Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sidang Puncak Asean: S’pura tekankan integrasi rantau, kerjasama global di bawah kepimpinan PM Wong

Mesej utama ditekankan – Asean perlu perkukuh penyepaduan dalamannya dan kerjasama dengan rakan kongsi luar sedang dunia hadapi persekitaran ekonomi, geopolitik yang makin tidak menentu
May 30, 2025 | 3:55 PM
Sidang Puncak Asean-GCC-China, S’pura, M’sia
Para pemimpin negara-negara Asean dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) serta Perdana Menteri China, Encik Li Qiang, bergambar bersama di Sidang Puncak Asean-GCC-China yang diadakan buat julung-julung kalinya pada 27 Mei, sempena Sidang Puncak Asean Ke-46 di Kuala Lumpur, Malaysia. - Foto ZAOBAO

Kehadiran Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, di Kuala Lumpur, Malaysia bagi menghadiri Sidang Puncak Asean yang ke-46 baru-baru ini menandakan satu lawatan strategik yang penting, sedang dunia menghadapi persekitaran ekonomi dan geopolitik yang semakin tidak menentu dan bergelora.

Dalam sidang kemuncak tersebut, satu mesej yang jelas ditekankan Encik Wong ialah Asean perlu memperkukuh penyepaduan dalamannya dan kerjasama dengan rakan kongsi luar.

Tema utama beliau tertumpu pada keperluan mendesak bagi Asean memperdalami penyepaduan ekonominya untuk kekal berdaya saing di peringkat global – yang sangat penting, lebih-lebih lagi di tengah-tengah ketidaktentuan dasar perdagangan dan tarif Amerika yang menjejas prospek sejagat.

Mesej itu sekali gus mengukuhkan prinsip Singapura yang menekankan pentingnya kerjasama berbilang hala, kerjasama serantau dan juga diplomasi ekonomi.

Encik Wong menyarankan agar blok serantau itu menyasarkan Kawasan Perdagangan Bebas Asean yang “100 peratus bebas tarif” dan menangani halangan bukan tarif yang masih wujud untuk memperkukuhkan daya tahan dan daya saing ekonomi.

Ini selain terus meneroka kerjasama dalam bidang baru termasuk ekonomi digital dan hijau.

Langkah sedemikian adalah sejajar dengan Deklarasi ‘Asean 2045: Masa Depan Kita Bersama’ – dimeterai 10 pemimpin Asean di sidang kemuncak itu – yang membawa hala tuju baru Asean pasca 2025, merangkumi empat tonggak utama iaitu politik-keselamatan, ekonomi, sosio-budaya dan keterhubungan.

Lawatan Encik Wong ke sidang puncak itu juga merupakan satu kesempatan bagi Singapura menjalin ikatan dan kerjasama lebih kukuh bersama dua negara jiran terdekatnya – Malaysia dan Indonesia.

Encik Wong telah mengadakan pertemuan dua hala secara berasingan bersama Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan juga Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, untuk membincangkan perkembangan rantau dan global, selain memberi komitmen untuk memupuk kerjasama dua hala yang lebih rapat.

Malaysia ialah rakan dagangan ketiga terbesar Singapura, dengan jumlah perdagangan dua hala berjumlah $123.6 bilion pada 2023.

Singapura pula ialah rakan dagangan kedua terbesar Malaysia pada 2023 dan merupakan sumber terbesar pelaburan langsung asing (FDI) ke negara itu, menyumbang RM43.7 bilion ($13.3 bilion) atau 23.2 peratus FDI Malaysia.

Sementara itu, Singapura merupakan pelabur asing terbesar Indonesia sejak 2014.

Pada 2023, Singapura mencatatkan FDI sebanyak AS$15.4 bilion ($20 bilion) ke Indonesia, dan perdagangan dua hala pula mencapai AS$69 bilion.

Di luar kerjasama serantau pula, Encik Wong telah menekankan kepentingan bagi Asean memperkukuh kerjasama dengan rakan-rakan kongsi luar dalam dunia tidak menentu ini.

Dalam hal tersebut, Sidang Puncak Asean kali ini menyaksikan dua sidang berkaitan diadakan – Sidang Puncak Asean-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China yang sulung, dan Sidang Puncak Asean-GCC yang kedua.

GCC dianggotai enam negara iaitu Arab Saudi, Kuwait, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Bahrain dan Oman.

Encik Wong telah menyatakan bahawa adalah penting bagi Asean memperdalam hubungan dan kerjasama dengan China dan GCC untuk terus maju dan mengembangkan kerelevenannya di dunia, dengan potensi bagi kerjasama dipertingkat dalam bidang seperti perdagangan, peralihan tenaga dan ekonomi digital.

Singapura merupakan negara bukan dari Timur Tengah yang pertama mempunyai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan GCC, dengan Encik Wong berkata ia boleh menjadi model bagi hubungan ekonomi lebih kukuh antara Asean dengan GCC, dan pembuka laluan untuk mewujudkan FTA antara dua blok rantau itu pada satu hari kelak.

Encik Wong turut memberi beberapa saranan untuk memajukan kerjasama antara Asean, China dengan GCC, termasuk mengusahakan projek di bawah Pandangan Asean Tentang Indo-Pasifik (AOIP) – dokumen yang menyatakan bagaimana negara di rantau ini boleh bekerjasama untuk memastikan keamanan, kestabilan dan kemakmuran.

Ini selain mengukuhkan hubungan perdagangan dan pelaburan, dengan Asean sudah pun mempunyai FTA dengan China.

Dengan itu, Encik Wong berkata adalah “semula jadi untuk melanjutkan hubungan ini ke arah FTA tiga hala antara China, Asean dengan GCC pada masa akan datang”.

Sidang kemuncak itu turut menyediakan platform bagi Singapura bertemu secara dua hala dengan China dan juga beberapa negara GCC.

Antaranya, Encik Wong telah bertemu dengan Perdana Menteri China, Encik Li Qiang, di mana mereka bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan mengesahkan hubungan kukuh antara Singapura dengan China.

Dalam pada itu, pertemuan turut diadakan bersama Putera Mahkota Sheikh Sabah Al-Khaled Al-Sabah dari Kuwait; Amir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani; dan Perdana Menteri Bahrain, Putera Mahkota Salman Hamad Al Khalifa.

Lawatan Encik Wong ke Sidang Puncak Asean kali ini juga istimewa dan bersejarah – yang pertama menyusuli upacara mengangkat sumpah diadakan di Istana pada 23 Mei selepas Parti Tindakan Rakyat (PAP) meraih kemenangan dalam Pilihan Raya Umum (GE) 2025.

Kemenangan parti pemerintah itu, dengan mandat kukuh 65.57 peratus, tidak terlepas daripada perhatian pemimpin negara-negara Asean dan luar rantau ini.

Pengerusi Asean 2025, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengucapkan tahniah kepada Encik Wong atas “kemenangan meyakinkan” semasa pembukaan ucapannya di sesi pleno Sidang Puncak Asean.

Encik Wong turut menerima ucapan tahniah daripada ramai pemimpin lain di sidang kemuncak tersebut, dengan beliau memberitahu media Singapura bahawa “mereka mengikuti pilihan raya kita, dan mereka mengambil tahu tentang keputusannya”.

Mandat kukuh yang diraih PAP itu adalah penting kerana sekiranya dipilih semula dengan mandat yang berkurangan, persepsi pemimpin luar negara terhadap Singapura mungkin berbeza, dan walaupun bersikap sopan, mereka mungkin akan lebih berkira dalam berurusan dengan beliau, tambah beliau.

Penglibatan Encik Wong di Sidang Puncak Asean itu telah menggariskan pendekatan strategik Singapura terhadap diplomasi ekonomi, dengan tumpuan pada penyepaduan serantau dan usaha memperluaskan kerjasama dengan rakan kongsi luar.

Encik Wong telah mengatakan bahawa Asean perlu melakarkan peranan yang jelas dan bermakna bagi blok serantau itu kekal relevan dalam dunia yang berubah.

Langkah proaktif sedemikian adalah sangat perlu terutamanya di tengah-tengah cabaran ekonomi dan geopolitik serta fahaman perlindungan (protectionist) yang semakin meningkat.

Sebuah Asean yang bersatu padu dan kukuh bukan hanya memastikan keamanan dan kemakmuran di dalam rantau ini, bahkan juga dapat menyumbang kepada peraturan antarabangsa yang lebih seimbang dan bekerjasama.

Dengan memperkukuh Asean dari dalam dan memperluaskan kerjasama dengan rakan kongsi luar, Singapura bukan hanya dapat memastikan ia terus kekal relevan di dunia, malah juga menyumbang kepada kestabilan dan perkembangan Asean.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg