Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perlu nilai pemegang jawatan politik Melayu/Islam sebagai pemimpin negara, selain jaga kepentingan masyarakat

May 23, 2025 | 6:00 PM
podcast BH, susulan Kabinet baru, penjawat politik, politik S’pura
Semasa podcast ‘NoTapis BHerbual’, yang dihoskan Editor Berita BH, Encik Nazri Hadi Saparin (kiri), bersama dua pengamat politik, Profesor Madya di Sekolah Sains Kemasyarakatan, Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Dr Walid Jumblatt Abdullah (berkemeja putih), dan Pengarah Urusan, Crescent Law Chambers LLC, Encik Ahmad Nizam Abbas, mereka telah membincangkan Kabinet baru Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Walaupun mereka mewakili kepentingan masyarakat, Anggota Parlimen (AP) Melayu/Islam, khususnya pemegang jawatan politik, juga harus dilihat sebagai pemimpin negara, terutamanya apabila diambil kira kaliber dan keupayaan mereka.

Ini lebih-lebih lagi kerana isu-isu yang menjejas rakyat di peringkat nasional juga menjejas masyarakat Melayu/Islam. Justeru ini memberi peluang bagi AP Melayu/Islam untuk mengatasinya di peringkat nasional, kata pengamat politik dalam podcast NoTapis BHerbual terbitan Berita Harian (BH) baru-baru ini.

Dalam mengumumkan barisan Kabinet barunya pada 21 Mei, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, telah menamakan dua AP Melayu/Islam sebagai pemegang jawatan politik baru.

Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, yang menyertai politik pada 2020, dilantik sebagai Menteri Negara (Ehwal Luar, Pembangunan Sosial dan Keluarga), dan AP baru, Dr Syed Harun Alhabsyi, dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan dan Pembangunan Negara).

Encik Zhulkarnain, 44 tahun, merupakan seorang rakan kongsi kanan sebuah firma guaman antarabangsa dan akan mula memikul peranan barunya itu pada Februari 2026, manakala Dr Harun, 39 tahun, pula adalah seorang pakar psikiatri dan pelantikan beliau berkuat kuasa Oktober 2025. 

Encik Zhulkharnain Abdul Rahim akan dilantik sebagai Menteri Negara (Ehwal Luar, Pembangunan Sosial dan Keluarga) mulai Februari 2026.
Encik Zhulkharnain Abdul Rahim akan dilantik sebagai Menteri Negara (Ehwal Luar, Pembangunan Sosial dan Keluarga) mulai Februari 2026. - Foto fail
Dr Syed Harun Alhabsyi akan dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan dan Pembangunan Negara) pada Oktober 2025.
Dr Syed Harun Alhabsyi akan dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan dan Pembangunan Negara) pada Oktober 2025. - Foto fail

Selain Encik Zhulkarnain dan Dr Harun, seorang lagi penjawat politik yang seangkatan mereka ialah Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, 45 tahun.

Dalam podcast itu, yang membincangkan barisan Kabinet dan pelantikan penjawat politik yang diumumkan Encik Wong, pengamat politik, Profesor Madya di Sekolah Sains Kemasyarakatan, Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Dr Walid Jumblatt Abdullah, dan Pengarah Urusan Crescent Law Chambers LLC, Encik Ahmad Nizam Abbas, berpendapat dengan kepakaran kededua tokoh tersebut selain pengalaman mereka berkhidmat dalam sektor masyarakat Melayu/Islam, mereka dapat menyumbang dengan berkesan di kededua peringkat masyarakat dan negara.

“Mungkin ramai tidak sedar bahawa Encik Zhulkarnain adalah peguam bagi undang-undang antarabangsa dan Dr Harun pula pakar psikiatri.

“Mereka mungkin dapat membuka mata masyarakat terhadap isu sedemikian sebagai seorang pakar dalam bidang masing-masing, di samping menjadi wakil masyarakat Melayu/Islam,” kata Encik Ahmad Nizam.

Bersetuju, Dr Walid berkata selain kepakaran dan kebolehan mereka, kededua tokoh tersebut juga mempunyai pengalaman luas dalam sektor masyarakat Melayu/Islam hasil penglibatan mereka memimpin pertubuhan-pertubuhan sebelum menyertai politik.

“Apabila kita memikirkan tentang seseorang seperti Dr Harun, kita tidak sepatutnya melihat Dr Harun sebagai AP Melayu/Islam kerana beliau lebih daripada itu.

“Jika kita memandangnya sekadar AP Melayu/Islam, ia satu kerugian. Saya harap pemegang jawatan kita diberikan peranan yang lebih penting dan menyerlah dalam pejabat agar pada masa hadapan, kita akan dapat lebih banyak pemegang jawatan politik dalam Kabinet.”

Memberi contoh lain, Dr Walid juga merujuk kepada isu pendidikan dan pekerjaan.

Beliau berkata bahawa isu seperti meningkatkan taraf pekerja bergaji rendah, yang sering diketengahkan oleh AP pekerja, adalah isu yang menjejas pekerja merentas kaum, termasuk pekerja Melayu/Islam.

“Jika tiada AP pekerja yang mengetengahkan isu tersebut di Parlimen, ia terpulang kepada AP Melayu/Islam untuk membangkitkannya kerana ia melibatkan masyarakat kita juga.

“Sesetengah penyelesaian boleh disasarkan kepada masyarakat namun secara keseluruhan kita boleh melakarkannya sebagai isu nasional.

“Saya melihat ini sebagai peluang untuk beralih daripada sorotan berasaskan kaum apabila ia tidak diperlukan,” kata Dr Walid.

Berkongsi sentimen sama, Encik Ahmad Nizam berkata AP Melayu/Islam menyedari bahawa mereka bukanlah sekadar wakil masyarakat. Malah, isu-isu yang mereka bangkit di dalam dan luar Parlimen mencerminkan hakikat tersebut.

“Cik Mariam (Jaafar) dan Encik Sharael (Taha) contohnya sering membangkitkan isu-isu berkaitan ekonomi dan antarabangsa di Parlimen... dan menambah kepada kerencaman perbahasan di dewan.

“Jadi, AP Melayu/Islam kita, selain mewakili kepentingan masyarakat, juga mengetengahkan isu-isu nasional atau antarabangsa. Namun ada jangkaan dari masyarakat kita yang mahu mereka tumpukan perhatian kepada isu kemasyarakatan.

“Saya harap ini dapat berubah. Namun, isu ini bukan baru dan sudah menjadi satu tuntutan bagi AP Melayu/Islam mengimbangi antara jangkaan masyarakat dan sebagai pemimpin negara,” kata Encik Ahmad Nizam.

Melengkapi barisan penjawat politik Melayu-Islam ialah Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad; Menteri Negara Kanan merangkap Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim dan Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohd.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg