Usaha memperkukuh program untuk masyarakat Melayu/Islam, terutama bagi golongan belia akan menjadi tumpuan Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam sekiranya beliau dipilih meneruskan khidmatnya sebagai Anggota Parlimen (AP).

Ini dengan harapan golongan ini akan dapat terus menjadi tonggak masyarakat yang boleh membantu menaik tarafkan kehidupan keluarga mereka, kata beliau.

“Kita telah mula dengan beberapa program untuk belia dan anak-anak muda. Saya berharap untuk meningkatkan lagi program ini.

“Kita akan lihat pada generasi akan datang yang dapat menjadi tonggak masyarakat, yang boleh bantu menaik tarafkan kehidupan keluarga mereka,” katanya.

Cik Rahayu berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Berita Harian (BH) di sidang media pengumuman calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi GRC Jurong East-Bukit Batok dan SMC Jurong Central untuk Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) di Majlis Bandaran Jurong-Clementi pada 14 April.

Dalam interaksi bersama penduduk, Cik Rahayu dapati isu-isu seperti kos kehidupan, persekolahan dan anak, serta perumahan menjadi kebimbangan mereka.

Justeru itu, beliau akan terus membawa sama rakan-rakan kerja seperti masjid dan Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (Mesra) untuk menguatkan lagi sokongan untuk penduduk Melayu Islam, katanya.

Cik Rahayu turut akur rakyat Singapura mempunyai aspirasi untuk perubahan serta keinginan menambah suara pembangkang di dalam pemerintah.

Lantas, beliau dan teman seperjuangannya akan memasuki GE2025 dengan rendah hati dan meneruskan usaha baik yang telah dilakukan selepas pilihan raya.

“Kami akan berusaha sedaya upaya memenuhi janji kami, terus berkhidmat kepada masyarakat dan menyerahkan kepada masyarakat (untuk memilih).

“Kami mengharapkan sokongan, dengan harapan usaha yang telah kami tunjukkan pada tahun-tahun yang lalu dan pengalaman teman-teman saya... cukup untuk memberi keyakinan dan juga mengajak penduduk untuk beri sokongan agar kami dapat terus memperbaiki estet ini dan berkhidmat kepada masyarakat,” katanya.

Calon PAP di GRC Jurong East-Bukit Batok dan SMC Jurong Central dilihat beramah tamah dengan penduduk di Pasar dan Pusat Penjaja Yuhua.
Calon PAP di GRC Jurong East-Bukit Batok dan SMC Jurong Central dilihat beramah tamah dengan penduduk di Pasar dan Pusat Penjaja Yuhua. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Kedua-dua GRC Jurong East-Bukit Batok dan SMC Jurong Central merupakan sempadan yang baru diperkenalkan untuk GE2025.

Menurut laporan Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC), GRC Jurong East-Bukit Batok terdiri daripada beberapa kawasan – GRC Jurong, SMC Yuhua, SMC Bukit Batok, SMC Hong Kah North – sebanyak 142,510 pengundi.

SMC Jurong Central pula terdiri daripada kawasan GRC Jurong dan SMC Yuhua.

Untuk hampir sedekad, Cik Rahayu telah berkhidmat di Bukit Batok East di bawah GRC Jurong.

Ini bermakna GE2025 merupakan kali pertama beliau bertanding di kawasan baru, selepas dipilih menjadi AP untuk GRC Jurong pada 2015.

Pasukan itu juga akan bertanding tanpa mantan Menteri Kanan, Encik Tharman Shanmugaratnam, selepas beliau meletak jawatan pada 2023 untuk bertanding dalam Pilihan Raya Presiden.

Tuan Presiden telah menerajui GRC Jurong dan merupakan kawasan PAP berprestasi terbaik secara konsisten dalam GE sebelum ini, memperoleh 79.29 peratus undian pada GE2015 dan 74.61 peratus pada GE2020.

GRC Jurong East-Bukit Batok akan diterajui oleh Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, di samping anggota lain, iaitu Menteri Negara (Pengangkutan merangkap Undang-Undang), Encik Murali Pillai; dan dua muka baru, Encik David Hoe dan Encik Lee Hong Chuang; serta Cik Rahayu.

Encik Xie Yao Quan, yang kini mewakili kawasan Jurong Central di bawah GRC Jurong, pula diumumkan sebagai calon PAP di SMC Jurong Central.

Encik Xie Yao Quan, yang kini mewakili kawasan Jurong Central di bawah GRC Jurong, diumumkan sebagai calon PAP di SMC Jurong Central. 
Encik Xie Yao Quan, yang kini mewakili kawasan Jurong Central di bawah GRC Jurong, diumumkan sebagai calon PAP di SMC Jurong Central.  - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Cik Rahayu akur walaupun GRC Jurong mempunyai keputusan yang baik sebelum ini, kesudahan GE2025 belum lagi pasti.

“Walaupun keputusan yang lalu baik, itu tidak bermakna kami tidak akan berusaha.

“Kerana keputusan itu baik, ia merupakan satu motivasi dan inspirasi untuk kami terus berusaha keras, berkhidmat memberikan yang terbaik untuk penduduk dan itu menjadi sesuatu yang kami akan terus lakukan,” ujarnya.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti