Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PSP tubuh akademi baru latih sukarelawan, anggota dan calon parti

Aug 7, 2025 | 4:50 PM
Semasa podcast Berita Harian (BH), NoTapis BHerbual, Pengerusi Parti Kemajuan Singapura (PSP), Encik Abas Kasmani (kanan), mendedahkan parti itu akan memberi ruang kepada lebih ramai bakat muda untuk tampil. Ini selain penubuhan akademi bagi melatih sukarelawan, anggota dan calon baru yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya Umum (GE) akan datang. Beliau diapit Koresponden BH, Encik Anwar Saleh (kiri) dan wartawan BH, Encik Muhaimin Suzaini.
Semasa podcast Berita Harian (BH), NoTapis BHerbual, Pengerusi Parti Kemajuan Singapura (PSP), Encik Abas Kasmani (kanan), mendedahkan parti itu akan memberi ruang kepada lebih ramai bakat muda untuk tampil. Ini selain penubuhan akademi bagi melatih sukarelawan, anggota dan calon baru yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya Umum (GE) akan datang. Beliau diapit Koresponden BH, Encik Anwar Saleh (kiri) dan wartawan BH, Encik Muhaimin Suzaini. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Parti Kemajuan Singapura (PSP) akan menubuhkan akademi bagi melatih sukarelawan, anggota dan calon baru yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya Umum (GE) akan datang di bawah naungan parti itu, kata Pengerusi PSP, Encik Abas Kasmani.

Beliau berkata ia merupakan sebahagian daripada usaha parti bagi mencungkil bakat baru dan suai kenal anggota berhubung matlamat dan ideologi parti.

Ini sedang parti itu giat menjalani pembaharuan susulan keputusan GE2025, setelah ia gagal memperbaiki peratusan undi sah dan tidak meraih sebarang kerusi Parlimen, tambahnya.

PSP meraih 4.89 peratus undi sah dalam GE2025, turun daripada 10.18 peratus undi sah pada GE2020.

Encik Abas berkata: “Dari segi pembaharuan, kami ingin menggalakkan anak-anak muda untuk tampil… manakala anggota (senior) yang ada akan membimbing mereka supaya golongan ini tahu selok-belok penglibatan politik dan kerumitan operasi parti.

“Ini akan menguatkan sistem dan kepercayaan (dalam kalangan anggota dan sukarelawan) bagi mengurus parti dengan baik.”

Butiran lanjut mengenai akademi itu akan diumumkan dalam masa terdekat, tetapi penubuhannya menunjukkan PSP membuat persiapan bagi jangka masa panjang, ujarnya.

Encik Abas berkata demikian semasa sesi rakaman podcast berita dan hal ehwal semasa Berita Harian (BH), NoTapis BHerbual, di pejabat BH pada 6 Ogos selepas lebih kurang sebulan menggantikan mantan pengerusi dan pengasas parti, Dr Tan Cheng Bock, pada Julai.

Dr Tan mengundurkan diri selaku pengerusi bagi memberi laluan kepada tampuk kepimpinan baru.

Encik Abas menyifatkan peranan yang dipikul selepas menggantikan Dr Tan sebagai satu tanggungjawab besar dan antara perkara utama yang akan menjadi tumpuan adalah usaha mengekalkan perpaduan anggota.

“Ini satu penghormatan kepada saya (untuk mengambil alih) sebagai pengerusi PSP.

“Secara asasnya, nilai-nilai penting seperti demokrasi tidak boleh ditukar.

“Tetapi saya ada cara tersendiri, jadi saya akan ikut hemah dan kebijaksanaan saya untuk lakukan yang terbaik bagi parti,” tambah beliau.

Menurut Encik Abas, masih terlalu awal untuk membentangkan pelan tindakan jangka pendek dan sederhana buat masa ini selaku pengerusi parti, memandangkan GE2025 baru melabuhkan tirai pada Mei.

Namun, penubuhan akademi parti dan penyerlahan bakat muda menjadi salah satu tunjang utama dalam pelan tindakan itu.

Bahkan, penyerlahan bakat muda merupakan antara aspek yang ditimbulkan anggota baru dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) – badan pembuat keputusan tertinggi parti – PSP, Cik Stephanie Tan.

Semasa berkongsi dalam sesi podcast The Usual Place oleh The Straits Times baru-baru ini, beliau berkata parti itu berhasrat menyerlahkan anggota muda di barisan hadapan.

Cik Tan berkata parti tersebut mempunyai bakat muda, tetapi untuk beberapa tahun kebelakangan ini, mereka bekerja di belakang tabir.

Ini sesuatu yang ingin diubah dan sejajar dengan strategi pembaharuan parti, kata Encik Abas, dan beliau mengalu-alukan daya semangat agresif anak-anak muda itu yang “mempunyai bermacam idea”.

“Saya melihat peranan saya bagi aspek ini adalah sebagai seorang bapa. Kami harus lebih terbuka kepada mereka (golongan muda) ini,” ujar beliau.

Nantikan episod penuh bersama Encik Abas dalam podcast NoTapis BHerbual.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg