Singapura perlu memastikan pemerintahnya kekal luar biasa lebih dari sebelumnya,.
Ini sedang negara ini mengharungi cabaran yang belum pernah berlaku dalam landskap sejagat yang berubah, kata Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, sambil mengulangi taruhan tinggi dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).
Beliau memberi amaran dengan menambah bahawa, “jika Singapura menjadi negara biasa, demokrasi biasa, maka prestasi kita akan menjadi biasa”.
Berucap di rapat yang diadakan di Maktab Rendah Temasek – antara lima yang diadakan Parti Tindakan Rakyat (PAP) serata Singapura – pada hari terakhir berkempen pada 1 Mei, Encik Lee berkata prestasi luar biasa Singapura sepanjang enam dekad lalu adalah disebabkan jenama politik negara ini yang luar biasa.
Ini termasuk mutu kepimpinan dalam pemerintah, hubungan antara rakyat dengan pemerintah yang mereka pilih dan semangat perpaduan negara yang luar biasa.
“Ini bukan keadaan semula jadi. Ia memerlukan kerja keras dan banyak usaha kolektif untuk mewujudkan dan mengekalkan perkara ini selama 60 tahun.
“Kami memerlukan individu yang baik untuk dipilih berulang kali ke dalam pemerintah dan memperbaharui generasi baru individu yang mempunyai harapan untuk sertai dan membuktikan diri mereka, serta melantik generasi baru lagi, dan mereka perlu bekerja keras, berkhidmat dan meraih kepercayaan rakyat Singapura.
“Namun, kami telah meneruskannya selama 60 tahun kini... hampir tiga generasi. Kami perlu meneruskannya selagi mampu,” kata beliau.
Dalam ucapannya, Encik Lee membentangkan pencapaian besar dalam pembangunan ekonomi dan sosial Singapura sepanjang enam dekad.
Antaranya, Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) per kapita yang meningkat daripada AS$500 ($653) pada 1965 kepada lebih AS$80,000 ($104,460) hari ini; peluang pendidikan luas untuk anak-anak; perumahan awam bermutu dan sistem penjagaan kesihatan bertaraf dunia dan boleh dimampui; serta Tabung Simpanan Pekerja (CPF) yang diiktiraf sebagai antara sistem jaminan sosial paling berkesan di dunia.
Beliau turut menyentuh tentang respons berkesan Singapura semasa pandemik Covid-19, sambil mengaitkan kejayaan itu hasil kepimpinan yang kukuh dan kepercayaan awam.
Tatkala pandemik itu sedang menular, pemerintah telah membentuk Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) bagi menangani Covid-19, yang dipengerusikan bersama Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong; Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong; dan Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung.
Sedang Singapura mengharungi cabaran dalam dunia yang berubah, di tengah-tengah perang tarif, perang dagang dan peraturan dunia baru, Singapura memerlukan pasukan yang paling kuat dan pemerintah dengan mandat yang jelas untuk menjamin kepentingan negara, menangani isu domestik dan menjamin pelaburan serta pekerjaan untuk rakyat, kata Encik Lee.
Apa yang berlaku di Singapura, termasuk pilihan raya kali ini dan keputusannya, dipantau teliti oleh pelabur dan pemimpin dunia, dan akan mempunyai kesan besar ke atas negara ini dan kehidupan rakyatnya, tambah beliau.
“Antara sesama pemimpin dunia, kebanyakan masanya kita semua berlaku sopan antara satu sama lain, tetapi saya tahu, dan anda tahu, (dalam pemikiran mereka) jika saya fikir anda tidak akan berada di situ (tahap cemerlang) dalam masa setahun atau lima tahun, saya akan perlu buat perkiraan saya.
“Dan apabila saya berurusan dengan anda, saya berurusan dengan anda dalam cara tertentu, kerana anda tidak boleh beri komitmen dan janji. Anda boleh katakan ‘ya’, tetapi bagaimanakah anda akan memenuhi janji?
“Begitu juga, jika mereka melihat pada kita dan memutuskan bahawa Perdana Menteri Singapura tidak boleh memenuhi janji untuk Singapura, buat apa bercakap dengan Perdana Menteri Singapura?” ujar Encik Lee.
Justeru, beliau memohon bantuan rakyat untuk memastikan Singapura dan pemerintahnya kekal luar biasa.
“Bukan untuk memberi ganjaran kepada PAP atas apa yang ia telah lakukan, tetapi demi kepentingan anda sendiri, kerana untuk berurusan dengan dunia ini, untuk berjaya dalam dunia ini, anda memerlukan pasukan yang luar biasa, dan mutu pemerintah yang luar biasa, dan PAP akan melakukan yang terbaik untuk memberikannya kepada anda,” tambah Encik Lee.
Meski akur parti pembangkang mempunyai peranan dalam demokrasi negara, Encik Lee, bagaimanapun, berkata sebuah Singapura yang menjadi demokrasi biasa akan memberikan prestasi biasa dan standard di mana negara ini sudah terbiasa juga, dengan keadaannya akan menjadi amat berbeza – sama ada dalam ekonomi, pendidikan, perumahan, penjagaan kesihatan atau kedudukan di dunia.
Beliau menekankan GE2025 akan membawa perbezaan bagi masa depan negara, sambil memberi amaran terhadap kehilangan pemimpin yang berpengalaman dan kesannya terhadap tadbir urus.
Encik Lee berkata PAP telah mengenal pasti dan melantik individu muda yang berkebolehan untuk membawa negara ke hadapan dengan semangat sama dan keazaman diperbaharui, agar mereka dapat terus berkhidmat dengan baik kepada Singapura dan memenangi mandat rakyat setiap lima tahun.
“Undi anda akan menentukan sama ada kita dapat mengekalkan Singapura yang luar biasa, mengekalkan keajaiban Singapura untuk sekurang-kurangnya lima tahun lagi.
“Bantulah kami untuk melakukan perkara ini, sama seperti pendahulu kita dan nenek moyang kita yang bekerjasama untuk melakukan perkara ini agar anak cucu kita boleh mewarisi sebuah Singapura yang jauh lebih baik daripada yang kita miliki.
“Berilah mereka peluang membawa negara kita ke hadapan untuk tahun-tahun akan datang,” kata Encik Lee.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg