Pengasas Parti Kemajuan Singapura (PSP), Dr Tan Cheng Bock, berkata pada 10 Mei bahawa beliau tidak akan terlibat dalam Pilihan Raya Umum (GE) akan datang, tetapi parti itu akan kembali untuk pusingan seterusnya, lapor The Straits Times.
Beliau berkata: “Kami datang ke sini hari ini untuk mengucapkan terima kasih kepada mereka yang mengundi kami, dan juga untuk menunjukkan kepada mereka yang tidak mengundi kami bahawa kami tidak lari.
“Kami akan kembali, mungkin dalam masa lima tahun. Pada masa itu, saya berharap pasukan yang lebih muda akan mengambil alih, dan saya berharap orang ramai akan melihat kami dengan cara yang berbeza.”
Dr Tan dan ketua parti Encik Leong Mun Wai memberi ucapan ringkas kepada media sebelum berlegar-legar di Pasar West Coast di Blok 726 West Coast Road.
Kunjungan itu diadakan tujuh hari selepas PSP kalah kesemua enam kawasan yang ditandinginya dalam pilihan raya umum pada 3 Mei.
Dr Tan berkata pihaknya telah memberi tentangan yang baik.
“Ia adalah satu perjalanan yang baik untuk kami, untuk golongan muda. Mereka tahu bagaimana rasanya bertarung dengan semua kemungkinan menentang anda,” katanya.
“Pada akhirnya, kami tidak melakukannya dengan baik. Saya tidak mahu menyalahkan sesiapa sekarang.
“Saya fikir perkara yang penting ialah kami hanya memandang ke hadapan untuk melihat bagaimana kami boleh melatih anggota yang lebih muda untuk memahami apa itu politik dan bagaimana keadaannya,” tegas beliau.
Dr Tan berkata beliau akan kekal dalam parti untuk menasihati generasi muda.
Beliau menyambut hari lahirnya yang ke-85 pada 26 April, semasa berkempen.
PSP mengesahkan bahawa Dr Tan akan bersara daripada politik pilihan raya, bermakna beliau tidak akan bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.
“Saya cuba yang terbaik. Saya fikir mungkin mereka (pengundi) fikir: “Kami belum bersedia”, tetapi tidak mengapa, kerana Parti Pekerja mengambil masa kira-kira 60 tahun untuk hanya memperoleh 10 kerusi.
“Saya beritahu mereka (anggota PSP) jangan patah semangat. Sekurang-kurangnya kami diberi peluang awal. Tapi tak kisahlah, kami akan belajar dan kembali lagi,” tambahnya.
Encik Leong berkata: “PSP tidak akan lari. Kami akan merenung, berkumpul semula dan kembali.”
Pasukan PSP yang termasuk tiga pemimpin kanannya – Dr Tan, Encik Leong dan Cik Hazel Poa – tewas di GRC West Coast-Jurong West.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg