Topic followed successfully
Go to BHkuPM Wong pimpin PAP pertahan Marsiling-Yew Tee dalam pertarungan dua penjuru dengan SDP
PM Wong pimpin PAP pertahan Marsiling-Yew Tee dalam pertarungan dua penjuru dengan SDP
PM Wong pimpin PAP pertahan Marsiling-Yew Tee dalam pertarungan dua penjuru dengan SDP
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, akan memimpin pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) untuk mempertahankan GRC Marsiling-Yew Tee daripada pencabar dari pasukan Parti Demokratik Singapura (SDP).
Encik Wong akan menerajui pasukan empat anggota itu, yang terdiri daripada Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad, Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) North West, Encik Alex Yam; dan Anggota Parlimen (AP) GRC Marsiling-Yew Tee, Cik Hany Soh.
Parti Demokratik Singapura (SDP) pula dibentuk pengasas laman web berita alternatif Wake Up, Singapore (WUSG), Encik Ariffin Iskandar Sha Ali Akbar, 27 tahun; setiausaha penganjur SDP, Encik Jufri Salim, 42 tahun; pengarah teater, Encik Alec Tok, 60 tahun; dan mantan ketua pengarah eksekutif Gulf Oil China, Cik Gigene Wong, 59 tahun.
Permohonan para calon daripada kedua-dua parti itu untuk bertanding di GRC Marsiling-Yew Tee itu diterima di Pusat Penamaan Calon di Maktab Rendah Jurong-Pioneer di Teck Whye Walk pada 23 April.
Ini merupakan kali pertama Encik Wong akan bertanding dalam pilihan raya umum selaku Perdana Menteri dan juga Setiausaha Agung PAP.
Menurut semakan terbaru sempadan pilihan raya, GRC Marsiling-Yew Tee kekal tanpa perubahan dan mempunyai seramai 119,352 pengundi berdaftar.
Pada GE 2020, pasukan PAP yang sama telah memperoleh 63.18 peratus undi, mengalahkan pasukan dari SDP yang dianggotai oleh Encik Damanhuri Abas, Encik Lim Boon Heng, Encik Khung Wai Yeen dan Encik Benjamin Pwee.
Ini merupakan kali ketiga SDP bertanding di GRC Marsiling-Yew Tee sejak penubuhannya pada 2015.
Pada GE2015, pasukan PAP yang ketika itu diterajui Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Lawrence Wong, bersama Speaker Parlimen, Puan Halimah Yacob, memenangi 68.73 peratus undi dalam pertandingan menentang pasukan daripada SDP.

