Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pertandingan tiga penjuru PAP, SDP, NSP di GRC Sembawang

Apr 23, 2025 | 8:31 PM
Encik Ong Ye Kung, Encik Ng Shi Xuan,  Encik Vikram Nair, Cik Mariam Jaafar, Encik Gabriel Lam.
Pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP), yang diterajui Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung (tiga dari kiri), turut disertai (dari kiri) Encik Ng Shi Xuan, Encik Vikram Nair, Cik Mariam Jaafar dan Encik Gabriel Lam. - Foto ST

GRC Sembawang bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP), Parti Demokratik Singapura (SDP), dan Parti Perpaduan Nasional (NSP) dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).

Ketiga-tiga pasukan disahkan setelah permohonan mereka bertanding di kawasan undi itu diterima pada Hari Penamaan Calon di Pusat Penamaan Calon di Sekolah Chongfu pada 23 April.

Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, akan memimpin pasukan PAP, yang terdiri daripada Cik Mariam Jaafar dan Encik Vikram Nair, serta dua muka baru iaitu pengarah syarikat, Powermark Battery, Encik Ng Shi Xuan, 35 tahun; dan ketua pegawai operasi (COO), syarikat khidmat pemindahan Shalom Movers, Encik Gabriel Lam, 42 tahun.

“Saya percaya ini adalah pilihan raya yang agak luar biasa, ia berlaku semasa perubahan global dan juga ketika kami mempunyai perdana menteri baru, serta ketika rakyat Singapura memikirkan tentang jenis sistem pemerintah yang kita mahukan,” kata Encik Ong kepada pihak media.

Semasa GE2020, PAP memenangi GRC Sembawang dengan 67.29 peratus undi menentang NSP.

Dalam pada itu, pasukan SDP pula terdiri daripada naib pengerusi parti, Encik Bryan Lim 49 tahun; timbalan ketua dasar parti, Dr James Gomez, 60 tahun; bendahari parti, Cik Surayah Akbar, 42 tahun; serta dua anggota lain, Encik Damanhuri Abas, 54 tahun dan Encik Alfred Tan, 59 tahun.

“Kami akan fokus kepada kempen yang telah kami rancangkan.

“Kami mengajak penduduk Sembawang supaya datang ke perhimpunan kami di mana kami akan menyampaikan dengan jelas, rancangan dan dasar kami.

“Mereka (penduduk) akan dapat tahu dengan jelas sekali, dan apabila mereka mengundi pada 3 Mei, mereka akan undi dengan pengetahuan yang cukup,” kata Encik Damanhuri kepada Berita Harian (BH).

Memimpin pasukan NSP ialah Setiausaha Agung NSP, Encik Spencer Ng, 45 tahun, yang juga telah menerajui pasukan untuk bertanding di kawasan itu pada GE2015 dan GE2020.

Encik Ng berkata NSP telah cuba mengelak pertembungan tiga penjuru, namun memutuskan untuk tetap bertanding kerana pasukan tersebut tidak ingin mengabaikan penduduk mereka.

Anggota NSP lain termasuk pensyarah Politeknik Republic, Cik Verina Ong, 46 tahun; Pensyarah Bersekutu, Encik Lee Wei, 50 tahun; usahawan Encik Yadzeth Hairis, 62 tahun; dan jurulatih renang, Encik Raiyian Chia, 46 tahun.

“Saya telah jangkakan akan ada pertembungan tiga penjuru di kawasan ini. Namun kami akan tetap rempuh dan tempuh juga.

“Ia kerana kami telah bersama dengan GRC Sembawang selama 10 tahun, tidak mungkin kami akan mengabaikan penduduk di sini.

“Kami akan bekerja dengan lebih keras lagi untuk mempertingkatkan cara kami mendekati penduduk Sembawang,” kata Encik Yadzeth kepada BH.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg