Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ikuti Siri Bersama Anggota Parlimen BH

Sejak 11 Januari, Berita Harian telah menyajikan siri khas bersama Anggota Parlimen yang mempelawa pembaca bertemu Anggota Parlimen (AP) Melayu/Islam di kawasan undi masing-masing, menjelang Pilihan Raya Umum 2025.
Apr 4, 2025 | 2:52 PM
Siri Khas Bersama Anggota Parlimen Berita Harian menjelang GE2025
Siri Khas Bersama Anggota Parlimen Berita Harian menjelang GE2025 - Grafik BH oleh IFFAH QISTINA IRWAN

Encik Masagos Zulkifli (Tampines West)

Encik Masagos berbual-bual dengan penduduk muda Tampines semasa berada di sekitar kawasan Kelab Masyarakat Tampines West.
Encik Masagos berbual-bual dengan penduduk muda Tampines semasa berada di sekitar kawasan Kelab Masyarakat Tampines West. - Foto BH oleh KHALID BABA

 Tampines ‘Kediaman Terbaik Kami’

Hasil daripada kerjayanya sebagai seorang karyawan dan kemudian sebagai tokoh politik, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, mempunyai ramai sahabat dan kenalan, dari dalam dan luar negara.

Namun, semasa membesar, keadaannya amat berbeza.

Dari pengakuan beliau sendiri, Encik Masagos berkata beliau tidak mempunyai ramai kawan.

“Semasa kanak-kanak dulu, saya ni orang cakap ‘cengeng’,” katanya.

“Masa bermain dengan kawan-kawan, terkena bola sikit saja, saya akan nangis.

“Jadi lama kelamaan, kawan-kawan malas nak main dengan saya,” tambah beliau.

Baca laporan lanjut di sini

Encik Zhulkarnain Abdul Rahim (Keat Hong)

Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim (kanan) bersama para penduduk di Kelab Masyarakat Keat Hong.
Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim (kanan) bersama para penduduk di Kelab Masyarakat Keat Hong. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Kongsi nombor telefon peribadi supaya lebih dekat dengan penduduk Keat Hong

Apabila bekalan air terganggu di Blok 407 Choa Chu Kang Avenue 3 pada 2024, Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, diberitahu hampir serta merta mengenai perkara itu melalui pesanan WhatsApp daripada seorang penduduk yang terjejas.

Dengan segera, Encik Zhulkarnain menghubungi pegawai majlis bandaran dan mengerah relawan akar umbi untuk bergotong-royong menyediakan bekalan air sementara buat para penduduk, sementara kontraktor dipanggil untuk mengembalikan bekalan air.

Dalam satu kejadian yang lain, hanya beberapa hari sebelum menyambut Hari Raya Aidilfitri pada tahun yang sama, seorang penduduk menghantar pesanan WhatsApp kepada Encik Zhulkarnain untuk meminta bantuan makanan dek sedang kelaparan dan tidak mempunyai wang.

Tanpa berlengah, Encik Zhulkarnain, yang juga penasihat akar umbi Keat Hong, mengerahkan para relawan dari Kelab Masyarakat Keat Hong untuk menyediakan habuan makanan serta bantuan kewangan untuk diberikan kepada penduduk yang memerlukan itu.

Dua kejadian itu hanya segelintir daripada pelbagai isu yang dilaporkan oleh para penduduk secara langsung kepada Encik Zhulkarnain sejak beliau berkongsi nombor telefon peribadinya dengan mereka.

Baca laporan lanjut di sini

Cik Mariam Jaafar (Woodlands)

Anggota Parlimen GRC Sembawang, Cik Mariam Jaafar, beramah mesra dengan penduduk yang ditemuinya di Cantine Corner by Kopitiam di 678A Woodlands Avenue 6.
Anggota Parlimen GRC Sembawang, Cik Mariam Jaafar, beramah mesra dengan penduduk yang ditemuinya di Cantine Corner by Kopitiam di 678A Woodlands Avenue 6. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

‘Sporting’, serba boleh, AP GRC Sembawang Mariam percaya Woodlands ‘tak ulu lagi’

Berhujah di sidang Parlimen, boleh.

Berdansa dalam video muzik, boleh.

Menyanyi atas pentas, pun boleh.

Ternyata Anggota Parlimen (AP) GRC Sembawang, Cik Mariam Jaafar serba boleh!

Malah, beliau merupakan satu-satunya AP yang mempunyai rakaman lagu di Spotify, berjudul Raya Sikit-Sikitlah! dan Tibanya Aidilfitri.

Ditemui Berita Harian (BH) baru-baru ini di pusat makanan halal Cantine Corner by Kopitiam di 678A Woodlands Avenue 6, Cik Mariam hanya tertawa mengenai bakatnya itu ketika diusik wartawan tentang kebolehannya menyanyi.

“Saya lebih rela mendengar daripada menyanyi,” ujar Cik Mariam, 47 tahun, yang juga Penasihat Akar Umbi kepada GRO GRC Sembawang (Woodlands).

Begitupun, sifatnya yang sangat sporting jelas terserlah dalam persembahan beliau di pentas seiring artis popular yang lain beberapa tahun kebelakangan ini, bahkan mesra dikenali dengan nama pentasnya Kakak MJ.

Baca laporan lanjut di sini

Encik Faisal Manap (Kaki Bukit)

Anggota Parlimen (AP) GRC Aljunied, Encik Faisal Manap, telah berkhidmat di kawasan undinya di Kaki Bukit selama hampir 14 tahun dan menyifatkan hubungan dengan penduduk Kaki Bukit sebagai mesra dan akrab.
Anggota Parlimen (AP) GRC Aljunied, Encik Faisal Manap, telah berkhidmat di kawasan undinya di Kaki Bukit selama hampir 14 tahun dan menyifatkan hubungan dengan penduduk Kaki Bukit sebagai mesra dan akrab. - Foto BH

Meski perjuangan ‘sepi’, Faisal gigih terus berkhidmat

Duduk bertentangan anggota parti pemerintah di Parlimen, tugas Encik Faisal Manap selaku satu-satunya Anggota Parlimen (AP) pembangkang Melayu tidak mudah dan penuh cabaran.

Bahkan, AP daripada Parti Pekerja (WP) itu sendiri dapat merasakan tekanannya dan menyedari sepenuhnya tanggungjawab yang diharapkan daripada dirinya.

Beliau akur, lebih kerap daripada tidak, soalan yang ditanyakan serta saranan yang dikemukakan beliau mungkin ditentang atau dibidas.

Namun, ia tidak membuat beliau putus asa dalam memperjuangkan isu-isu yang dekat di hati beliau dan masyarakat, dan menjalankan tanggungjawabnya dengan penuh amanah.

“Ia satu perjuangan yang agak sunyi sepi,” kata beliau kepada wartawan Berita Harian (BH).

“Saya sendiri sehingga hari ini masih mencari jawapan kenapa saya berada di kerusi yang saya ada sekarang. Tetapi, tidak ada jawapan yang praktikal ataupun objektif. Cuma saya tahu bahawa saya telah diberi tanggungjawab dan saya harus melakukan tanggungjawab ini dengan sebaik mungkin kerana ini adalah satu amanah.

Baca laporan lanjut di sini

Encik Saktiandi Supaat (Toa Payoh East)

Anggota Parlimen (AP) GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat, bergambar di Taman Permainan Naga atau ‘Dragon Playground’ di kawasan Toa Payoh East.
Anggota Parlimen (AP) GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat, bergambar di Taman Permainan Naga atau ‘Dragon Playground’ di kawasan Toa Payoh East. - Foto BH

Gembira damping warga emas, sambut golongan muda di Toa Payoh East

Hampir sedekad Encik Saktiandi Supaat berkhidmat sebagai anggota parlimen (AP) bagi kawasan Toa Payoh East dan dalam tempoh itu, beliau telah mengenali ramai penduduk, terutama warga emas, di bawah jagaannya.

Beliau telah melihat mereka meningkat umur dengan warga emas paling ‘senior’ kini berusia 110 tahun.

Beliau selesa dan gembira berinteraksi bersama mereka, malah telah mempelajari beberapa ayat ringkas dalam bahasa Mandarin, Hokkien dan Teochew agar dapat berbual dengan lebih mesra lagi.

“Kadangkala saya cuba selitkan beberapa perkataan Melayu ketika berbual dengan mereka. Ramai di antara mereka boleh berbahasa Melayu kerana pernah tinggal di kampung dahulu,” kata Encik Saktiandi, 51 tahun.

“Cuma kebelakangan ini saya sedih kerana ramai yang saya kenal mesra telah meninggal dunia,” tambahnya.

Baca laporan lanjut di sini

Encik Wan Rizal Wan Zakariah (Kolam Ayer)

Anggota Parlimen (AP) GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah berkata beliau kini lebih peka mengawal emosi dan telah menjadi lebih sabar berbanding dengan dirinya sebelum melibatkan diri dalam arena politik.
Anggota Parlimen (AP) GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah berkata beliau kini lebih peka mengawal emosi dan telah menjadi lebih sabar berbanding dengan dirinya sebelum melibatkan diri dalam arena politik. - Foto BH

Wan Rizal ingin jadi contoh baik demi orak perubahan

Mendengar rintihan hati dan keprihatinan yang dikemukakan penduduk setiap kali mereka bertemu kini sudah menjadi lumrah untuk Dr Wan Rizal Wan Zakariah.

Ini termasuk ketika beliau, yang mewakili penduduk di kawasan undi Kolam Ayer, melakukan kunjungan rumah ke rumah.

Tidak hairan, Dr Wan Rizal kini lebih peka apabila mendengar keluhan penduduk supaya dapat mengenal pasti isu sebenar agar huraian boleh dikecapi.

Secara tidak langsung, pengalaman ini memupuk kesabaran dalam dirinya – sifat yang Dr Wan Rizal akui bukanlah tonggak paling menyerlah baginya sebelum menceburi bidang politik.

Berkongsi dengan Berita Harian (BH) dalam satu wawancara untuk Siri Bersama AP menjelang Pilihan Raya Umum (GE) 2025, Dr Wan Rizal, bapa empat orang anak berusia 46 tahun itu berkata:

“Sebelum ini, saya tidaklah begitu penyabar sangat. Tetapi dengan cabaran yang saya hadapi dalam melaksanakan tanggungjawab ini, memang perlu ada kesabaran.

Baca laporan lanjut di sini

Dr Mohamad Maliki Osman (Siglap)

Anggota Parlimen GRC East Coast, Dr Mohamad Maliki Osman di Kelab Masyarakat Siglap yang menawarkan pelbagai kemudahan sukan seperti gelanggang bola keranjang tertutup.
Anggota Parlimen GRC East Coast, Dr Mohamad Maliki Osman di Kelab Masyarakat Siglap yang menawarkan pelbagai kemudahan sukan seperti gelanggang bola keranjang tertutup. - Foto BH

Masih gigih khidmat di East Coast, senang hati dapat satukan penduduk

Tidak ramai yang akan mempersoalkan hujahnya jika Dr Mohamad Maliki Osman berkata beliau ialah seorang yang amat sibuk.

Beliau bukan saja menggalas tugasan menteri di tiga kementerian – Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Ehwal Luar – malah meluangkan sebahagian masa mendampingi penduduk di Siglap sebagai Anggota Parlimen (AP).

Selain itu beliau juga suami kepada Cik Sadiah Sahal, serta bapa kepada dua anaknya, Encik Adli Mifzal, 27 tahun dan Cik Lidia Syahindah, 30 tahun.

Justeru di tengah-tengah kesibukan harian yang disulami deringan kiriman mesej WhatsApp yang tidak putus-putus, Dr Maliki tetap meluangkan masa untuk menghantar kiriman mesej kepada keluarganya terdahulu.

Menurut Dr Maliki, selepas beliau menghidupkan enjin kereta dan menunggu enjin panas – rutin hariannya setiap pagi, sebelum menuju ke pejabat, Dr Maliki akan mengucapkan selamat pagi dan menghantarkan kata-kata semangat kepada anak lelaki, anak perempuan dan isterinya dalam kumpulan WhatsApp keluarga.

Baca laporan lanjut di sini

Dr Muhammad Faishal Ibrahim (Nee Soon)

Anggota Parlimen (MP) GRC Nee Soon, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, biasanya berbincang dengan penduduk Nee Soon tentang kebimbangan mereka, serta dasar pemerintah seperti Tabung Simpanan Pekerja (CPF) dan MediSave.
Anggota Parlimen (MP) GRC Nee Soon, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, biasanya berbincang dengan penduduk Nee Soon tentang kebimbangan mereka, serta dasar pemerintah seperti Tabung Simpanan Pekerja (CPF) dan MediSave. - Foto BH

Faishal ‘ngopi’ dengan penduduk hingga larut malam

Bagi Anggota Parlimen (MP) GRC Nee Soon, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, kedai kopi bukan sekadar tempat menjamu selera, malah medan terbaik untuk memahami denyut nadi masyarakat.

Dengan lebih 50 kedai kopi di seluruh Nee Soon, tempat-tempat makan itu menjadi lokasi utama beliau mendekati penduduk.

“Di kawasan undi saya sendiri, ada 20 kedai kopi. Saya sering turun ke sini, tidak kira pagi, tengah hari atau malam, untuk mendekati penduduk.

“Malah, saya ada program khas, ‘Late Night Coffee Shop Visit’, di mana saya berbual dengan mereka yang masih lepak di kedai kopi sehingga lewat malam.

“Ini satu pendekatan yang saya lakukan sejak saya mula berkhidmat di Nee Soon 14 tahun lalu,” ujar Dr Faishal yang juga Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), ketika bersembang dengan Berita Harian (BH) di sebuah kedai kopi di Nee Soon Central baru-baru ini.

Baca laporan lanjut di sini

Tekad terus khidmat tanpa berbelah bahagi kepada penduduk

Cik Rahayu Mahzam (Bukit Batok East)

Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Jurong, Cik Rahayu Mahzam (dua dari kanan), menyapa penduduk Bukit Batok East, kawasan undi yang diterajuinya sejak memenangi Pilihan Raya Umum 2015.
Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Jurong, Cik Rahayu Mahzam (dua dari kanan), menyapa penduduk Bukit Batok East, kawasan undi yang diterajuinya sejak memenangi Pilihan Raya Umum 2015. - Foto BH

Bersenam dan gaya hidup lebih sihat kini kian menjadi sebati dengan amalan harian Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam.

Walau sesibuk manapun, Cik Rahayu tetap akan mengetepikan masa untuk berlari-lari anak, biasanya seawal 6 pagi.

Berkongsi amalan hariannya itu dengan Berita Harian (BH) baru-baru ini, Cik Rahayu, 45 tahun, berkata:

“Ini adalah seumpama pepatah hendak seribu daya, tak nak seribu dalih. Saya memaksa diri untuk mencari ruang (bersenam) kerana saya tahu kepentingannya.”

Namun di sebalik semangat jitu mengamalkan gaya hidup sihat ini, tersirat sebab lebih mendalam. Beliau, bersama suaminya, melakukan segala itu demi anak sulungnya berusia tujuh tahun, Ayden.

Dalam satu temu ramah bersama akhbar The Straits Times (ST) pada Disember 2024, beliau berkongsi anaknya mengalami Sindrom Down.

Baca laporan lanjut di sini

Encik Mohamed Sharael Mohd Taha (Pasir Ris)

Anggota Parlimen (AP) GRC Pasir Ris-Punggol, Encik Mohamed Sharael Mohd Taha, yang membesar di Pasir Ris, kembali berkhidmat di kawasan itu selepas beberapa tahun bertugas di United Kingdom.
Anggota Parlimen (AP) GRC Pasir Ris-Punggol, Encik Mohamed Sharael Mohd Taha, yang membesar di Pasir Ris, kembali berkhidmat di kawasan itu selepas beberapa tahun bertugas di United Kingdom. - Foto BH

Anak Pasir Ris kembali berbakti kerana ia ‘sentiasa dekat di hati’

Bak sirih pulang ke gagang, begitulah perjalanan politik Anggota Parlimen (AP) GRC Pasir Ris-Punggol, Encik Mohamed Sharael Mohd Taha, buat masa ini.

Selepas kembali ke Singapura setelah beberapa tahun berada di United Kingdom untuk bertugas, Encik Sharael, 43 tahun, menyertai politik pada 2020 dan diberi tanggungjawab berkhidmat kepada penduduk di Pasir Ris.

Perkara itu menggembirakannya, kata Encik Sharael, kerana beliau meluangkan sebahagian besar hidupnya di sana.

“Pasir Ris sentiasa dekat di hati saya kerana saya dibesarkan di sini. Saya tinggal di sini hingga saya berusia 30-an apabila saya pergi ke luar negara atas urusan kerja.

“Jadi apabila saya menjadi Anggota Parlimen untuk Pasir Ris East, ia ibarat satu kepulangan yang manis,” ujar Encik Sharael, ketika bersembang dengan Berita Harian (BH) di sebuah kedai kopi di Pasir Ris.

Wawancara bersama Encik Sharael itu sebahagian, Siri Bersama Anggota Parlimen, menjelang Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), yang memaparkan AP Melayu/Islam dalam kawasan undi masing-masing.

Baca laporan lanjut di sini

Cik Nadia Samdin (Cheng San-Seletar)

Anggota Parlimen GRC Ang Mo Kio, Cik Nadia Samdin (kiri), yang gemar menyelam, bersama Koresponden Berita Harian (BH), Cik Nur Fathin Awalludin, semasa temu bual bersama BH.
Anggota Parlimen GRC Ang Mo Kio, Cik Nadia Samdin (kiri), yang gemar menyelam, bersama Koresponden Berita Harian (BH), Cik Nur Fathin Awalludin, semasa temu bual bersama BH. - Foto BH

Penduduk bak anggota keluarga walau beza bahasa, bangsa

Berpeluh-peluh dibuatnya.

Apa tidaknya, meskipun sarat mengandung pada 2024, tugas tetap perlu dilaksanakan, khidmat kepada penduduk harus terus berjalan.

Namun, Cik Nadia Samdin, tidak perlu risau kerana penduduk begitu prihatin terhadapnya.

“Mereka betul-betul penuh kasih sayang, terutama sekali apabila saya hamil tahun lalu (2024).

“Wah! Apabila saya berjalan-jalan di pasar, kalau saya berpeluh, ada yang datang hulurkan tisu, mereka kata ‘Ms Nadia, kasihan!’.

“Ada juga yang nak tolong kipaskan saya!” kongsi Cik Nadia, Anggota Parlimen (AP) GRC Ang Mo Kio itu.

Menceburi politik sejak lima tahun lalu, pada 2020, Cik Nadia merupakan AP termuda pada usia 35 tahun.

Baca laporan lanjut di sini

Encik Mohd Fahmi Aliman (Geylang Serai)

Anggota Parlimen (AP) Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Marine Parade, Encik Mohd Fahmi Aliman, kerap mengunjungi Pasar dan Pusat Penjaja Geylang Serai pada hujung minggu untuk membeli barangan dapur dan bertemu dengan penduduknya.
Anggota Parlimen (AP) Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Marine Parade, Encik Mohd Fahmi Aliman, kerap mengunjungi Pasar dan Pusat Penjaja Geylang Serai pada hujung minggu untuk membeli barangan dapur dan bertemu dengan penduduknya. - Foto BH

Senang hati lihat harmoni silang kaum, agama di Geylang Serai

Tidak terlintas di benak fikiran, Encik Mohd Fahmi Aliman, beliau perlu membeli banyak pakaian baru sejurus selepas meninggalkan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) pada Disember 2018.

Menurut Encik Fahmi yang meninggalkan SAF dengan pangkat Kolonel, almari pakaiannya penuh pakaian, tetapi kebanyakannya seragam SAF dan pakaian senaman.

Sejurus selepas meninggalkan SAF, beliau menyertai Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) sebagai Timbalan Ketua Eksekutif dari Februari 2019 hingga Mac 2020.

Beliau kemudian berkhidmat sebagai Pengarah Sekretariat Bahagian Operasi dan Mobilisasi, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), pada April 2020 sebelum menceburi politik.

“Apabila saya tinggalkan SAF, tiba-tiba saya perlu beli baju smart (segak) lengan panjang untuk ke pejabat. Sebelum ini, saya cuma pakai seragam, baju polo-T ataupun baju senaman.

Baca laporan lanjut di sini

Encik Zaqy Mohamad (Marsiling-Yew Tee)

Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad, sudah hampir dua dekad menggalas pelbagai peranan di kementerian berbeza.
Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad, sudah hampir dua dekad menggalas pelbagai peranan di kementerian berbeza. - Foto BH oleh KHALID BABA

Segarkan wajah estet lama Marsiling, bantu penduduk rumah sewa

Perwatakannya yang ceria dan wajahnya yang halus bak telur dikupas mungkin membuatnya kelihatan muda tetapi Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad bukan mentah dalam dunia politik.

Malah, Encik Zaqy, 51 tahun, sudah hampir dua dekad menggalas pelbagai peranan di kementerian berbeza.

Ditanya apa rahsianya untuk kelihatan awet muda, Encik Zaqy tergelak sambil berkata:

“Saya rasa mungkin genetik, saya harus berterima kasih kepada ibu bapa saya!”

Tentang amalan penjagaan kulit pula, Encik Zaqy berkata beliau “tidak ada masa” melakukan demikian malah menganggap dirinya cincai dari segi menjaga ketrampilan diri.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg