Satu kejadian yang dialami semasa melakukan lawatan dari rumah ke rumah penduduk di Eunos Cresent pada 2023 menanam tekad Anggota Parlimen (AP) GRC Marine Parade, Encik Mohd Fahmi Aliman, untuk meningkatkan usaha menjaga keselamatan penduduk warga emas.
Menurut Encik Fahmi, yang mewakili daerah mengundi Geylang Serai, beliau sedang mengangkat tangan untuk mengetuk pintu sebuah unit flat apabila beliau terlihat seorang warga senja terbaring di lantai dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Saya terkejut dan segera menelefon paramedik. Apabila mereka sampai beberapa minit kemudian, mereka mengesahkan penduduk itu sebenarnya telah meninggal dunia sekurang-kurangnya sehari sebelum itu.
“Pengalaman itu mendorong saya memulakan program untuk mendamping warga emas yang tinggal sendirian, jadi mereka tak rasa terabai atau terpinggir,” kata Encik Fahmi yang juga Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East.
Justeru, pada September 2024, dengan sokongan pertubuhan akar umbi Geylang Serai dan syarikat start-up tempatan, SenzeHub, beliau melancarkan inisiatif untuk memasang sensor pergerakan bagi 60 orang warga senja yang tinggal sendirian di Eunos Crescent, menerusi program WeCare.
Sensor tersebut mengesan jika tiada pergerakan di dalam rumah untuk tempoh yang ditetapkan.
Menyusuli itu, anggota keluarga, penjaga atau sukarelawan akan diberitahu dengan segera supaya mereka dapat menyiasat.
Encik Fahmi berkata demikian semasa bersembang dengan Berita Harian (BH) untuk ruangan Siri Bersama Anggota Parlimen yang diterbitkan akhbar ini menjelang Pilihan Raya Umum 2025, yang harus diadakan tahun ini.
Sebenarnya, berbekal hasrat untuk mendorong warga senja keluar dari rumah masing-masing dan menjalani gaya hidup lebih aktif, Encik Fahmi telah melancarkan Kampung Eunos Network bersama Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, pada 2023.
Antara lain, rangkaian penduduk itu telah menganjurkan sesi berjalan pantas pada Mei 2024, dengan kerjasama beberapa rakan kongsi dalam masyarakat.
Encik Fahmi berkata, adalah penting untuk memastikan warga senja giat melakukan aktiviti di luar agar mereka dapat melawan rasa kesepian, bertemu dengan orang ramai, sambil mengamalkan gaya hidup sihat.
Menurut beliau, maklum balas yang diterima daripada penduduknya adalah positif.
Malah, ada yang menyuarakan keinginan untuk melihat lebih banyak program senaman atau kegiatan sukan seperti senaman zumba dan berjalan pantas diadakan di kejiranan mereka, kata beliau lagi.
Oleh itu, Encik Fahmi kini mengadakan sesi senaman di Eunos Crescent agar lebih ramai dapat hadir.
“Alhamdulillah, ramai warga senja kita yang dahulunya tidak keluar rumah, sekarang rajin keluar bersenam.
“Tetapi yang ambil bahagian kebanyakan mak cik-mak cik, jadi kami perlu adakan kegiatan yang mungkin dapat menarik perhatian pak cik-pak cik pula,” Encik Fahmi menambah sambil tersenyum.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg