Mengundi Parti Pekerja (WP) tidak akan menjejas rancangan pada peringkat kebangsaan di kawasan kediaman, kata calon WP bagi GRC Punggol, Cik Siti Alia Abdul Rahim Mattar, sambil menggesa rakyat Singapura supaya menyokong WP tanpa rasa takut.
Rakan calon baru WP bagi GRC Sengkang, Encik Abdul Muhaimin Abdul Malik, berkongsi sentimen serupa sambil menegaskan undi adalah rahsia.
Kededua calon berucap pada rapat umum ketiga WP di Sekolah Menengah Yusof Ishak pada 28 April.
Cik Siti Alia berkata: “Kalau kita, Parti Pekerja diundi masuk, rancangan peringkat kebangsaan seperti daerah digital Punggol, masih akan diteruskan, jangan bimbang.
“Rancangan peringkat kebangsaan adalah untuk semua, bukan hanya kawasan tertentu.”
Menurutnya, wadah akan disediakan untuk berbincang dengan penduduk Punggol bagi memahami apakah yang perlu dibuat dan diperbaiki.
Sambil menyeru perubahan dilakukan di Punggol, beliau menggesa pengundi supaya menyokong WP bagi tadbir urus yang lebih bersifat terangkum dan telus.
“Jangan takut, jangan bimbang. Parti kita ada banyak pengalaman dari pasukan Hougang, Aljunied dan Sengkang.
“Dengan Parti Pekerja, kita tidak perlu berbincang belakang tabir. Kita tidak ada kawan berpengaruh bagi meminta bantuan khas untuk program kebangsaan.
“Kita akan sentiasa berbincang dengan anda dan kita akan membawa suara anda ke Parlimen,” kata Cik Siti Alia.
Sementara itu, Encik Abdul Muhaimin turut memberi keyakinan kepada pengundi bahawa undi mereka adalah rahsia, sambil menjelaskan proses kiraan undi.
“Nombor siri di belakang kertas undi adalah untuk melindungi proses pengundian dan bukan untuk mengesan undi anda.
“Apabila kertas undi anda dikira, anggota WP dan Parti Tindakan Rakyat (PAP) akan hadir untuk memastikan kiraan yang bersih dan adil.
“Jangan bimbang tentang kerahsiaan undi anda,” kata Encik Abdul Muhaimin.
Semasa berucap, beliau menggesa supaya sokongan tambahan diberi kepada golongan penjaga, termasuk kaum ibu yang tinggal di rumah.
Encik Abdul Muhaimin berkata golongan tersebut berdepan dengan pilihan sukar antara bekerja dengan menjaga anggota keluarga.
“Ada yang sebenarnya tidak mempunyai pilihan semasa membuat keputusan untuk menjadi penjaga sepenuh masa.
“Ramai yang alami kerugian, bukan sahaja dari segi pendapatan, malah dari segi mendapatkan subsidi, simpanan persaraan, kemajuan kerjaya, dan mereka terus mengalami kerugian walaupun setelah bersedia untuk kembali bekerja,” kata beliau.
Encik Abdul Muhaimin berkata lebih banyak boleh dilakukan untuk menyepadukan semula golongan penjaga ke dalam tenaga kerja, seperti pelepasan cukai bagi majikan yang menyokong mereka, dan program kembali bekerja bergaji disokong pemerintah, yang menjamin pekerjaan tetap pada penghujung program tersebut.
“Ada yang telah lama meninggalkan tenaga kerja, jadi kemahiran mereka mungkin perlu diperbaharui, tetapi sokongan untuk kembali bekerja terhad.
“Meluangkan masa untuk menjaga orang tersayang tidak sepatutnya dianggap sebagai satu langkah ke belakang,” kata Encik Abdul Muhaimin.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg