Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong: Kehilangan menteri bakal lemahkan pasukan PAP hadapi cabaran

Fikir teliti siapa yang dipilih tatkala negara hadapi cabaran yang makin meningkat
May 1, 2025 | 11:05 PM
Kehadiran Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, di rapat GRC Punggol yang diadakan di Sekolah Menengah Yusof Ishak pada 1 Mei disambut dengan sorakan oleh hadirin.
Kehadiran Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, di rapat GRC Punggol yang diadakan di Sekolah Menengah Yusof Ishak pada 1 Mei disambut dengan sorakan oleh hadirin. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Pemerintah Parti Tindakan Rakyat (PAP) akan menjadi lemah jika ia hilang beberapa menteri yang berpengalaman dan akan kurang upaya untuk menyahut cabaran di tengah-tengah landskap ekonomi dan geopolitik yang berubah, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Berucap di rapat GRC Punggol yang diadakan di Sekolah Menengah Yusof Ishak pada hari terakhir berkempen, Encik Wong turut menggesa pengundi mempertimbangkan dengan teliti siapakah yang mereka percaya untuk berkhidmat kepada mereka dan keluarga mereka apabila mereka keluar mengundi pada 3 Mei ini.

“Orang yang anda pilih adalah penting,” kata beliau kepada hadirin di rapat itu, kerana Anggota Parlimen (AP) yang dipilih akan menjadi individu pertama yang memberi respons kepada isu-isu perbandaran yang dihadapi penduduk.

Sebanyak 11 rapat pilihan raya diadakan pelbagai parti politik serata negara pada 1 Mei – hari terakhir berkempen – dengan orang ramai dilihat hadir di lokasi-lokasi rapat diadakan untuk mendengar buat kali terakhir hujah dan mesej utama yang ditekankan calon-calon parti politik tentang mengapa mereka harus dan layak dipilih rakyat sebelum Singapura memasuki Hari Bertenang pada 2 Mei.

Encik Wong berkata GRC yang menghadapi persaingan sengit diterajui oleh menteri yang berpengalaman dan merangkumi calon PAP baru yang boleh menjadi pemimpin masa depan.

Meskipun beliau telah membuat “usaha besar” untuk membawa masuk darah baru dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) ini, Encik Wong berkata mereka akan mengambil masa untuk membangun dan berkembang, serta memikul tanggungjawab kepimpinan.

Encik Wong turut mempersoalkan apa yang akan berlaku sekiranya pemerintah hilang beberapa menteri dalam pilihan raya ini – sesuatu yang telah diutarakan beliau beberapa kali semasa berkempen.

“Parti pembangkang kata jangan bimbang,” kata beliau.

“Pasukan Parti Pekerja (WP) boleh melakukan tugas sama pada harga lebih murah. Tetapi anda tahu itu tidak benar,” tambah beliau.

Para menteri, kata Encik Wong, telah menimba pengalaman penggubalan dasar dan pendekatan rakyat selama bertahun-tahun, serta hubungan peribadi dengan rakan sejawat asing.

“Bagaimanakah AP biasa tanpa jawatan (backbencher) yang baru boleh masuk serta-merta dan melakukan kerja pada tahap yang sama? Ia tidak mungkin!” kata beliau.

Encik Wong berkata langkah mengundi parti pembangkang akan melemahkan pemerintah PAP dan keupayaannya untuk berkhidmat kepada rakyat Singapura.

“Akhirnya, anda akan melemahkan diri kita – rakyat Singapura – pada masa Singapura menghadapi cabaran yang sangat serius dan semakin meningkat,” kata beliau.

Dengan mengundi PAP, rakyat akan mempunyai pasukan yang berdedikasi dan berpengalaman untuk berkhidmat kepada mereka dan keluarga mereka, tambah beliau.

Encik Wong berkata rakyat telah mendengar pelbagai hujah dan pandangan yang dikemukakan pelbagai parti politik semasa tempoh berkempen, dan berharap pengundi boleh berundur daripada bahang pilihan raya dan mempertimbangkan siapa yang mereka percaya untuk berkhidmat kepada mereka dan keluarga mereka.

Beliau menambah bahawa parti pembangkang telah menyatakan bahawa program peningkatan nasional kini diperluaskan di seluruh negara.

Bagaimanapun, beliau menggesa pengundi supaya tidak berpuas hati dengan tahap ‘minimum’ – perkara yang turut dibangkitkan Encik Wong dalam ucapannya di rapat GRC Sengkang di Sekolah Menengah North Vista awal sebelum itu.

“Pasukan yang baik, dan pasukan yang baik diterajui PAP, boleh memberi kesan,” kata beliau.

“Kami boleh memberikan huraian inovatif, kami boleh menyesuaikan inisiatif mengikut keperluan anda dan kami boleh menjadikan keadaan lebih baik, seperti apa yang kami telah lakukan di sini di Punggol,” tambah beliau.

Selain rapat GRC Punggol dan GRC Sengkang, PAP telah mengadakan tiga rapat lain bagi SMC Potong Pasir, GRC Aljunied dan GRC Tampines, masing-masing di Maktab Rendah St Andrew, Stadium Serangoon dan Maktab Rendah Temasek.

WP pula mengadakan rapat di Maktab Rendah Anderson Serangoon; Parti Kuasa Rakyat (PPP) di padang sebelah Pusat Pertukaran Bas Tampines Concourse; Parti Kemajuan Singapura (PSP) di Stadium Jurong West; parti Titik Merah Bersatu (RDU) di padang dekat Yishun Central; dan Parti Demokratik Singapura (SDP) di Sekolah Rendah Evergreen.

Calon bebas, Encik Jeremy Tan, yang bertanding di SMC Mountbatten, turut mengadakan rapat di Home of Athletics di Kallang.

Calon-calon parti politik telah berkempen sejak 23 April sehingga sebelum Hari Bertenang pada 2 Mei.

Pada Hari Bertenang, tiada kegiatan berkempen dibenarkan, dan calon serta parti politik mesti menghentikan semua bentuk kegiatan promosi, sama ada secara fizikal atau dalam talian.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg