Pembaharuan pucuk pimpinan parti bukan dilakukan sekali sahaja, tetapi adalah satu usaha yang berterusan, dengan Parti Tindakan Rakyat (PAP) sentiasa mencari calon yang baik untuk menyertai pasukan mereka, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Bahkan, tugas bagi pilihan raya umum yang selanjutnya sudah pun bermula, tambah beliau.
Parti pemerintah memulakan semula ‘sesi teh’ untuk mencari calon berpotensi.
“Kami sedang mencari secara meluas – merentas semua latar belakang dan masyarakat. Tidak kira jika seseorang itu tidak setuju dengan kami atau mengundi menentang kami sebelum ini.
“Selagi mereka mahu berkhidmat, dan bersedia mencapai tujuan sama dengan PAP, kami mengalu-alukan mereka untuk menyertai bersama agar kita boleh membina sebuah Singapura yang lebih baik,” kata beliau.
Encik Wong, yang juga Setiausaha Agung PAP, berkata demikian semasa majlis penghargaan pada 4 Julai buat mantan Anggota Parlimen (AP) Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang baru-baru ini mengundurkan diri daripada Parlimen Ke-14 Singapura.
Majlis yang diadakan di bangunan Parlimen itu dihadiri sekitar 90 tetamu, termasuk para AP, AP yang sudah bersara dan pasangan mereka, serta pengerusi cawangan PAP.
Dalam ucapannya, Encik Wong mengucapkan terima kasih kepada 20 AP PAP yang bersara daripada dunia politik setelah tidak bertanding dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).
Menurutnya, mereka telah turut menyingsing lengan dengan membantu mempersiapkan calon baru PAP semasa pilihan raya lalu.
Dalam GE2025, PAP telah memperkenalkan 32 calon baru – kumpulan terbesar sejauh ini.
Sebagai ketua parti, Encik Wong berkata tugas mengenal pasti dan membangunkan individu adalah antara tanggungjawab paling penting beliau.
Namun, ia sesuatu yang tidak boleh dilakukan secara bersendirian. Beliau memerlukan anggota parti untuk turut serta “membantu kami mencari, menjadi mentor kepada individu yang mempunyai harapan, dan menyokong perkembangan mereka”.
Encik Wong menambah bahawa ada individu yang mungkin melahirkan minat menyertai politik, namun parti tersebut perlu pasti tentang motivasi mereka, manakala yang lain pula mungkin mempunyai hati untuk berkhidmat, tetapi belum bersedia bagi tuntutan kehidupan awam.
“Dan itulah yang telah kami pelajari sejak beberapa tahun lalu bahawa kami tidak boleh sekadar bergantung pada hanya beberapa sesi teh atau wawancara untuk merekrut dan membawa masuk calon.
“Adalah lebih baik untuk membawa mereka masuk awal dan beri mereka peluang untuk berkhidmat dalam masyarakat,” kata beliau.
Dalam GE2025, Encik Wong berkata beberapa muka baru parti itu telah dikerahkan awal, namun sebahagian daripada mereka diperkenalkan agak lambat dalam proses tersebut.
“Ini satu bidang di mana kami boleh dan akan lakukan dengan lebih baik dalam pusingan seterusnya,” kata beliau.
Dalam ucapannya itu, Encik Wong memberi penghargaan khas kepada AP PAP yang bersara, sambil berkata beliau tahu bahawa keputusan untuk bersara bukan sesuatu yang mudah – ada yang bersara setelah berkhidmat selepas beberapa penggal dan ada pula minta untuk mengundurkan diri atas sebab peribadi.
“Segelintir daripada anda boleh terus berkhidmat untuk satu lagi penggal. Namun, saya terpaksa meminta anda memberikan laluan bagi pembaharuan dan orang baru.
“Anda memahami keputusan parti dan bersetuju untuk mengundurkan diri dengan budi bahasa.
“Saya berterima kasih atas pemahaman anda, dan kerana meletakkan kepentingan parti dan Singapura di hadapan anda,” kata beliau.
Encik Wong turut memberi penghargaan khusus buat enam pemegang jawatan politik yang bersara – mantan Menteri Kanan dan Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Encik Teo Chee Hean; mantan Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat; mantan Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen; mantan Menteri di Pejabat Perdana Menteri dan Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman; mantan Menteri Negara Kanan (Pertahanan), Encik Heng Chee How; dan mantan Menteri Negara Kanan (Pengangkutan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Dr Amy Khor.
Beliau menambah bahawa Encik Teo bersetuju menyumbang sebagai Penasihat Kanan di Pejabat Perdana Menteri, manakala Encik Heng akan terus berkhidmat sebagai Pengerusi Yayasan Penyelidikan Nasional (NRF).
“Saya telah bekerja rapat dengan anda semua, dan saya telah belajar banyak daripada anda semua,” kata beliau.
“Kami akan terus meraih manfaat daripada nasihat dan kebijaksanaan anda,” tambah Encik Wong, merujuk kepada khidmat berterusan Encik Teo dan Encik Heng.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg