Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PSP gesa warga S’pura usah takut undi pembangkang

May 1, 2025 | 10:58 PM
Leong Mun Wai, PSP
Dalam rapat terakhir Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) bagi Parti Kemajuan Singapura (PSP) di Stadium Jurong West, Ketua PSP, Encik Leong Mun Wai, menggesa rakyat Singapura agar tidak berasa takut mengundi pihak pembangkang. - Foto ST

Parti Kemajuan Singapura (PSP) melabuhkan tirai kempen Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) dengan menggesa warga Singapura supaya tidak berasa takut untuk mengundi pembangkang dan kesan ia bakal melemahkan pemerintah.

Berucap pada rapat terakhir kempen GE2025 pada 1 Mei di Stadium Jurong West, Setiausaha Agung PSP yang juga calon GRC West Coast-Jurong West, Encik Leong Mun Wai, menyanggah dakwaan Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, bahawa pemerintah menjadi lemah apabila ia kehilangan menteri.

Beliau menukil kehilangan mantan Menteri Ehwal Luar, Encik George Yeo, dan mantan Menteri Pengangkutan, Cik Lim Hwee Hua, sebagai contoh keupayaan pemerintah untuk menyesuaikan diri dan kekal utuh.

Encik Yeo dan Cik Hua merupakan calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi GRC Aljunied pada GE2011 yang tewas kepada Parti Pekerja (WP).

Beliau mengajukan pertanyaan kepada khalayak umum: “Adakah pemerintah yang lemah dapat menaikkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebanyak dua kali semasa inflasi tinggi?

“Adakah pemerintah yang lemah dapat meluluskan undang-undang seperti Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi dalam Talian (Pofma) dan Undang-Undang (Langkah Tindakan Balas) Campur Tangan Asing (Fica)?

“Adakah pemerintah yang lemah dapat menggubal Perlembagaan untuk mencipta Presiden Dipilih pada 2017?”

Sebaliknya, beliau berkata pemerintah PAP perlu mendapatkan pelbagai idea yang disuntik oleh pihak pembangkang.

Beliau mengulangi kenyataan pengerusi PSP, Dr Tan Cheng Bock, yang dibuat kepada pihak media pada pagi 1 Mei, semasa lawatan ke Pasar Boon Lay Place.

Dr Tan berkata lebih ramai pembangkang menghasilkan perbahasan lebih mantap dan dasar lebih baik bagi rakyat Singapura dan beliau menyifatkan pemerintah yang lemah dek pembangkang, seperti yang dikatakan PAP, adalah bersandarkan pola pemikiran lama.

Sebaliknya, lebih banyak suara pembangkang bermakna pelbagai pandangan dan idea boleh disumbangkan di Parlimen, tambahnya.

Sementara itu, Naib Pengerusi Pertama PSP yang juga calon GRC West Coast-Jurong West, Cik Hazel Poa, dalam ucapannya, mempersoalkan keupayaan pesaing daripada PAP, Encik Desmond Lee, yang telah menjadi Menteri Pembangunan Negara sejak GE2020.

Beliau mengetengahkan kebolehan parti pemerintah untuk membina lebih banyak flat perumahan awam dan menukil contoh 189,000 flat HDB yang dibina antara 1981 dengan 1985 – purata 38,000 flat setiap tahun.

Ini berbanding sekitar 15,000 flat setiap tahun yang akan dibina dari 2026 hingga 2027.

“Kini pihak pemerintah mempunyai lebih banyak sumber berbanding 1980-an. Adakah ini bermakna pemerintah PAP tidak boleh membina lebih 15,000 flat baru setiap tahun?,” tanya Cik Poa.

Beliau turut mengulangi seruan untuk memaklumkan kepada umum hasil siasatan ke atas pertengkaran antara sukarelawan PAP dengan PSP pada Januari di Bukit Gombak.

Kejadian itu berlaku pada 4 Januari, dengan kededua pihak mendakwa berlaku pertengkaran dan telah memberi penjelasan berbeza tentang apakah yang berlaku.

Sementara itu, muka baru parti, Encik Sumarleki Amjah, yang bertanding bagi GRC West Coast-Jurong West, berkata beliau ingin mempertingkatkan masyarakat Melayu/Islam di sini dengan menumpukan kepada tiga teras – peluang, pendidikan dan permodalan – jika beliau dan pasukannya diberi mandat.

Ketiga-tiga teras itu diharap dapat antara lain, meningkatkan modal intelektual, melahirkan pencetus perubahan dan melahirkan usahawan untuk berkembang maju.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg