Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura, Vietnam adakan majlis pecah tanah bagi taman perindustrian bersama

Bakal sokong rangkaian luas pengilang dan pembekal rentasi sektor bernilai tinggi
Mar 26, 2025 | 5:33 PM
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (dua dari kiri), dan rakan sejawatnya dari Vietnam, Encik Pham Minh Chinh (tiga dari kiri), di majlis pecah tanah maya bagi Taman Perindustrian Vietnam-Singapura (VSIP) di wilayah Thai Binh pada 26 Mac. Turut hadir ialah Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan (kiri).
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (dua dari kiri), dan rakan sejawatnya dari Vietnam, Encik Pham Minh Chinh (tiga dari kiri), di majlis pecah tanah maya bagi Taman Perindustrian Vietnam-Singapura (VSIP) di wilayah Thai Binh pada 26 Mac. Turut hadir ialah Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan (kiri). - Foto EPA-EFE

Singapura dan Vietnam mengadakan majlis pecah tanah maya bagi Taman Perindustrian Vietnam-Singapura (VSIP) di wilayah Thai Binh pada 26 Mac.

VSIP Thai Binh seluas 333 hektar itu adalah salah satu daripada 20 VSIP yang merupakan tonggak utama hubungan kededua negara itu.

VSIP Thai Binh terletak di dalam ekosistem perindustrian Vietnam utara yang semakin berkembang dan akan menjadi taman perindustrian satelit utama, yang menyokong rangkaian luas pengilang dan pembekal merentasi sektor bernilai tinggi seperti komponen elektronik, kejuruteraan jitu dan tenaga boleh diperbaharui.

Tanah perindustrian di VSIP Thai Binh akan tersedia untuk diserahkan kepada pelanggan pada 2026, lapor The Straits Times.

“VSIPs telah menjadi asas kerjasama dua hala kami selama hampir tiga dekad,” kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, di majlis pecah tanah maya itu bersama Perdana Menteri Vietnam, Encik Pham Minh Chinh.

“Sejak awal lagi, mereka telah menetapkan penanda aras untuk pembangunan taman perindustrian di Vietnam – menyediakan prasarana bertaraf antarabangsa kepada pelabur, membolehkan mereka menubuhkan operasi dengan lancar,” tambah beliau.

Kededua perdana menteri itu telah mengadakan pertemuan di Pejabat Pemerintah sebelum majlis itu, dan membincangkan cara untuk mengukuhkan lagi hubungan.

“Kami berdua mahukan Perkongsian Strategik Menyeluruh yang memberikan hasil kukuh untuk rakyat kita,” kata Encik Wong dalam satu hantaran di media sosial.

“Oleh itu, kami sedang menyusun Pelan Tindakan dengan hasil boleh disampaikan khusus yang akan diusahakan oleh pegawai kededua pihak.”

Kededua perdana menteri itu turut menyaksikan pertukaran lima perjanjian, termasuk surat hasrat pelaksanaan Perkongsian Strategik Menyeluruh, dan satu lagi untuk meningkatkan kerjasama dalam perdagangan elektrik rentas sempadan bagi grid kuasa Asean.

Dalam ucapannya, Encik Wong berkongsi lanjut tentang pertumbuhan taman perindustrian, yang ditetapkan untuk menjadi lebih bijak, lebih hijau dan akan mempunyai keterhubungan yang baik antara mereka bagi meningkatkan sinergi.

Encik Wong menambah bahawa melangkah ke hadapan, VSIP akan menggabungkan teknologi bijak untuk menguruskan tenaga, air, sisa dan trafik dengan lebih baik, supaya ia dapat membawa kepada kecekapan yang lebih baik, penjimatan kos, dan lebih baik untuk alam sekitar.

VSIP akan dikuasai dengan lebih banyak tenaga boleh diperbaharui, pada masa syarikat berusaha untuk menyahkarbonkan rantaian bekalan mereka.

Beliau memberi contoh kilang Lego di VSIP Binh Duong III, yang keperluan tenaganya akan dipenuhi oleh kuasa boleh diperbaharui – panel suria di atas bumbungnya, serta projek suria yang berdekatan.

Satu lagi bidang tumpuan untuk VSIP adalah untuk memastikan keterhubungan yang baik antara mereka.

Sebagai contoh, wilayah Thai Binh akan dihubungkan oleh lebuh raya ke Pelabuhan Lach Huyen.

Setelah lebuh raya itu siap, VSIP Thai Binh akan berada pada kedudukan yang baik untuk berkhidmat sebagai taman perindustrian satelit, menyokong pengilang besar sedia ada di VSIP sekitar yang lain, sambil menarik pelaburan dalam industri pembuatan berteknologi tinggi dan maju.

Encik Wong turut berkata Singapura mengalu-alukan import tenaga rendah karbon ke negara ini, yang akan diwujudkan melalui projek tenaga boleh diperbaharui dan pemasangan kabel bawah laut.

Singapura dan Vietnam sedang membuat kemajuan dalam usaha sama antara PetroVietnam Technical Services Corporation dengan Sembcorp Utilities untuk membangunkan ladang angin luar pesisir di selatan Vietnam.

Terdapat juga perbincangan mengenai perjanjian pelaksanaan mengenai kerjasama kredit karbon antara kededua negara itu.

Encik Wong berkata: “Melalui projek-projek ini, kami juga boleh membuka laluan kepada inisiatif yang lebih luas seperti grid kuasa Asean, yang akan meningkatkan daya tahan tenaga kolektif di rantau kita.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg