Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong gesa pengundi tolak politik negatif

Apr 29, 2025 | 8:40 PM
Singapore, Singapura, Prime Minister, Perdana Menteri, Lawrence Wong, GE2025, election, pilihan raya
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (tiga dari kanan), menyertai pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) GRC Punggol bertemu penduduk di Pusat Penjaja One Punggol bagi menunjukkan sokongan. Turut hadir ialah (belakang, dari kiri) Menteri Negara Kanan (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital), Dr Janil Puthucheary; Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Dalam Negeri), Cik Sun Xueling; Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong; dan Penolong Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Cik Yeo Wan Ling. - Foto ST

Parti Pekerja (WP) mengambil remeh kepentingan kepimpinan negara menerusi kenyataan mereka mengenai Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, semasa ucapan rapat mereka di Punggol pada 28 April, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Bercakap kepada media di Pusat Penjaja One Punggol pada 29 April, Encik Wong menyifatkan komen negatif WP sebagai sesuatu yang mengecewakan dan amat tidak wajar, khususnya apabila mereka memberi tanggapan bahawa pelantikan jawatan politik dipengaruhi oleh hubungan peribadi, seperti persahabatan beliau dengan Encik Gan. 

Encik Wong berkata Encik Gan, yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan, dilantik sebagai timbalannya berdasarkan kecekapan dan pengalaman.

Beliau turut mengkritik WP kerana mengamalkan pendekatan politik yang beliau sifatkan sebagai tidak bertanggungjawab dan bersikap sambil lewa.

Encik Wong berkata: “Beliau bukan sekadar seorang rakan.

“Beliau adalah orang nombor dua dalam kabinet kerana keupayaan, rekod perkhidmatan, serta kepercayaan yang telah dibina di dalam dan di luar negara.”

Encik Wong turut serta dalam sesi kunjungan ke GRC Punggol bersama pasukan PAP di kawasan itu yang diketuai Encik Gan, dengan anggota pasukan yang terdiri daripada Menteri Negara Kanan (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital), Dr Janil Puthucheary; Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Dalam Negeri), Cik Sun Xueling; dan Penolong Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Cik Yeo Wan Ling, bagi menunjukkan sokongan dan memberikan respons terhadap komen WP itu.

Dalam ucapan rapat WP GRC Punggol yang diadakan di Sekolah Menengah Yusof Ishak, calon WP, Cik Alexis Dang, membangkitkan kebimbangan tentang budaya politik, dengan memberi gambaran pencalonan DPM Gan berpunca daripada hubungan peribadi.

Pengerusi WP, Encik Pritam Singh, turut mempersoalkan keperluan peranan Encik Gan, termasuk dalam rundingan tarif dengan Amerika Syarikat.

Sebagai maklum balas, Encik Wong berkata komen WP itu memperkecilkan beban tanggungjawab berat yang dipikul Encik Gan. 

“DPM Gan telah memainkan peranan penting dalam memimpin Singapura dan menghadapi pandemik Covid-19. Kini, beliau mengetuai usaha melindungi rakyat Singapura daripada ketidaktentuan ekonomi global.

“Pihak Amerika dan Setiausaha Perdagangan Amerika Syarikat telah mengadakan perbincangan yang baik dengan DPM Gan kerana adanya rasa saling menghormati, dan mereka sedang mencapai kemajuan yang positif dalam perbincangan tersebut,” ujarnya.

Dalam lawatan ke GRC Aljunied pada 29 April, Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, pula membidas hujah WP bahawa PAP boleh kehilangan menteri tanpa melemahkan pemerintah.

Katanya, setiap pasukan terdiri daripada pelbagai anggota, ada yang memainkan peranan lebih penting, yang lain pula melengkapi pasukan.

Encik Wong juga membidas dakwaan WP bahawa pasukan mereka boleh menggantikan kepimpinan PAP pada kos yang lebih rendah, sambil mencabar WP:

“Siapa dalam pasukan mereka yang mampu mengambil alih tugas DPM Gan?”

DPM Gan telah dipindahkan dari GRC Chua Chu Kang pada Hari Penamaan Calon dan kini memimpin pasukan PAP di GRC Punggol.

Menyentuh soal strategi pencalonan di Punggol, Encik Wong berkata DPM Gan telah menggantikan Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean, yang bersara daripada politik.

“Tidak dinafikan bahawa WP barangkali lebih suka sekiranya saya meletakkan seorang menteri baru di sini (Punggol), atau hanya mengekalkan barisan sedia ada bersama calon baru.

“Mungkin sebab itulah mereka memutuskan untuk meninggalkan segala-galanya dan ‘terjun payung’ ke Punggol,” kata Encik Wong.

Justeru, “WP tidak melangkah ke hadapan malah berundur dari Marine Parade-Braddell Heights”.

Yakin dengan pasukan PAP di Punggol, beliau menyifatkannya sebagai satu pasukan yang kukuh. 

“Kami bersedia untuk berkhidmat kepada penduduk dan melakukan yang terbaik untuk mereka,” tambah beliau.

Beliau berkata bahawa walaupun perbezaan pandangan adalah perkara biasa dalam pilihan raya, serangan peribadi terhadap individu yang telah lama berkhidmat untuk negara adalah sesuatu yang tidak wajar dan harus dielakkan.

Encik Wong turut menggesa rakyat Singapura, terutamanya penduduk Punggol agar menilai calon berdasarkan rekod perkhidmatan, kredibiliti dan keupayaan mereka, serta menolak politik perpecahan dan retorik tidak bertanggungjawab.

“Ia adalah pendekatan yang sambil lewa dan tidak bertanggungjawab terhadap kesejahteraan dan masa depan rakyat Singapura.

“Lihatlah pasukan-pasukan yang bertanding, nilai individu-individu yang menawarkan diri untuk berkhidmat, dan buatlah pertimbangan sendiri – pasukan mana yang lebih mampu meningkatkan kehidupan anda,” katanya.

Kepada pengundi muda dan pengundi kali pertama, Encik Wong menyeru agar mereka memberi peluang kepada beliau dan pasukannya untuk bekerjasama demi membina masa depan Singapura.

“Saya faham bahawa hubungan dengan PAP mungkin tidak sekuat generasi terdahulu. Berilah kami peluang untuk memperkasa anda, memberi ruang dan suara untuk anda mengejar impian,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg