Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PSP rancang tanding di SMC Marymount, Kebun Baru dan Pioneer

Apr 12, 2025 | 7:19 PM
Menteri Negara (Pendidikan merangkap Tenaga Manusia) yang juga Anggota Parlimen SMC Marymount daripada Parti Tindakan Rakyat (PAP), Cik Gan Siow Huang, bertembung dengan setiausaha agung Parti Kemajuan Singapura (PSP), Encik Leong Mun Wai (tengah), dan seorang anggota parti itu, Encik Jeffrey Khoo, semasa lawatan mereka ke Bishan Street 22 pada 12 April.
Menteri Negara (Pendidikan merangkap Tenaga Manusia) yang juga Anggota Parlimen SMC Marymount daripada Parti Tindakan Rakyat (PAP), Cik Gan Siow Huang, bertembung dengan setiausaha agung Parti Kemajuan Singapura (PSP), Encik Leong Mun Wai (tengah), dan seorang anggota parti itu, Encik Jeffrey Khoo, semasa lawatan mereka ke Bishan Street 22 pada 12 April. - Foto ST

Parti Kemajuan Singapura (PSP) mahu bertanding di sekurang-kurangnya tiga Kawasan Undi Perseorangan (SMC) dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).

Barisan pemimpin PSP turun padang di SMC Pioneer, SMC Kebun Baru dan SMC Marymount bagi memperkenalkan muka-muka baru parti itu di kawasan tersebut pada 12 April.

Pengerusi PSP, Dr Tan Cheng Bock, berkata bertanding di SMC adalah sebahagian daripada usaha parti itu untuk lebih tertumpu. Namun, beliau tidak menolak kemungkinan partinya bertanding di kawasan undi lain.

PSP bertanding di ketiga-tiga SMC itu semasa kemunculan sulungnya pada GE2020.

Dr Tan berkata demikian kepada media selepas lawatan ke kedai kopi Blok 651, Jurong Street 61, dan kawasan sekitarnya, yang merupakan sebahagian daripada SMC Pioneer.

Beliau diapit calon PSP di SMC Pioneer pada GE2020, Encik Lim Cher Hong, dan muka baru, Cik Stephanie Tan.

“Buat masa ini, kami sedang menilai untuk bertanding dalam tiga SMC ini. Tetapi ia tidak menghalang kami bertanding di kawasan lain. Kami perlu realistik – kami berusaha dalam keupayaan dan kebolehan kami,” ujarnya

Cik Tan dilihat bersama Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) yang juga naib pengerusi pertama PSP, Cik Hazel Poa, semasa lawatan di Pasar Boon Lay Place pada 5 April.

Dr Tan menambah bahawa parti itu akan memutuskan menjelang Hari Penamaan Calon anggotanya yang sesuai dikemukakan di kawasan yang ia ingin ditandingi.

Hal itu turut dikongsi setiausaha agung PSP yang juga NCMP, Encik Leong Mun Wai, selepas lawatan ke Pusat Beli-Belah Bishan North, yang terletak dalam SMC Marymount.

Menurut The Straits Times (ST), Encik Leong dilihat bersama seorang bekas anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) PSP, Encik Jeffrey Khoo.

Beliau berkata parti itu masih menilai barisan calon yang terbaik untuk dikemukakan pada GE2025.

Bagi SMC Kebun Baru, PSP dilihat mengadakan lawatan di Pusat Pasar dan Makanan Mayflower, yang diketuai Cik Poa.

Beliau disertai suaminya, Encik Tony Tan, yang Cik Poa sifatkan sebagai “salah satu calon berpotensi”.

Cik Poa berkongsi bahawa ruang pilihan masih terbuka bagi parti itu memutuskan sama ada akan mengetengahkan dirinya atau Encik Leong dalam SMC.

Sementara itu, Dr Tan berkata parti itu akan berkempen seperti biasa dan tiada perubahan dijangkakan. Namun, beliau berkata mereka akan cuba mendekali lebih ramai penduduk.

Ini kerana parti itu kini boleh memberikan lebih perhatian, memandangkan bilangan calon yang ditampilkan dalam GE2025 tidak seramai sebelum ini.

Pada GE2020, PSP menampilkan 24 calon yang bertanding dalam empat GRC dan lima SMC.

Setakat ini, PSP telah mengesahkan hasrat bertanding dalam sekurang-kurangnya dua GRC – West Coast-Jurong West dan GRC Chua Chu Kang.

Semasa melancarkan manifesto parti itu pada 6 April, Encik Leong berkata bilangan calon yang akan ditampilkan pada GE2025 lebih rendah berbanding GE2020. Namun, beliau tidak menyatakan bilangannya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg