Semua pihak yang terlibat di Gaza harus merebut peluang untuk mencapai persetujuan bagi fasa gencatan senjata selanjutnya dan patuh kepada syarat gencatan senjata tersebut dalam tempoh perjanjian fasa pertama ini, kata Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan.
“Buat kali pertama sejak sekian lamanya, ada harapan dengan adanya fasa pertama gencatan senjata,” kata Dr Balakrishnan.
“Harapan ini kekal rapuh, tetapi ia adalah peluang bagi warga Gaza, bukan hanya untuk membina semula tempat tinggal mereka, malah mencetus harapan bagi masa depan seluruh generasi.
“Kami menggesa semua pihak merebut peluang untuk mencapai persetujuan bagi fasa selanjutnya dan untuk patuh kepada syarat gencatan senjata.
“Kesengsaraan orang awam di Gaza, terutama wanita dan kanak-kanak telah berlarutan terlalu lama.”
Dr Balakrishnan berkata demikian dalam ucapannya di majlis penyampaian cek daripada Singapura kepada Program Makanan Sedunia (WFP) di Pejabat Perwakilan Singapura di Ramallah, Tebing Barat, pada 4 November.
Dalam ucapannya itu, beliau turut mengumumkan dua kursus tambahan pada 2026 untuk membantu Penguasa Palestin membina keupayaan membangun semula Gaza.
Dua kursus itu, yang bakal ditawarkan di bawah Pakej Bantuan Teknikal Dipertingkat (Etap) yang sedia ada merangkumi ekonomi digital dan keusahawanan digital dan ditawarkan atas permintaan PA.
Ia menambah kepada dua kursus yang diumumkan pada Julai 2025, iaitu untuk membina keupayaan polis dalam masyarakat dengan kerjasama Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun dan Program Pemimpin Muda untuk pemimpin baru Palestin.
“Kursus-kursus itu akan memperkukuh keupayaan Penguasa Palestin untuk melaksanakan pentadbiran secara berkesan dan persiapan untuk mencapai pembangunan dan keamanan yang berdaya tahan,” kata beliau.
Buat masa ini, lebih 800 pegawai Penguasa Palestin telah dilatih di Singapura menerusi Etap.
Dr Balakrishnan menambah Singapura komited menghulur bantuan untuk membangun batu asas masa depan lebih baik bagi semua warga Palestin dan untuk menyokong mereka dalam persiapan menjadi negara Palestin.
Di majlis tersebut, Wakil Singapura ke Penguasa Palestin, Encik Hawazi Daipi, menyerahkan cek bernilai AS$500,000 ($642,000) daripada Singapura kepada Ketua Program di Palestin untuk Program Makanan Sedunia, Cik Jane Waite, yang akan digunakan untuk membantu warga Palestin di Gaza.
“Singapura akan memainkan peranan untuk menyokong WFP dalam menjalankan misi untuk memerangi kebuluran dan memberikan harapan kepada mangsa krisis. Usaha WFP adalah kritikal dalam menyokong orang di Gaza,” kata Dr Balakrishnan.
“WFP dan agensi bantuan utama yang lain akan terus diperlukan dengan masyarakat antarabangsa bersiap-siap menghadapi cabaran membina semula Gaza sejurus gencatan senjata tetap dicapai.”
Buat masa ini, Singapura telah menghantar 10 pakej bantuan kemanusiaan bernilai lebih $24 juta untuk membantu warga awam Palestin.
Menambah, Dr Balakrishan berkata perkara yang berlaku di Gaza telah meninggal kesan yang mendalam pada warga Singapura.
“Walaupun Singapura negara kecil di Asia Tenggara, sekitar 8,000 kilometer dari Gaza, hati kami tidak berjauhan.”
Awal dari itu, Dr Balakrishnan telah memulakan lawatan kerja ke Wilayah Palestin dengan bertemu rakan sejawatan dari Penguasa Palestin, Menteri Ehwal Luar dan Ekspatriat, Dr Varsen Aghabekian.
Beliau turut bertemu Perdana Menteri Penguasa Palestin, Encik Mohammad Mustafa, serta Menteri Perancangan dan Kerjasama Antarabangsa, Dr Estephan Salameh.
Beliau turut dijadual bertemu mantan Perdana Menteri Penguasa Palestin, Encik Mohammed Shtayyeh, di Ramallah dan ketua Ra’am, Encik Mansour Abbas, di Baitulmakdis pada 4 November.
Dr Balakrishnan sedang mengadakan lawatan kerja ke Wilayah Palestin dan Israel antara 3 hingga 6 November.
Pada 3 November, Dr Balakrishnan menekankan peri penting menyampaikan keperluan kemanusiaan yang amat diperlukan di Gaza selagi gencatan senjata yang rapuh di Gaza berkekalan.
Menambah, Dr Balakrishnan berkata melebihi bantuan kemanusiaan segera, Singapura akan terus menyokong program membina keupayaan Penguasa Palestin dan membantu usaha antarabangsa dalam membina semula Gaza dalam jangka panjang.
Dr Balakrishnan berkata Singapura mempunyai hubungan dan tahap kepercayaan yang baik dengan kededua pihak dalam konflik Israel-Palestin yang berlarutan dan tragik itu ini membolehkan Singapura memahami dengan lebih mendalam keadaan di Gaza dan memberi sumbangan secara membina.
Lawatan Dr Balakrishnan ke Wilayah Palestin dan Israel diadakan kurang sebulan selepas fasa pertama gencatan senjata antara Israel dengan Hamas di Gaza dilaksanakan pada 10 Oktober.
Dalam pada itu, Dr Balakrishnan menekankan lagi sokongan Singapura bagi huraian dua negara yang dirunding, selaras dengan huraian yang dikemukakan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Laluan ini tidak mudah, tetapi ia satu-satunya laluan ke arah huraian menyeluruh, adil dan berdaya tahan untuk konflik Israel-Palestin yang berlaku sekian lama,” ujar beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg