Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PSP bakal tanding di GRC West Coast-Jurong West dan CCK

Apr 6, 2025 | 7:28 PM
Parti Kemajuan Singapura (PSP) melancarkan manifesto parti dalam satu sidang media yang dipengerusikan (dari kiri) Setiausaha Agung PSP, Encik Leong Mun Wai; pengerusi PSP, Dr Tan Cheng Bock; dan naib pengerusi pertama parti, Cik Hazel Poa, pada 6 April.
Parti Kemajuan Singapura (PSP) melancarkan manifesto parti dalam satu sidang media yang dipengerusikan (dari kiri) Setiausaha Agung PSP, Encik Leong Mun Wai; pengerusi PSP, Dr Tan Cheng Bock; dan naib pengerusi pertama parti, Cik Hazel Poa, pada 6 April. - Foto ST

Parti Kemajuan Singapura (PSP) telah mengesahkan ia bakal bertanding dalam sekurang-kurangnya dua Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) dan mengurangkan bilangan calon bagi Pilihan Raya Umum (GE) 2025.

Setiausaha Agung PSP yang juga Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP), Encik Leong Mun Wai, berkata parti itu akan bertanding di GRC West Coast-Jurong West yang baru dibentuk dan GRC Chua Chu Kang.

Bilangan calon yang akan ditampilkan dalam GE2025 juga adalah lebih rendah berbanding GE2020 katanya, namun beliau tidak memberi perincian bilangannya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media bagi pelancaran manifesto parti di ibu pejabat PSP di Pusat Beli-Belah Bukit Timah pada 6 April.

Dalam GE2020, PSP menampilkan 24 calon yang bertanding dalam empat GRC dan lima Kawasan Undi Perseorangan (SMC).

Encik Leong berkata: “Kesimpulan kami berdasarkan pilihan raya lalu adalah kami perlu lebih fokus.

“Untuk bertanding dalam pilihan raya, ia sebenarnya sangat rumit misalnya dana yang kami dapat kumpulkan… tenaga kerja untuk kenal pasti lapangan dan memastikan usaha penglibatan dilakukan dengan betul.”

Beliau menambah parti itu masih sedang melakar rancangan bagi menandingi kawasan undi lain.

Turut hadir sebagai panel dalam sidang itu adalah Pengerusi PSP, Dr Tan Cheng Bock, dan naib pengerusi pertama PSP dan NCMP, Cik Hazel Poa.

Pelancaran manifesto PSP, berjudul Kemajuan Bagi Semua, menjadikan parti itu antara yang pertama untuk melancarkan manifesto menjelang GE2025.

Ia meliputi sekitar 60 usulan dasar merangkumi beberapa teras utama seperti kos sara hidup, perumahan, pekerjaan dan pendidikan.

Encik Leong berkata: “Sebahagian besar dasar (yang diketengahkan dalam manifesto) sudah diusulkan di Parlimen.

“Dalam kalangan dasar baru, banyak yang bertujuan untuk mengukuhkan perlindungan bagi pekerja mendapatkan mata pencarian dan meningkatkan keseimbangan antara hidup dengan kerja bagi pekerja.”

Sebagai NCMP, Encik Leong dan Cik Poa telah membangkitkan beberapa isu ini di Parlimen.

Ini termasuk mengurangkan waktu kerja berkanun kepada 40 jam seminggu, turun daripada 44 jam buat masa ini, dan meningkatkan kelayakan cuti tahunan daripada 12 hari kepada 14 hari.

Di samping itu, Encik Leong berkata dasar idea yang diusulkan dalam manifesto parti adalah “daripada sudut pandangan isu yang menjejas semua warga Singapura” dan ia tidak tumpu secara khusus kepada mana-mana golongan minoriti.

Awal dari itu, parti tersebut pada 5 April menampilkan tiga muka baru – Encik Sani Ismail, Encik Sumarleki Amjah dan Cik Stephanie Tan – yang dijangka bertanding dalam GRC West Coast-Jurong West.

Mereka dilihat menyertai Cik Poa, mantan calon GRC West Coast dalam GE2020, di Pasar Boon Lay Place iaitu sebahagian daripada GRC West Coast-Jurong West baru yang akan mempunyai lima Anggota Parlimen (AP).

Pada GE2020, pasukan PSP yang bertanding di GRC West Coast tewas tipis kepada pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang ketika itu terdiri daripada antara lain bekas Menteri Pengangkutan S. Iswaran, dan Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee.

Ia merupakan kekalahan paling tipis dalam pilihan raya tahun itu, dengan PSP meraih 48.31 peratus undi berbanding PAP (51.69 peratus undi).

Pasukan PSP pada GE2020 terdiri daripada Dr Tan, mantan anggota PAP yang mewakili Ayer Rajah dari 1980 hingga 2006; Encik Leong dan Cik Poa; serta Encik Nadarajah Loganathan dan Encik Jeffrey Khoo.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg