Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pritam sifatkan sistem GRC ibarat ‘undi percuma’ bagi PAP

May 1, 2025 | 11:42 PM
Semasa berucapa semasa rapat terakhir Parti Pekerja (WP) untuk Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) di Maktab Rendah Anderson Serangoon pada 1 Mei, Ketua WP, Encik Pritam Singh, berkata sistem GRC ibarat memberi “undi percuma” kepada Parti Tindakan Rakyat (PAP).
Semasa berucapa semasa rapat terakhir Parti Pekerja (WP) untuk Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) di Maktab Rendah Anderson Serangoon pada 1 Mei, Ketua WP, Encik Pritam Singh, berkata sistem GRC ibarat memberi “undi percuma” kepada Parti Tindakan Rakyat (PAP). - Foto ST

Ketua Parti Pekerja (WP), Encik Pritam Singh, menolak seruan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, supaya tidak memberikan “undi percuma” kepada parti pembangkang, dan sebaliknya berhujah bahawa Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang sebenarnya meraih manfaat daripada “undi percuma” menerusi sistem Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC).

Bercakap di rapat terakhir WP untuk Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) di Maktab Rendah Anderson Serangoon pada 1 Mei, Encik Pritam berkata:

“Untuk pilihan raya umum kali ini, beberapa calon PAP tidak pernah turun padang di kawasan undi sendiri sehinggalah kebelakangan ini.

“Pengundi tidak mengenali mereka, tetapi pengundi dijangka mengundi untuk mereka (calon PAP) hanya kerana mereka diletakkan dalam GRC yang mempunyai menteri utama.

“Itulah yang saya anggap sebagai ‘undi percuma’”.

Encik Pritam meneruskan hujahnya dengan berkata PM Wong telah melayan pengundi seperti “orang bodoh”.

Namun, menurutnya, beberapa pilihan raya umum lepas telah membuktikan kepada WP bahawa pengundi Singapura adalah bijak, bertimbang rasa, dan patriotik.

Menggunakan keputusan pilihan raya umum sebelum ini sebagai contoh, Encik Pritam memuji pengundi Singapura sebagai “arif dan sofistikated”.

“Pengundi Singapura, WP mempercayai penilaian anda.

“Jika anda membandingkan calon WP sedia ada dengan calon PAP, saya percaya anda akan bersetuju bahawa kumpulan calon kami adalah antara yang terbaik yang telah kami sediakan,” ujarnya.

Beliau turut membidas hujah PM Wong yang menyatakan “pembangkang kekal mempunyai kehadiran di Parlimen”.

Encik Pritam berkata PM Wong cuba memberi jaminan kepada pengundi bahawa pembangkang tetap akan dipilih masuk ke Parlimen.

Namun, Encik Pritam berhujah bahawa PAP sebenarnya tidak berhasrat untuk menyerahkan sebarang kawasan undi kepada pembangkang.

“Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean, secara peribadi turun padang bersama pasukan PAP untuk GRC Aljunied dan berkata “Kami tidak menyerahkan mana-mana kawasan undi”.

“Pengundi di Aljunied, Hougang, Sengkang dan semua kawasan undi lain tempat WP bertanding, kami tidak mengambil ringan undi anda. Kami mesti berjuang untuk setiap undi,” tegasnya.

Beliau menekankan setiap undi berharga bagi WP, dan merayu para pengundi di GRC Tampines, SMC Tampines Changkat, GRC East Coast, GRC Punggol, SMC Jalan Kayu, supaya tidak menganggap GRC Aljunied, SMC Hougang dan GRC Sengkang sebagai kawasan selamat bagi WP.

“Tidak pernah ada kerusi selamat untuk pembangkang. Malah kami hampir tewas di GRC Aljunied pada 2015 – margin hanya 2 peratus, sangat tipis.

“Setiap undi berharga. Jadi, pastikan undi anda diambil kira.

“PAP adalah dominan dan ia sentiasa berkempen dengan gigih. Undilah WP untuk sistem politik yang lebih seimbang,” kata beliau.

Semasa berucap, pengerusi WP, Cik Sylvia Lim, yang juga calon bagi GRC Aljunied, berkata Anggota Parlimen (AP) WP bagi GRC Aljunied, GRC Sengkang dan SMC Hougang telah mengemukakan lebih 2,700 soalan Parlimen dalam lima tahun lepas.

Antara soalan parlimen itu termasuk soal mengurangkan kos sara hidup, keperluan dan harga perumahan, penjagaan kesihatan, sokongan lebih baik bagi mangsa penipuan, pemerkasaan wanita, serta kejayaan sukan.

“Di bahagian estet pula, Majlis Bandaran Aljunied-Hougang (AHTC) telah berfungsi dengan baik. Kami telah membuat penambahbaikan pada kemudahan, menambah laluan berbumbung serta tempat turun dan naik kenderaan, dan menyegarkan estet-estet,” jelas Cik Lim.

Calon WP bagi GRC Aljunied, Encik Gerald Giam, menyangkal dakwaan bahawa lebih banyak AP pembangkang bermakna lebih banyak perbalahan di Parlimen.

Sebaliknya, beliau berkata AP pembangkang berbahas menggunakan fakta dan logik agar menteri memberi penjelasan atas tindakan, keputusan, dan cara mereka mengurus dasar, serta untuk memperbaiki dasar pemerintah.

“Walaupun dengan terdapat lebih ramai AP WP di Parlimen, PAP akan dapat meluluskan sebarang undang-undang atau pindaan perlembagaan.

“Dengan lebih ramai AP WP di Parlimen, WP menawarkan penelitian yang lebih baik dan pemerintah yang lebih responsif,” kata Encik Giam.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg