Calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi SMC Sembawang West, Cik Poh Li San, menang di kawasan undi perseorangan yang baru dibentuk bagi Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).
Beliau mendapat 53.19 peratus undi, menewaskan Setiausaha Agung, Parti Demokratik Singapura (SDP), Dr Chee Soon Juan.
SMC Sembawang West, yang mempunyai 24,206 pengundi, dibentuk menyusuli semakan sempadan bagi GE2025 disebabkan pertumbuhan dalam GRC Sembawang.
Sebelum GE2025, Cik Poh, 49 tahun, merupakan Anggota Parlimen (AP) bagi divisyen Sembawang West ketika ia berada di bawah GRC Sembawang.
Dalam ucapannya selepas keputusan rasmi diumumkan pada awal 4 Mei, Cik Poh berkata beliau dan penyokongnya telah melakukan “200 peratus untuk pertandingan” di SMC Sembawang West.
“Ini adalah pertarungan sengit, dan kami bekerja sangat keras dalam tempoh lima tahun lalu, dan terutama pada bulan lepas (April) untuk keputusan ini,” katanya di Stadium Yio Chu Kang.
“Saya benar-benar rasa rendah hati dan berterima kasih di atas semua sokongan anda yang luar biasa,” tambahnya.
Cik Poh mengucapkan terima kasih kepada Dr Chee di atas semangatnya, dan pasukan PAP di GRC Sembawang, yang diketuai Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung.
Dalam ucapan rapat pada 30 April, Naib Presiden Kanan di Changi Airport Group itu berkata beliau memahami tekanan kehidupan harian yang dihadapi penduduk.
Beliau memberi jaminan akan terus bersuara di Parlimen untuk penduduk, terutama mengenai usaha mendapatkan pekerjaan dalam persekitaran ekonomi yang lebih mencabar.
Sementara itu, Dr Chee, 62 tahun, sebagai muka baru di Sembawang West, telah mendekati penduduk di SMC Bukit Batok selama sembilan tahun sebelum ini, namun kawasan undi itu telah dibubarkan dan dimasukkan ke dalam GRC Jurong East-Bukit Batok.
Dr Chee merupakan pensyarah di Universiti Nasional Singapura (NUS) sebelum menceburi politik pada 1992 selepas pengasas SDP, Encik Chiam See Tong, menyertakannya dalam parti tersebut.
Sebelum ini, Cik Poh akur pada semangat dan laluan politik Dr Chee yang panjang. Bagaimanapun, beliau menambah, sayangnya, Dr Chee tidak memanfaatkan pengalamannya itu untuk berkhidmat kepada masyarakat.
“Ya, beliau bersemangat...Tetapi semangat sahaja tidak membina taman permainan atau menyokong warga emas atau menenangkan keluarga yang sedang menghadapi cabaran,” jelas Cik Poh.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg