Hari sebelum Hari Mengundi dikenali sebagai Hari Bertenang, iaitu apabila sebarang aktiviti berkempen dan pengiklanan bahan pilihan raya tidak dibenarkan.
Tempoh ini bermula pada tengah malam 2 Mei dan berakhir selepas pengundian ditutup pada 3 Mei.
Ia bertujuan memberi ruang kepada pengundi menilai isu yang dibangkitkan sepanjang tempoh kempen, sebelum membuat keputusan pada Hari Mengundi.
Diperkenalkan pada 2010, Hari Bertenang mula dikuatkuasakan semasa Pilihan Raya Umum 2011 (GE2011), lapor The Straits Times (ST).
Peraturan ini meliputi semua pihak – termasuk pengundi, calon dan ejen pilihan raya.
Berikut ialah senarai perkara yang boleh, dan yang tidak boleh dilakukan semasa Hari Bertenang.
Tidak boleh: Terbitkan iklan pilihan raya baru
Menerbitkan atau memaparkan iklan pilihan raya baru secara umum, serta membuat sebarang perubahan kepada iklan sedia ada, tidak dibenarkan pada Hari Bertenang dan Hari Mengundi.
Larangan ini terpakai bagi semua bentuk iklan pilihan raya, sama ada dalam talian mahupun bukan dalam talian.
Iklan pilihan raya dalam talian merujuk kepada sebarang bahan yang diterbitkan dalam talian yang bertujuan mempromosi, menyokong atau menjejas peluang kejayaan, atau imej, parti politik atau calon dalam pilihan raya.
Peraturan ini turut terpakai bagi perkongsian semula, siaran semula dan meningkatkan capaian kandungan dalam talian – sama ada kandungan itu berbayar atau tidak.
Paparan umum bagi iklan pilihan raya berbentuk tradisional, seperti kain rentang, bendera atau poster, juga tidak dibenarkan kecuali jika ia telah diletakkan sebelum bermulanya Hari Bertenang.
Parti politik juga tidak dibenarkan menggunakan iklan yang diprogramkan seperti menggunakan teknologi yang dapat menerbitkan iklan dalam talian secara automatik.
Tidak boleh: Jalankan lawatan rumah atau bertemu pengundi
Calon pilihan raya tidak boleh menjalankan sebarang aktiviti berkempen seperti lawatan rumah ke rumah, berjalan bertemu pengundi, meminta sokongan pengundi atau mengedarkan risalah sepanjang tempoh ini.
Penggunaan kenderaan untuk tujuan kempen juga dilarang.
Tidak boleh: Pakai atau pamerkan simbol kempen
Orang ramai tidak dibenarkan memakai, membawa, atau mempamerkan simbol atau bahan kempen – seperti memaparkannya pada sepanduk, baju kemeja atau pin – yang mempromosikan calon atau parti politik.
Hanya calon dibenarkan memakai simbol parti mereka.
Tidak boleh: Adakan perjumpaan pilihan raya atau hadir acara awam
Perhimpunan, rapat, atau mesyuarat awam di mana calon atau parti berucap kepada pengundi tidak dibenarkan.
Orang ramai juga tidak dibenarkan menghadiri acara yang diadakan untuk tujuan pilihan raya.
Boleh: Bahan kempen boleh dikekalkan
Sepanduk, bendera, poster, serta kandungan berkaitan pilihan raya dalam talian yang diletakkan atau diterbitkan sebelum Hari Bertenang boleh dibiarkan kekal di tempatnya.
Boleh: Saluran berita terbitkan artikel berkaitan pilihan raya
Organisasi media berlesen boleh terus menerbitkan laporan berita berkaitan pilihan raya di surat khabar, radio, atau televisyen semasa Hari Bertenang. Namun, laporan tersebut tidak boleh mempromosikan mana-mana calon atau parti politik.
Boleh: Kongsi pandangan politik secara peribadi
Perkongsian pandangan politik peribadi secara tidak komersial dan antara individu dibenarkan.
Ini termasuk perbualan peribadi, mesej teks, dan mesej langsung antara individu, atau dalam kumpulan tertutup bersama keluarga atau rakan – selagi ia tidak bertujuan untuk disiarkan atau disebarkan kepada umum.
Kumpulan perbualan atau saluran di platform mesej seperti WhatsApp atau Telegram, tidak boleh digunakan untuk menerbitkan iklan pilihan raya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg