Topik diikuti
Pergi ke BHkuPM Wong akan sampaikan ucapan Rapat Hari Kebangsaan pada 23 Ogos, mulai 6.45 petang
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, akan menyampaikan Rapat Hari Kebangsaan 2026 pada 23 Ogos, di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central, di Ang Mo Kio.
Beliau akan memulakan ucapan dalam bahasa Melayu pada 6.45 petang, diikuti dalam bahasa Mandarin dan seterusnya dalam bahasa Inggeris pada 8 malam, menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada 17 Ogos.
Ucapan Rapat Hari Kebangsaan akan disiarkan di saluran televisyen dan juga stesen-stesen radio tempatan.
Ia juga dapat ditonton secara langsung melalui siaran dalam talian di akaun YouTube PM Wong dan YouTube PMO.
Rapat Hari Kebangsaan sering dilihat sebagai ucapan politik tahunan paling penting kerana ia melibatkan perubahan dasar pemerintah, selain lakar hala tuju Singapura.
Semasa Rapat Hari Kebangsaan 2025, Encik Wong mengumumkan bahawa kampus Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) akan mempunyai bangunan sendiri, bersebelahan dengan kampus Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) yang sedang dibina di Rochor, semasa ucapannya dalam bahasa Melayu.
Beliau turut mendedahkan bahawa Taman Warisan Melayu (TWM) akan dibuka semula pada 2026 dengan galeri baharu serta pelbagai program yang mengetengahkan budaya Melayu setempat.
Dalam ucapannya itu juga, Encik Wong turut mengumumkan tindakan lebih tegas terhadap rokok elektronik, atau vape, termasuk mengenakan hukuman lebih berat bagi penjual vape yang bercampur dengan bahan berbahaya.

