Pertarungan pelbagai penjuru dijangka berlaku di GRC Ang Mo Kio dan Tampines dalam pilihan raya pada 3 Mei selepas Parti Kuasa Rakyat (PPP) mengumumkan pada 22 April bahawa ia akan bertanding di kedua-dua kawasan undi berkenaan, lapor The Straits Times.
PPP, sebelum ini, menyatakan ia sedang bersiap sedia untuk bertanding di SMC Tampines Changkat, GRC Nee Soon dan SMC Jalan Kayu.
Parti itu kemudian menarik diri daripada bertanding di GRC Nee Soon untuk memberi laluan kepada Titik Merah Bersatu (RDU).
Setiausaha Agung PPP, Encik Goh Meng Seng, akan mengetuai pasukan Tampines, yang terdiri daripada eksekutif landskap, Encik Vere Nathan, 26 tahun; pengasas firma teknologi hijau, Encik Peter Soh, 65 tahun; usahawan Cik Arbaah Haroun, 50 tahun; dan Pengerusi PPP, Encik Derrick Sim, 44 tahun, seorang perancang kewangan.
Bagi GRC Ang Mo Kio, calon-calonnya terdiri daripada mantan penjawat awam, Encik Martinn Ho, 64 tahun; penyelaras keselamatan, Encik Thaddeus Thomas, 43 tahun; pakar hortikultur, Encik Heng Zheng Dao, 24 tahun; dan jurutera teknologi maklumat, Encik Samuel Lee, 33 tahun.
Pasukan itu akan diketuai Bendahari PPP, Encik William Lim, 47 tahun, seorang penyedia perkhidmatan limosin.
Dalam sidang akhbar pada 22 April, Encik Goh berkata: “Terdapat banyak peserta di tempat yang berbeza dengan kepentingan yang bercanggah.”
Mengenai keputusan parti untuk menarik diri daripada bertanding di Tampines Changkat dan Jalan Kayu, beliau berkata: “Sebagai sebuah parti, kami juga mahu memberi penghormatan kepada parti yang lebih besar... Kami telah memutuskan bahawa kami terpaksa mengecewakan calon dan penyokong kami.”
Pengumuman itu bermakna PPP memasuki pertarungan pelbagai penjuru di kedua-dua kawasan pilihan raya.
Selain daripada penyandang iaitu Parti Tindakan Rakyat (PAP), Parti Pekerja (WP) dan Parti Solidariti Nasional (NSP) juga dijangka bertanding di Tampines.
Di Ang Mo Kio, PPP akan menentang pasukan PAP yang diketuai Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, dan Parti Bersatu Singapura (SUP).
Encik Goh memohon maaf kepada NSP dan SUP atas “konflik ini”, dengan pasukan itu turut menundukkan kepala dalam sidang akhbar itu.
Manifesto PPP, antara lain, mencadangkan agar caruman Tabung Simpanan Pekerja (CPF) dikurangkan kepada 5 peratus daripada 20 peratus sekarang ini, serta barangan runcit dan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang penting dikecualikan daripada Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg