Parti Kemajuan Singapura (PSP) akan mengundi bagi memilih badan kepimpinan tertingginya pada 20 Mac, dengan 24 calon akan bertanding bagi merebut 12 kerusi dilantik dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC).
Jawatankuasa semasa telah dipilih pada 2023 dan terdiri daripada setiausaha agung, Cik Hazel Poa; mantan ketua parti, Encik Leong Mun Wai; pengerusi, Dr Tan Cheng Bock; dan 11 yang lain.
The Straits Times (ST) difahamkan bahawa kebanyakan mereka, selain daripada penolong setiausaha agung, Dr Ang Yong Guan, akan bertanding semula, di samping gabungan sukarelawan lama dan muka baru.
Dr Ang berkata pada awal 2025 bahawa beliau tidak akan bertanding dalam CEC atau Pilihan Raya Umum (GE) berikutan penggantungan lesen perubatannya selama tiga tahun.
CEC baru itu kemudiannya akan menentukan setiausaha agung parti itu, iaitu ketuanya.
Pemerhati berkata hanya dua calon serius untuk jawatan itu ialah Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) parti tersebut, Cik Poa dan Encik Leong.
Ketika parti itu bersiap sedia untuk GE2025, ia akan menjadi sesuatu yang mengejutkan jika kadernya memilih orang lain untuk jawatan tertinggi itu, kata Profesor Undang-Undang Universiti Pengurusan Singapura (SMU), Profesor Madya Eugene Tan.
“Dengan pemimpin asal dari lima tahun lalu kurang menonjol, Encik Leong dan Cik Poa paling terserlah,” tambah beliau.
Kira-kira 100 kader parti itu – golongan dalamannya – akan mengundi 12 anggota CEC baru itu pada 20 Mac.
CEC itu kemudian akan melantik dua lagi kader untuk membentuk satu badan 14 anggota dan kemudian memutuskan siapa yang akan memegang jawatan kepimpinan parti di dalamnya.
Encik Leong telah meletak jawatan sebagai setiausaha agung pada Februari 2024, untuk mengambil tanggungjawab ke atas satu arahan pembetulan yang diterimanya di bawah undang-undang berita palsu Singapura bagi satu hantaran media sosial.
Beberapa pihak dalam parti itu menjangka beliau akan mencuba merebut semula jawatan tersebut daripada Cik Poa selepas badan pembuat keputusan tertinggi parti itu telah diundi.
Apabila dihampiri ST, Encik Leong tidak mengulas mengenai pemilihan CEC itu, berkata hanya keputusan akan diumumkan selepas ia selesai.
Cik Poa tidak menjawab apabila diminta mengulas.
Jika Encik Leong mengambil semula tampuk kepimpinan itu, ia akan menjadi kali kelima parti itu menukar pemimpinnya sejak penubuhannya pada 2019.
Cik Poa ialah setiausaha agung keempat PSP dan merupakan naib pengerusi parti sebelum itu.
Encik Leong, yang pada masa ini tidak memegang sebarang jawatan dalam CEC itu, kali pertama menjadi setiausaha agung pada April 2023.
Encik Francis Yuen melepaskan jawatan itu pada bulan sebelumnya, selepas memegangnya selama dua tahun.
Pengasas dan pengerusi semasa PSP, Dr Tan, adalah setiausaha agung pertama parti tersebut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg