Tanpa mengira bagaimana setiap warga Singapura itu mengundi, mereka kekal bersatu dalam menginginkan masa depan yang terbaik untuk negara ini.
Menekankan demikian dalam hantaran Facebook pada 4 Mei, menyusuli keputusan Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) diumumkan sepenuhnya beberapa jam sebelum itu, Presiden Tharman Shanmugaratnam, menjelaskan:
“Kita tidak melihat hilangnya kepercayaan pada politik mahupun polarisasi pandangan yang tajam, sepertimana yang menyelubungi banyak negara lain.
“Semoga ini kekal lama. Saya memuji semua parti dan calon kerana bertanding dalam pilihan raya dengan penuh kegigihan.”
Menurutnya lagi, apabila emosi reda selepas pilihan raya, satu perkara yang jelas ialah Singapura adalah pemenangnya.
“Ramai merupakan muka baru dalam politik, tetapi membawa idea dan bakat segar.
“Penghargaan harus diberi kepada semua warga Singapura, atas ketenangan dan keyakinan anda, mengikuti kempen dan membuat pilihan anda,” jelas Tuan Presiden.
Menurutnya, beliau telah menulis kepada Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, yang juga Setiausaha Agung Parti Tindakan Rakyat (PAP), untuk mengucapkan tahniah atas mandat kuat, yang diterima partinya, dan secara rasmi mengundangnya untuk membentuk pemerintah selanjutnya.
“Saya berharap Parlimen akan datang, akan menyaksikan Anggota Parlimen (AP) daripada parti pemerintah dan pembangkang, membahaskan dasar dengan bertimbang rasa dan penuh hormat, serta mencari usaha bersama dalam membina masa depan yang amat menjanjikan untuk rakyat Singapura.
“Masa depan yang teguh dengan unsur berbilang kaum. Sesuatu, di mana Singapura terus dipandang tinggi di peringkat antarabangsa. Sesuatu yang memberi setiap warga Singapura peluang dan harga diri.
“Dan yang menggalakkan mereka yang prihatin secara mendalam dan berfikir secara bebas dan kreatif, untuk membantu mengembangkan apa yang kita secara kolektif mampu capai.
“Tahun-tahun terbaik kita (Singapura) masih di hadapan menanti,” ujar Encik Tharman.
Kemenangan berpihak pada PAP, dengan mandat yang kukuh diberikan pada pasukan Encik Wong, yang menyertai pilihan raya buat kali pertama sebagai Perdana Menteri, sejak mengambil alih pucuk pimpinan daripada Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, pada 15 Mei 2024.
PAP berjaya merebut 87 daripada 97 kerusi Parlimen dalam GE2025, sekali gus menerima undi sah sebanyak 65.57 peratus.
Jumlah ini sekitar empat peratusan mata lebih tinggi daripada 61.24 peratus yang dicapai dalam GE2020.
Lebih 2.4 juta penduduk telah mengundi di Singapura. Jumlah ini termasuk 42,829 undi ditolak.
Bilangan ini membentuk 92.47 peratus daripada seramai 2,627,026 pengundi yang didaftarkan.
Dalam pada itu, PAP berjaya memenangi beberapa kawasan undi ‘hangat’ termasuk GRC Tampines, GRC Punggol, GRC East Coast, GRC West Coast-Jurong West dan SMC Jalan Kayu.
Saingan sengit empat penjuru di GRC Tampines antara PAP, Parti Pekerja (WP), Parti Perpaduan Nasional (NSP) dan Parti Kuasa Rakyat (PPP), membawa pada kemenangan tipis berpihak pada PAP dengan 52.02 peratus.
Pasukan PAP ini dipimpin Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.
Anggota lain pasukan PAP di GRC Tampines pula terdiri daripada Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Dr Koh Poh Koon; Setiausaha Parlimen Kanan (Pengangkutan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Baey Yam Keng; dan dua muka baru PAP, Encik David Neo dan Dr Charlene Chen.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg