PM Wong undang PM Penguasa Palestin ziarah S’pura secara rasmi
PM Wong undang PM Penguasa Palestin ziarah S’pura secara rasmi
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, telah mengundang Perdana Menteri Penguasa Palestin, Dr Mohammad Mustafa, bagi mengadakan lawatan rasmi ke Singapura.
Undangan tersebut telah disampaikan secara peribadi oleh Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, yang sedang mengadakan lawatan kerja sejak 3 hingga 6 November ini ke Wilayah Palestin dan Israel.
Dr Balakrishnan bertemu Dr Mustafa di Pejabat Perdana Menteri di Ramallah, di Tebing Barat pada 4 November.
Dalam kenyataannya, Kementerian Ehwal Luar (MFA) berkata Dr Mustafa meluahkan penghargaan kepada Singapura kerana memberikan sokongan berkekalan kepada Penguasa Palestin, selain mengalu-alukan hubungan antara rakyat yang lebih rapat.
Semasa lawatan itu, Dr Balakrishnan menyaksikan penyerahan cek derma sebanyak AS$500,000 ($652,000) daripada Singapura, kepada Program Makanan Sedunia (WFP) untuk mangsa perang di Gaza.
Beliau turut mengumumkan dua kursus baru bagi para pemimpin Penguasa Palestin yang dijadualkan bermula pada 2026.

