Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pritam: Kehadiran WP di Parlimen tidak akan lemahkan pemerintah

May 1, 2025 | 11:10 PM
GE2025, WP, Pritam
Setiausaha Agung Parti Pekerja (WP), Encik Pritam Singh, menutup kempen pilihan raya WP pada 1 Mei dengan berkata penambahan Anggota Parlimen (AP) WP tidak akan melemahkan pemerintah, kerana mereka tetap akan menyokong undang-undang yang dicadangkan, jika ia demi kepentingan Singapura. - Foto BH oleh KHALID BABA

Setiausaha Agung Parti Pekerja (WP), Encik Pritam Singh, menutup kempen pilihan raya partinya pada 1 Mei dengan menekankan bahawa WP merupakan pemacu bagi kebaikan.

Beliau menegaskan bahawa penambahan Anggota Parlimen (AP) WP tidak akan melemahkan pemerintah kerana mereka tetap akan menyokong undang-undang yang dicadangkan oleh pemerintah jika ia demi kepentingan Singapura, katanya.

Hal itu dikongsinya di akhir kempen WP di Maktab Rendah Anderson Serangoon di Upper Serangoon Road pada 1 Mei, sehari sebelum Hari Bertenang. 

“Rakan senegaraku, saya percaya anda semua adalah pengundi yang bijak, berfikir dengan mendalam dan bersemangat patriotik.

“Apabila anda menilai potensi keseluruhan calon Parti Pekerja yang berada di hadapan anda hari ini dalam membina Parlimen yang lebih seimbang, pilihan anda amat jelas, dan yang paling penting, sebelum anda mengundi... ingatlah frasa ini: Parti Pekerja adalah pemacu bagi kebaikan,” terang beliau.

Encik Pritam menambah, jika kesemua anggota WP memasuki parlimen, Parti Tindakan Rakyat (PAP) tetap akan mendapat 73 peratus kerusi – 71 daripada 97 kerusi di Parlimen.

Jika ini dapat dinikmati pemimpin negara demokratik lain, mereka akan menganggap ia sebagai keputusan yang sangat baik, katanya.

“Pemimpin demokrasi luar negara sanggup mengorbankan ‘tangan dan kaki kanan mereka’ untuk mendapat 73 peratus kerusi di Parlimen.

“Bagi mereka, 73 peratus adalah satu pencapaian yang amat hebat,” ujar beliau.

Encik Pritam berkata, penambahan bilangan AP WP di Parlimen tidak akan melemahkan pemerintah.

“Kami tidak membangkang semata-mata untuk membangkang, jika undang-undang itu demi kepentingan Singapura, kami akan mengundi bersama pemerintah, seperti yang telah kami lakukan sebelum ini,” ujarnya.

Ketika rapat itu, Encik Pritam turut menjawab beberapa kenyataan beberapa pemimpin PAP, antaranya kekalahan Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, akan begitu terkesan bagi Singapura.

Menurut beliau, jika Encik Gan dianggap begitu penting untuk pasukannya, Perdana Menteri Encik Lawrence Wong tidak akan memindahkannya untuk bertanding di GRC Punggol untuk Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).

Selepas ucapan beliau, Encik Pritam memperkenalkan mantan Setiausaha Agung WP, Encik Low Thia Khiang, yang melambai kepada orang ramai. Ia adalah penampilan pertama Encik Low di rapat sepanjang kempen GE2025 ini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg