Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pritam: WP hanya perlukan sokongan warga S’pura, tiada elemen asing

Apr 26, 2025 | 11:23 PM
WP, GE2025, Faisal Manap
Calon Parti Pekerja (WP), Encik Pritam Singh (kiri) dan Encik Faisal Manap berucap sewaktu rapat kedua WP di Maktab Rendah Temasek pada 26 April. - Foto ST

Parti Pekerja (WP) secara berterus terang menolak penglibatan sebarang elemen asing dalam politik domestik, kata ketua parti tersebut, Encik Pritam Singh, yang menyatakan demikian susulan seruan Perdana Menteri Lawrence Wong pada 26 April.

Awal sebelum itu, Encik Wong mengadakan sidang media dan menyeru agar pemimpin pembangkang menolak politik identiti dan campur tangan asing.

Pada rapat kedua WP yang diadakan di Maktab Rendah Temasek pada malam 26 April, Encik Pritam berkata beliau percaya pada Singapura yang neutral dengan rakyat tidak dinilai berdasarkan bangsa atau warna kulit, tetapi oleh perbuatan mereka serta kemanusiaan bersama.

“Singapura adalah urusan kita. Bukan orang lain,” tegasnya.

Beliau menekankan bahawa WP hanya memerlukan sokongan warga Singapura dan bukan elemen asing lain.

Calon GRC Tampines, Encik Faisal Manap, tidak secara langsung menyentuh tentang isu agama dan politik atau campur tangan asing, namun berikrar akan berkhidmat kepada semua penduduk dengan saksama, tidak kira bangsa atau agama.

“Saya adalah calon minoriti, seorang Melayu/Islam.

“Apapun, saya akan berkhidmat kepada penduduk GRC Tampines tidak kira bangsa, bahasa atau agama, dengan sama rata dan semampu saya, sebagaimana saya berkhidmat kepada masyarakat berbilang kaum dan berbilang agama di kawasan Kaki Bukit,” kata Encik Faisal

Beliau menambah: “Ini komitmen dan sumpah saya, disaksikan oleh anda semua dan Tuhan.”

Encik Faisal melahirkan penghargaannya kepada penduduk kawasan undinya sebelum ini, Kaki Bukit, di bawah GRC Aljunied, kerana mengubahnya menjadi seorang yang lebih baik sepanjang perjalanannya dalam dunia politik.

Bercakap tentang kehadiran pembangkang dalam Parlimen, Encik Faisal berkata proses semak dan imbang merupakan prinsip asas masyarakat yang demokratik.

Encik Pritam dalam ucapannya pula mengkritik manifesto Parti Tindakan Rakyat (PAP) kerana kekurangan isi.

Menyatakan bahawa sebahagian pengundi telah membandingkan kedua-dua manifesto PAP dan WP menggunakan model kecerdasan buatan (AI), beliau berkata:

“Mana-mana model AI yang anda pilih, sama ada ChatGPT atau DeepSeek, satu hasil yang jelas – manifesto PAP kurang isi dan perincian, tetapi amat penuh dengan kenyataan samar-samar.”

Beliau percaya ini kerana PAP ingin warga Singapura memberi parti itu keizinan untuk melakukan apa sahaja yang mereka ingin lakukan tanpa dikawal, tambahnya.

Dalam menambat hati pengundi bagi calon WP di SMC Jalan Kayu dan SMC Tampines Changkat, Encik Pritam berkata calon buruh PAP di sana tidak perlu dipilih untuk masuk ke Parlimen.

Beliau merujuk kepada Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Ng Chee Meng dan Penolong Setiausaha Agung, Encik Desmond Choo.

“Penduduk Tampines, tidak ada kekurangan anggota buruh PAP di Parlimen.

“Mengundi dua calon NTUC PAP ini tidak akan membawa perbezaan.

“Sebaliknya, saya mengundang anda agar mengundi untuk Parlimen yang lebih seimbang,” katanya.

Apapun, saya akan berkhidmat kepada penduduk GRC Tampines tidak kira bangsa, bahasa atau agama, dengan sama rata dan semampu saya, sebagaimana saya berkhidmat kepada masyarakat berbilang kaum dan berbilang agama di kawasan Kaki Bukit.
Encik Faisal Manap, calon GRC Tampines bagi Parti Pekerja (WP). 
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg