Menjamin keselamatan dan kerahsiaan pengundi pada Hari Mengundi, Encik Fadli Fawzi, calon Parti Pekerja (WP) bagi GRC Aljunied, dengan teliti menerangkan langkah-langkah kerahsiaan kertas undi dalam ucapan kempennya di Maktab Rendah Anderson-Serangoon pada 1 Mei 2025.
Penjelasan itu secara langsung menyentuh rasa bimbang dalam kalangan sesetengah warga – iaitu sama ada undi mereka boleh dikesan dan dikenakan tindakan.
Dalam ucapan dalam bahasa Melayu yang disampaikan dengan nada tegas, Encik Fadli berkata: “Undi anda adalah rahsia. Jangan takut bila membuang undi.”
Beliau menjelaskan bahawa nombor siri pada kertas undi bukanlah alat mengesan, tetapi digunakan hanya untuk memastikan tiada sesiapa mengundi dua kali.
Beliau menambah, nombor itu akan disebut oleh pegawai semata-mata untuk membolehkan wakil parti bertanding memantau proses dan memastikan tiada penipuan atau pengulangan undian berlaku.
“Jangan risau,” katanya sambil meyakinkan bahawa apabila seseorang memasuki bilik mengundi, tiada siapa dapat melihat atau mengetahui kepada siapa undi tersebut diberikan.
Selepas undi dikira, kertas undi akan dimasukkan ke dalam peti undi yang dipantau dan dikunci sebelum dihantar ke Mahkamah Agung.
Selepas enam bulan, kertas undi akan dibakar di Tuas di hadapan wakil semua parti politik, untuk memastikan ia tidak disalah guna.
Di sebalik penerangan teknikal itu, mesej Encik Fadli mengajak pengundi agar tidak rasa takut atau terjejas dengan tekanan politik yang menimbulkan rasa ragu dalam membuat pilihan.
“Jangan takut,” katanya berulang kali dalam ucapannya.
Beliau menegaskan bahawa keraguan terhadap pembangkang sering dipupuk dengan naratif bahawa tanpa parti pemerintah, negara akan huru-hara.
Sebagai ganti kepada politik berasaskan rasa takut, WP menawarkan harapan dan arah tuju yang jelas.
“Mengundi Parti Pekerja adalah satu tindakan berani, bukan tindakan putus asa,” katanya.
Beliau turut menolak label “penumpang percuma” yang kadangkala diberikan kepada pengundi pembangkang, dengan berkata setiap undi kepada WP adalah satu isyarat penting untuk mengingatkan pemerintah agar terus bertanggungjawab kepada rakyat.
Dalam ucapan penutup kempennya, Naib Pengerusi WP, yang juga calon GRC Tampines, Encik Faisal Manap, pula menyentuh isu utama yang masih membimbangkan pengundi, termasuk rancangan perbandaran, program kemasyarakatan dan kerahsiaan undi.
Beliau memberi jaminan bahawa sekiranya WP dipilih, pasukannya akan menilai semula rancangan pembangunan yang sedia ada dan melaksanakannya jika bersesuaian dengan keperluan penduduk.
Beliau berkongsi pengalaman 14 tahun sebagai Anggota Parlimen dan anggota Majlis Bandaran serta pencapaian cemerlang WP dalam menguruskan bandar di Hougang, Aljunied dan Sengkang, yang kesemuanya menerima pengiktirafan tertinggi daripada Kementerian Pembangunan Negara.
Mengenai kebajikan masyarakat, beliau menolak dakwaan bahawa kawasan pembangkang kurang mendapat bantuan.
Sebaliknya, beliau berkata penduduk di kawasan WP menerima tiga jenis sokongan – daripada WP sendiri, Persatuan Rakyat (PA), dan juga Parti Tindakan Rakyat (PAP) – menjadikan mereka lebih bernasib baik dari kawasan lain.
“Di kawasan WP, anda bukan saja dapat khidmat kami, daripada PA, bahkan daripada PAP sendiri. Tiga pihak, bukan satu!” kata Encik Faisal.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg