Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pritam akur WP hadapi cabaran sukar dalam GE2025

May 4, 2025 | 5:43 PM
Semasa ditemui di satu sidang media di pasar dan pusat makanan sekitar Bedok Reservoir Road, pada 4 Mei, ketua WP, Encik Pritam Singh, menjelaskan beliau tidak pasti sama ada akan dilantik sebagai Ketua Pembangkang selepas pilihan raya. Bersama beliau ialah pasukan GRC Aljunied, (dari kanan) Cik Sylvia Lim, Encik Gerald Giam, Encik Fadli Fawzi dan Encik Kenneth Tiong.
Semasa ditemui di satu sidang media di pasar dan pusat makanan sekitar Bedok Reservoir Road, pada 4 Mei, ketua WP, Encik Pritam Singh, menjelaskan beliau tidak pasti sama ada akan dilantik sebagai Ketua Pembangkang selepas pilihan raya. Bersama beliau ialah pasukan GRC Aljunied, (dari kanan) Cik Sylvia Lim, Encik Gerald Giam, Encik Fadli Fawzi dan Encik Kenneth Tiong. - Foto ST

Ketua Parti Pekerja (WP), Encik Pritam Singh, mengakui bahawa Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) merupakan satu perjuangan yang sukar bagi WP, seperti mana-mana parti pembangkang yang ingin menembusi sistem politik Singapura.

Encik Singh turut mengulas peralihan sokongan besar-besaran di seluruh negara yang berpihak kepada Parti Tindakan Rakyat (PAP), dengan peningkatan undian sekitar lima peratus.

Beliau menyatakan bahawa faktor utama perubahan ini adalah kerana ia merupakan kali pertama Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, bertanding dalam GE2025, sebagai peneraju utama negara ini. 

Selain itu, kebimbangan mengenai keadaan sejagat yang tidak menentu turut memainkan peranan, kata Encik Pritam, dalam mempengaruhi keputusan sebahagian pengundi.

Bagaimanapun, beliau, yang juga Setiausaha Agung WP, mengucapkan tahniah kepada Encik Wong, atas mandat kukuh yang diraih PAP.

Encik Pritam, 48 tahun, yang memenangi dan mempertahankan kerusi Parlimen bersama pasukannya di GRC Aljunied, menjelaskan lebih lanjut mengenai pengamatannya sewaktu ditemui pada sidang media di pasar dan pusat makanan di Blok 630 Bedok Reservoir Road, pada 4 Mei.

Beliau turut melahirkan rasa bangga terhadap prestasi WP di GRC Aljunied dan GRC Sengkang, serta SMC Hougang. 

Kata Encik Pritam: “Kami tidak sabar untuk terus berkhidmat kepada semua penduduk di kawasan ini.”

Ditanya mengenai kawasan lain yang ditandingi tetapi tewas dengan PAP, Encik Pritam tetap memuji usaha gigih pasukannya. 

“Saya amat berbangga dengan pasukan kami. Mereka telah mencuba dan berjuang sebaik mungkin bagi mendapatkan setiap undi penduduk. Mereka sepatutnya berbangga dengan pencapaian mereka dan saya juga sangat berbangga dengan mereka,” ujar beliau.

Ditanya jika WP sepatutnya mengemukakan calonnya yang lebih kuat di sesebuah kawasan, beliau berkata setiap orang memiliki kekuatan tersendiri, dengan beliau sangat gembira dengan cara partinya memberi respons pada laporan Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC).

“Saya fikir penting bagi WP tidak rasa tersekat oleh semakan sempadan yang dibuat EBRC.

“Jika kita mempunyai kemampuan untuk keluar dan beralih ke kawasan lain dan berjaya melakukannya dengan semangat yang boleh dipuji, saya fikir ia menunjukkan bagaimana parti ini mengatur langkah sebagai parti politik,” jelasnya sambil memberi contoh bagaimana WP beralih daripada bertanding di GRC Marine Parade, meskipun berpengalaman di situ, untuk bersaing di GRC Punggol, yang baru dibentuk dalam GE2025.

Encik Pritam juga menegaskan komitmen WP untuk terus berkhidmat di GRC Aljunied, GRC Sengkang dan SMC Hougang. 

Dalam kenyataan media pada 4 Mei, Parti Kuasa Rakyat (PPP) pula melahirkan kekecewaan terhadap keputusan GE2025.

PPP menyatakan kebimbangan terhadap kekurangan kepelbagaian suara di Parlimen, yang boleh membawa kepada pemikiran seragam dalam penghasilan dasar. 

Keadaan ini, menurut mereka, berisiko mengabaikan keperluan golongan yang kurang bersuara dan berkuasa dalam masyarakat.

Walau bagaimanapun, PPP yang akan menilai prestasi mereka, menghormati keputusan rakyat Singapura dan kepercayaan pilihan yang dibuat terbaik untuk kepentingan negara.

Dalam satu catatan Facebook beliau pada 4 Mei, Pengerusi Parti Kemajuan Singapura (PSP), Dr Tan Cheng Bock, mengucapkan tahniah kepada Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, bersama pasukan PAP yang memenangi GRC West Coast-Jurong West.

“Terima kasih saya kepada mesej berbudi anda kepada PSP malam semalam kerana “memberikan persaingan hebat, mengetengahkan idea yang baik dan menyaingi kami demi Singapura yang lebih baik”,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg