Parti Pekerja (WP) sedia menggalas apa sahaja tanggungjawab yang ditugaskan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, seperti melibatkan diri dalam jawatankuasa yang membolehkan mereka memberi lebih banyak sumbangan.
Ini dinyatakan Setiausaha Agung WP, Encik Pritam Singh, ketika ditemui media dalam satu sesi bertemu penduduk di Blok 332, Hougang Avenue 5, pada 29 April.
Kenyataan itu disampaikan sebagai respons menyusuli hujah Encik Wong di rapat Fullerton yang berlangsung pada waktu makan tengah hari di UOB Plaza, pada 28 April.
Menurut Encik Wong, parti pembangkang ingin lebih banyak kerusi di Parlimen, tetapi tidak bersedia memikul lebih banyak tanggungjawab dan masih mengharapkan Parti Tindakan Rakyat (PAP) membentuk sebuah pemerintah bagi menggalas tanggungjawab yang dimaksudkan.
“Kami mengalu-alukan lebih banyak tanggungjawab daripada Encik Wong, libatkanlah kami dalam pelbagai jawatankuasa yang dibentuk, supaya kami boleh memberikan sumbangan kami.
“Cara sebegini akan memanfaatkan setiap warga Singapura,” kata Encik Pritam.
Beliau merujuk pada penubuhan jawatankuasa yang melibatkan semua parti pada 1959 untuk menetapkan keputusan bagi lambang dan bendera negara, sambil menambah:
“Tiada yang menghalang pemerintah daripada mendekati kami, dan kami mengalu-alukannya, kerana jika kami mahu bekerja demi kepentingan semua rakyat Singapura, maka ini adalah satu cara melakukannya.”
Buat masa ini, Anggota Parlimen (AP) pembangkang dilantik bagi Jawatankuasa Parlimen, seperti Jawatankuasa Perakaunan Awam.
Semasa rapat Fullerton itu, Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Cik Indranee Rajah, turut mempertahankan partinya dengan mengatakan bahawa suara alternatif dijamin di Parlimen, kerana adanya Skim Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP).
Sekurang-kurangnya 12 kerusi diperuntukkan bagi AP pembangkang di Parlimen.
Di bawah skim NCMP yang diperkenal pada 1984, kerusi Parlimen disediakan bagi calon pembangkang yang tewas tetapi mempunyai jumlah undi tertinggi.
Menurut Encik Pritam, Skim NCMP bertujuan memperlahankan pertumbuhan parti pembangkang.
“Lihatlah, kita harus jelas, NCMP tidak mempunyai pengundi, tidak mempunyai penduduk, di mana mereka boleh mendapatkan maklum balas.
“Mereka tidak mempunyai pejabat di kolong blok di kawasan undi, di mana mereka berkhidmat.
“Secara umumnya, beginilah keadaan yang ingin PAP kekalkan bagi parti pembangkang,” tambahnya, sambil menambah hanya AP pembangkang yang dilantik dapat memberi tekanan agar pemerintah melakukan sesuatu.
Ini bermakna kesan seorang NCMP tidak sekuat seorang Anggota Parlimen Dilantik (NMP), sehingga ia boleh menyebabkan usulan dan perdebatan mereka ditolak pemerintah di Parlimen.
Apabila lebih ramai AP pembangkang dilantik, perbincangan di Parlimen akan melibatkan suara parti lain juga, yang mewakili warga Singapura, daripada latar belakang berbeza, lantas membawa idea baru, tambah Encik Pritam.
“Sebuah Parlimen yang lebih seimbang tidak akan menyebabkan Singapura berpecah belah. Saya, dengan sejujurnya rasa ini akan menghasilkan golongan yang ingin berjuang untuk negara ini,” jelas Encik Pritam.
Bersama beliau dalam sesi bertemu penduduk adalah calon WP bagi SMC Hougang, Encik Dennis Tan, yang telah berkhidmat di Hougang sejak 2020, dan Pengerusi WP, Cik Sylvia Lim.
Encik Tan menjelaskan walaupun terdapat ramai penduduk warga emas di Hougang, beliau turut mengutamakan perbualan bersama pengundi muda, serta kanak-kanak yang tidak mengundi.
“Setiap golongan usia ada keperluan mereka sendiri. Saya selalu cuba berbual bersama penduduk daripada pelbagai usia, termasuk kanak-kanak, kerana mereka juga mempunyai suara tersendiri,” kata Encik Tan.
Sebagai seorang AP di SMC Hougang antara 2020 dengan 2025, Encik Tan percaya setiap penduduk dari setiap golongan usia mempunyai keperluan mereka, biarpun sebagai seorang pelajar ataupun anak muda yang baru mula bekerja.
Menurutnya, demografi penduduk Hougang sentiasa berubah, dengan penduduk yang sering berpindah keluar atau mula menetap di estet itu.
Ini menimbulkan cabaran dalam memastikan beliau dapat berjumpa dengan kesemua penduduk baru, dan memahami keadaan mereka.
Ketika ditemui Berita Harian (BH), Encik Tan berkongsi terdapat ramai penduduk Melayu yang mempunyai anak, yang telah berpindah ke estet perumahan sekeliling, seperti di Punggol dan Sengkang.
“Apabila saya lihat anak penduduk Hougang mengunjungi ibu bapa mereka di sini, saya akan meyakinkan mereka saya boleh bantu jika ibu bapa mereka memerlukan apa sahaja.
“Saya sering cuba berbual bersama mereka, sama seperti ketika bersama penduduk saya di Hougang,” tambahnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg