di peringkat nasional, beliau memperjuangkan usaha memperkasa perusahaan tempatan dan perniagaan di kawasan kejiranan, serta menerajui usaha meningkatkan daya saing ekonomi.
Gabungan lama dan baru ini mencerminkan komitmen PAP untuk terus berkhidmat dan membawa kemajuan kepada masyarakat Chua Chu Kang.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg