Parti Kemajuan Singapura (PSP) mengalu-alukan usaha pemerintah memberikan “sokongan segera” kepada lulusan baru yang mungkin menghadapi cabaran mendapatkan pekerjaan pertama mereka dalam ekonomi yang terganggu kecerdasan buatan (AI).
Usaha itu merangkumi penambahbaikan pada Program Peningkatan SkillsFuture dan program pelatih baru yang dibiayai pemerintah bagi lulusan Institut Pendidikan Teknikal (ITE), politeknik dan universiti yang diumumkan semasa Rapat Hari Kebangsaan 2025 (NDR2025) pada 17 Ogos.
Bagaimanapun, usaha itu berisiko menjadi “penyelesaian bantuan sementara semata-mata” yang tidak menangani isu struktur negara yang lebih mendalam, kata Setiausaha Agung PSP, Encik Leong Mun Wai, dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 17 Ogos.
Beliau berkata demikian sebagai respons kepada ucapan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, di NDR2025 yang diadakan di ITE Kolej Central di Ang Mo Kio.
“Program pelatih baru yang dibiayai pemerintah menimbulkan persoalan penting iaitu: Adakah pendidikan pengajian tinggi mempersiapkan belia dengan secukupnya untuk tenaga kerja, sekiranya lulusan semakin dijangka menerima program pelatih dan bukannya pekerjaan sepenuh masa?,” kata Encik Leong.
Program pelatih itu merupakan pengembangan kepada program yang pernah diperkenalkan semasa pandemik Covid-19, apabila banyak syarikat berhenti mengambil pekerja sepenuh masa tetapi bersedia memberi peluang latihan.
Menurut Encik Wong, program pelatih itu akan memberi peluang kepada lulusan baru menimba pengalaman dunia sebenar sambil menerima elaun.
Butiran lanjut mengenai program itu akan dikongsi Pasukan Petugas Daya Tahan Ekonomi Singapura (Sert) tidak lama lagi.
Semasa ucapannya, Encik Wong berkata beliau memahami ramai warga bimbang sama ada AI akan menggantikan keseluruhan pekerjaan.
Namun, beliau memberi jaminan kepada rakyat Singapura bahawa pemerintah akan memastikan pekerja mendapat manfaat daripada peralihan itu.
Sedang negara menerima pakai AI, pemerintah tidak akan melupakan keutamaannya, iaitu untuk memastikan rakyat mempunyai pekerjaan.
Pemerintah juga akan bekerjasama rapat dengan kesatuan sekerja untuk mereka bentuk semula pekerjaan dan membantu pekerja, katanya.
Encik Wong menambah, pemerintah akan membantu semua perusahaan, terutama syarikat kecil dan sederhana (SME), memanfaatkan AI secara berkesan dan menggunakannya untuk mempertajam daya saing mereka.
Sebagai respons, Encik Leong bertanya bagaimana pemerintah akan menghalang syarikat dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) daripada menggunakan AI untuk mengurangkan pekerjaan sambil meningkatkan keuntungan.
Beliau turut menggesa pemerintah agar mengkaji semula struktur ekonomi Singapura bagi memastikan AI tidak memburukkan ketidaksamaan pendapatan dan kekayaan.
“PSP percaya ini bukan soalan yang boleh dijawab oleh pemerintah sendiri. Kita mesti melibatkan rakyat Singapura dalam membentuk huraian bersama.
“Kami bersetuju dengan Encik Wong bahawa rakyat harus bekerjasama dengan pemerintah untuk menjadikan idea yang lebih baik untuk Singapura (itu) menjadi kenyataan.
“Kami mahu bekerjasama dengan pemerintah untuk membina Singapura yang lebih baik,” kata Encik Leong.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg