Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PSP komited lakar perubahan ke arah pembaharuan

Sep 3, 2025 | 12:04 PM
Abas Kasmani, Pengerusi Parti Kemajuan Singapura (PSP)
Sungguhpun gagal memenangi sebarang kerusi di Parlimen dalam Pilihan Raya Umum (GE) 2025 dan hilang dua kerusi Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) yang diraih pada GE2020, Pengerusi Parti Kemajuan Singapura, Encik Abas Kasmani, berkata parti itu komited melakar pembaharuan. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Kepimpinan Parti Kemajuan Singapura (PSP) komited untuk melakar perubahan, dalam apa yang disifatkannya sebagai usaha ke arah pembaharuan parti.

Ini berikutan prestasi hambar parti itu dalam Pilihan Raya Umum (GE) 2025 pada Mei.

PSP gagal memenangi sebarang kerusi di Parlimen pada GE2025 dan hilang dua kerusi Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) yang diraih pada GE2020, berikutan jurang tipis kekalahan parti itu pada 2020.

Ketika itu, perbezaan 3.38 peratus mata undi memisahkan PSP dengan Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi GRC West Coast.

Dua kerusi NCMP itu disandang Setiausaha Agung parti, Encik Leong Mun Wai, dan mantan Naib Pengerusi Pertama PSP, Cik Hazel Poa.

Dengan pelantikan pengerusi baru, Encik Abas Kasmani, yang mengambil alih tampuk kepimpinan daripada pengasas parti, Dr Tan Cheng Bock, pada Julai pula, timbul tanda tanya sejauh mana tahap komitmen terhadap perubahan ke arah pembaharuan.

Mentelah kewujudan tanggapan PSP sebagai ‘parti orang tua’, sesuatu yang diakui sendiri Encik Abas dalam podcast NoTapis BHerbual baru-baru ini, seolah-olah diperkukuhkan lagi melalui peralihan kepimpinan antara Encik Abas, 72 tahun, dengan Dr Tan, 85 tahun.

Namun, Encik Abas akur keseimbangan perlu dicapai, tatkala PSP mengorak langkah yang berani bagi mengubah tanggapan sedemikian, agar ia mempunyai gabungan golongan muda dan yang lebih berpengalaman.

Berkongsi semasa sesi rakaman podcast berita dan hal ehwal semasa Berita Harian (BH) itu, beliau berkata:

“Orang ramai fikir parti kami parti orang tua. Namun tanpa mereka (anggota lebih berpengalaman), PSP tidak mungkin dapat sampai ke hari ini.

“Namun sebagai pemimpin kanan, kami harus akur pembaharuan itu mesti ada (dan perlu).”

Sesi rakaman podcast selama lebih kurang satu jam setengah itu mengupas penglibatan Encik Abas dalam dunia politik, penilaian parti pada GE2025 dan usaha yang akan dilakukan parti tersebut untuk kekal relevan.

Menyingkap prestasi dan penilaian parti itu pasca GE2025, Encik Abas berkata walaupun persiapan dan perancangan rapi telah dilakukan parti, rakyat telah memberikan mandat dan keputusannya adalah sesuatu yang “di luar kawalan”.

“Keseluruhan GE juga mengikut peraturan yang telah ditetapkan ELD (Jabatan Pilihan Raya) – sempadan kawasan yang telah ‘dicencang’ misalnya.

“Tetapi apa yang boleh kami kawal adalah interaksi berterusan bersama rakyat.

“Selebihnya, terserah kepada pengundi,” ujar beliau, yang pertama kali menyertai PSP sejak penubuhannya pada 2019 sebagai sukarelawan.

Beliau menjadi calon bagi GRC Tanjong Pagar buat kali pertama pada GE2020 – pelawaan oleh Dr Tan yang beliau sahut kerana memandangnya sebagai satu kewajipan.

“Saya rasa waktu itu (apabila mula berkecimpung dalam politik), bilangan parti pembangkang yang baik tidak mencukupi.

“Apabila dipanggil untuk menjadi calon, saya tidak begitu terperanjat. Saya teruskan kewajipan saya… waktu itu pun susah ingin dapatkan calon,” tambah beliau.

Sehubungan dengan itu, beliau menepis desas-desus bahawa pengaruh Dr Tan kian pudar kerana menurutnya, sama ada Dr Tan hadir atau tidak, faktor bagi memilih wakil rakyat terletak di tangan rakyat sendiri, dan ia berbeza-beza.

Pengaruh Dr Tan dikatakan salah satu faktor terhadap peratusan undi sah yang diperoleh parti pada GE2020 apabila ia meraih 10.18 peratus undi sah. Ia turun kepada 4.89 peratus undi sah dalam GE2025.

Dr Tan merupakan mantan Anggota Parlimen (AP) Ayer Rajah selama 26 tahun bersama PAP, sebelum mengundurkan diri pada 2006. Tahun tersebut menyaksikan Ayer Rajah diserap ke dalam GRC West Coast, kawasan undi yang ditandingi beliau bersama PSP pada GE2020.

Dengan pengunduran Dr Tan selaku pengerusi dan beberapa peletakan jawatan – termasuk Cik Poa dan mantan Bendahari parti, Encik S. Nallakaruppan – daripada Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC), keterkaitan parti itu kian menjadi persoalan seterusnya.

Inilah sebabnya, kata Encik Abas, parti itu akan tumpukan usaha kepada penubuhan akademi dan menampilkan lebih ramai anggota muda ke barisan hadapan bagi memacu PSP untuk jangka panjang.

Berkenaan penubuhan akademi itu, Encik Abas berkata ia merupakan sebahagian daripada usaha parti tersebut bagi mencungkil bakat baru dan suai kenal anggota berhubung matlamat dan ideologi parti.

Butiran lanjut mengenai akademi tersebut akan diumumkan kelak, katanya, namun beliau berkata ia akan melatih sukarelawan, anggota dan calon baru yang bakal bertanding dalam GE akan datang di bawah naungan parti itu.

Beliau berkata idea itu tercetus menyusuli sesi orientasi dan latihan yang diberi kepada sukarelawan dan anggota PSP apabila mereka mula menyertai parti itu.

Beliau menambah ada baiknya elemen-elemen itu diterapkan di bawah satu inisiatif agar matlamat dan kaedah pelaksanaannya diselaraskan.

“Akademi ini bukan sahaja untuk sukarelawan dan anggota, bahkan bakal calon baru (yang mewakili parti dalam GE) juga harus melaluinya.

“(Sebagai parti pembangkang), kami sedang menggerudi tembok tebal. Apabila terus-menerus gerudi, satu hari nanti, ia akan pecah juga, jadi kami akan teruskan usaha kami,” ujar Encik Abas.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg