Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pritam sangkal dakwaan PAP politik negatif jadi sandaran WP

Apr 29, 2025 | 11:17 PM
WP, Pritam Singh, GE2025, rally
Setiausaha Agung Parti Pekerja (WP), Encik Pritam Singh, menyangkal dakwaan partinya mengambil bahagian dalam politik negatif ketika berhujah di rapat WP di Stadium Bedok ActiveSG. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Mengurangkan peratusan undi Parti Tindakan Rakyat (PAP) adalah cara bagaimana rakyat Singapura boleh menentang ketidakadilan dan membawa perubahan, kata Setiausaha Agung Parti Pekerja (WP), Encik Pritam Singh, pada 29 April.

Di samping itu, Encik Pritam, turut menyangkal dakwaan partinya mengambil bahagian dalam politik negatif.

Sebaliknya, beliau menggambarkan contoh bagaimana PAP berbuat demikian.

Bercakap kepada khalayak ramai yang berhimpun di Stadium Bedok ActiveSG bagi Rapat WP, Encik Pritam menggambarkan keadaan tersebut sambil merujuk kepada dasar peningkatan estet yang berbeza di kawasan pembangkang seperti Hougang, suatu ketika dahulu.

Kini, katanya, keadaan berbeza di mana kawasan di bawah jagaan PAP dan pembangkang mendapat peluang peningkatan pada masa yang sama, malah keutamaan adalah berdasarkan kriteria objektif di semua majlis bandaran.

“Usah buat kesilapan. Kepimpinan PAP tidak mengubah dasar peningkatan atas kebaikan hati mereka.

“Mereka hanya mengubahnya kerana dasar tersebut menyebabkan mereka hilang undi dan tindak balas buruknya malah dilihat di kawasan undi lain di Singapura, lantas mengurangkan undi PAP,” ujarnya yang juga calon bagi GRC Aljunied.

Menukil contoh, beliau berkata bagaimana Dana Jawatankuasa Projek Peningkatan Masyarakat (CIPC) yang bertujuan membaiki keadaan estet perumahan, kini dapat diakses pembangkang setelah ia terus diperjuangkan Anggota Parlimen (AP) pembangkang, selain keputusan pilihan raya di mana PAP mendapat peratusan undi berkurangan.

Dalam menggambarkan ketidakadilan ke atas pihak pembangkang, Encik Pritam, antaranya, menarik perhatian kepada bagaimana akses kepada kelab masyarakat kendalian Persatuan Rakyat (PA) tidak diberikan kepada AP WP sejak 1981, walaupun ia kekal dibuka.

Memberi contoh lagi, beliau berkata:

“Kami ingin berjabat tangan dengan rakyat baru kami dalam upacara kewarganegaraan yang dipengerusikan oleh calon PAP yang kalah, supaya kami boleh memberitahu warga baru kami, warga Singapura lain dan dunia, bahawa perpaduan kita sebagai satu rakyat adalah lebih penting daripada politik parti.”

Beliau kemudian menambah: “AP pembangkang yang dipilih secara demokratik dijauhkan apabila warga Singapura baru disambut ke dalam masyarakat kita.

“Justeru izinkan saya bertanya Perdana Menteri Lawrence Wong lagi, bukankah ini contoh terbaik politik negatif?”

Pada 29 April, Encik Wong, telah menegur WP kerana nada negatif dan serangannya ke atas pasukan PAP di GRC Punggol yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong.

Encik Pritam berkata generasi baru warga Singapura berhak tinggal di Singapura yang lebih baik, tanpa garisan buatan lakaran PAP, yang boleh membawa kepada politik berpecah belah.

Dalam pada itu, calon WP di GRC East Coast, Encik Sufyan Mikhail Putra, menyentuh tentang pentingnya persaingan politik.

“Tanya diri anda, adakah kita benar-benar memerlukan lebih 90 peratus daripada kerusi Parlimen untuk dipegang pemerintah bagi mempunyai tadbir urus yang berkesan?

“Adakah benar kita mesti mempunyai begitu ramai AP pemerintah dan hampir tiada suara alternatif yang signifikan untuk mewakili masyarakat kita?” katanya.

Beliau menambah, risiko mengecilkan sistem demokratik merupakan perkara nyata dalam setiap pilihan raya, sehinggalah detik di mana pembangkang setia mempunyai kedudukan kukuh dalam demokrasi Parlimen.

Menerusi usaha mendekati penduduk sepanjang minggu lalu, Encik Sufyan berkata isu perbandaraan diutarakan, termasuk isu menyelenggara estet.

Beliau memberi jaminan WP dilengkapi pengalaman mengurus majlis bandaran selama bertahun-tahun lamanya dan berikrar mengendalikan estet dengan rasa tanggungjawab.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg