Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PPP: Amalan pengambilan pekerja, jabatan sumber manusia perlu dipimpin rakyat S’pura

Apr 26, 2025 | 11:04 PM
Setiausaha Agung Parti Kuasa Rakyat (PPP), Encik Goh Meng Seng, mengkritik dasar Perjanjian Kerjasama Ekonomi Menyeluruh (CECA) oleh mantan Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, semasa rapat PPP di Stadium Yio Chu Kang pada 26 April.
Setiausaha Agung Parti Kuasa Rakyat (PPP), Encik Goh Meng Seng, mengkritik dasar Perjanjian Kerjasama Ekonomi Menyeluruh (CECA) oleh mantan Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, semasa rapat PPP di Stadium Yio Chu Kang pada 26 April. - Foto ST

Amalan pengambilan pekerja dan pengurusan Jabatan Sumber Manusia (HR) di semua syarikat sederhana dan besar mesti dipimpin rakyat Singapura.

Ini langkah penting untuk memastikan rakyat negara ini diberi keutamaan dan peluang adil untuk mendaki tangga korporat, yang kini semakin dikuasai warga asing, kata Setiausaha Agung Parti Kuasa Rakyat (PPP), Encik Goh Meng Seng.

Beliau mengkritik dasar Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif (Ceca) oleh mantan Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, yang dilaksanakan pada 2004, semasa rapat umum PPP di Stadium Yio Chu Kang.

“Encik Lee telah menyebabkan kemudaratan besar kepada negara dengan dasar Ceca.

“Negara kecil seperti Singapura tidak mampu menanggung persaingan sebegitu dalam tenaga kerja,” tambah Encik Goh.

Ceca adalah perjanjian perdagangan antara Singapura dengan India bagi memperkukuhkan hubungan ekonomi antara dua negara itu.

Salah satu aspek utama di bawah dasar Ceca adalah dengan memberi peluang kepada individu dengan kemahiran, untuk bekerja dan menyediakan perkhidmatan di negara masing-masing dengan lebih lancar.

Menurut Encik Goh, dasar ini telah mencetuskan kesukaran bagi pekerja Singapura untuk memperoleh kenaikan pangkat di tempat kerja. Beliau menambah, jawatan itu kini sering diberikan kepada warga asing.

“Golongan profesional muda kini sukar mencari pekerjaan yang menawarkan laluan kerjaya,” katanya.

Pada rapat tersebut, Encik Goh disertai anggota PPP lain yang baru-baru ini disahkan sebagai calon bagi Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).

Ini termasuk barisan calon PPP bagi GRC Ang Mo Kio yang terdiri daripada bendahari parti, Encik William Lim, 47 tahun; pesara penjawat awam, Encik Martinn Ho, 64 tahun; penyelaras keselamatan, Encik Thaddeus Thomas, 43 tahun; jurutera IT, Encik Samuel Lee, 33 tahun; dan pakar hortikultur, Encik Heng Zheng Dao, 24 tahun.

Selain Encik Goh, calon PPP lain yang akan bertanding di GRC Tampines termasuk Encik Derrick Sim, 44 tahun; eksekutif landskap, Encik Vere Nathan, 26 tahun; pengasas firma teknologi hijau, Encik Peter Soh, 65 tahun; dan usahawan, Cik Arbaah Haroun, 50 tahun.

Bertutur dalam bahasa Melayu, Cik Arbaah, menegaskan pendapat Encik Goh: “Negara ini dibina atas usaha rakyat Singapura.

“Kami (warga Singapura) sepatutnya menjadi keutamaan untuk mendapatkan pekerjaan yang baik di tanah air sendiri.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg