Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pesta sukan akan diadakan, himpun pelajar dari 16 sekolah

Sep 25, 2025 | 7:30 PM
pesta sukan, tchoukball, jeona kumar, kejohanan tchoukball belia 2024
Pemain ‘tchoukball’ wanita bawah 18 tahun negara, Jeona Kumar, membuat percubaan mendapatkan mata semasa Singapura mengatasi Macau, 28-27 dalam final Kejohanan Tchoukball Belia pada 2024. - Foto PERSATUAN TCHOUKBALL SINGAPURA

Pesta Sukan Sekolah akan diadakan bagi menghimpunkan 16 sekolah dari tiga kelompok berasingan.

Ia merupakan sebahagian daripada usaha pemerintah menggunakan sukan dan seni sebagai wadah untuk menyatukan pelajar daripada pelbagai keupayaan dan latar belakang berbeza.

Pesta sukan itu akan diadakan mulai Oktober, kata Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Negara Kanan (Pendidikan), Encik David Neo.

Menurutnya, sukan adalah satu cara untuk menjalin hubungan dalam kalangan belia di Singapura, melibatkan generasi paling terhubung secara digital dalam sejarah, tetapi menanggung risiko menjadi antara yang paling terpisah secara sosial dalam kehidupan harian.

Menyertai perbahasan mengenai Amanat Presiden di Parlimen pada 25 September, Encik Neo merujuk kepada Tinjauan Belia Nasional 2022 yang menunjukkan kumpulan belia yang tidak mempunyai teman rapat naik seganda daripada 4 peratus kepada 8 peratus dalam tempoh sedekad lalu.

Beliau menyifatkan trend itu sebagai membimbangkan.

Di samping itu, Encik Neo turut mengumumkan jenis sukan yang layak memenangi Anugerah ‘Colours’ Sekolah Sukan Singapura, akan ditambah lebih seganda mulai 2025.

Encik Neo berkata: “Disebabkan saya kini berada di kededua Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) dan Kementerian Pendidikan (MOE), saya jangka kita boleh melakukan lebih baik untuk mengiktiraf belia... yang sedang meneroka, laluan yang jarang ditempuhi dan memburu impian masing-masing.”

Pelajar yang kini mewakili Singapura dalam sukan yang kurang dikenali, seperti terjun cantik, tchoukball dan lebih 30 sukan tambahan kini layak menerima anugerah tersebut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg