Rakyat digesa agar tidak ambil mudah sikap saling hormati, kepercayaan antara kaum

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rakyat digesa agar tidak ambil mudah sikap saling hormati, kepercayaan antara kaum

Faishal harap perbezaan dalam kalangan masyarakat tidak dieksploitasi di S’pura
Oct 15, 2025 | 8:25 PM

Rakyat digesa agar tidak ambil mudah sikap saling hormati, kepercayaan antara kaum

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim , Singapura, sikap saling hormati
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, menggesa rakyat Singapura agar tidak mengambil mudah sikap saling hormat menghormati dan kepercayaan yang telah diperkukuh antara masyarakat yang berbeza sejak bertahun-tahun lamanya. - Foto ZAOBAO

Rakyat Singapura tidak boleh mengambil mudah sikap saling hormat menghormati dan kepercayaan yang telah diperkukuh antara masyarakat yang berbeza sejak bertahun lamanya, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Dalam video yang dimuat naik di Facebook pada 15 Oktober, Dr Faishal, yang juga Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), turut menggesa rakyat Singapura agar tidak sesekali membenarkan perbezaan dalam kalangan masyarakat dieksploitasi di Singapura.

“Selama bertahun-tahun, hidup bersama dan saling hormat menghormati antara satu sama lain telah mengukuhkan kepercayaan yang mengikat masyarakat kita.

“Kita tidak boleh mengambil mudah.

“Di seluruh dunia, kita telah melihat betapa cepatnya keharmonian boleh terungkai apabila perbezaan dieksploitasi.

“Kita tidak boleh biarkan perkara itu berlaku di sini, di Singapura,” kata Dr Faishal.

Dr Faishal berkata demikian dalam video tersebut bagi menggulung perbincangan yang diadakan di Parlimen berkenaan Kenyataan Menteri yang disampaikan Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Encik K. Shanmugam, pada 14 Oktober.

Semasa ucapannya, Encik Shanmugam, yang juga Menteri Ehwal Dalam Negeri, telah menggesa parti politik dan ahli politik untuk menjauhi politik identiti dengan menolak usaha menggunakan kaum dan agama dalam pilihan raya untuk kemenangan politik yang mudah.

Beliau telah menetapkan prinsip asas yang menyokong pendekatan Singapura terhadap kaum dan agama, serta bagaimana ahli politik di sini harus bertindak balas terhadap percubaan masa depan untuk mencetuskan isu sedemikian.

Kenyataannya mendapat respons daripada beberapa Anggota Parlimen (AP), termasuk Ketua Pembangkang, Encik Pritam Singh, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim (GRC Chua Chu Kang), Encik Saktiandi Supaat (GRC Bishan-Toa Payoh), dan Cik Hazlina Abdul Halim (GRC East Coast).

Encik Zhulkarnain telah bertanya sama ada masyarakat Melayu/Islam disasarkan dalam ucapan Encik Shanmugam, manakala Cik Hazlina berkata kepelbagaian identiti warga Singapura harus sentiasa menjadi “kekuatan kita, bukan kelemahan kita”.

Encik Saktiandi pula mengutarakan perihal melindungi kepercayaan yang menyatukan rakyat Singapura, manakala Dr Charlene Chen (GRC Tampines) dan Encik Xie Yao Quan (SMC Jurong Central) menegaskan semula keharmonian sebagai tanggungjawab semua orang.

Dalam video di Facebook, Dr Faishal memuji mereka kerana bertanya soalan penting di Parlimen “secara bertanggungjawab dan berhati-hati” sambil memastikan suara dan kebimbangan masyarakat dapat didengari.

“Mereka mengingatkan kita apa yang menjadikan Singapura istimewa – bahawa pemimpin pengasas kita mempunyai keberanian untuk membina sebuah negara berbilang kaum dan agama

“Keberanian itu terus membimbing kita sehingga hari ini,” ujar Dr Faishal.

Dr Faishal menekankan walaupun masyarakat Melayu/Islam mungkin menjadi sasaran semasa Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), ia tidak terikut dengan “mereka yang cuba memecahbelahkan kita pada masa lalu”.

“Orang lain juga telah cuba menghasut masyarakat Cina dan masyarakat lain dengan cara yang sama,” kata Dr Faishal.

“Tetapi rakyat Singapura dari setiap kaum dan agama, telah menunjukkan kita menolak politik sedemikian.

“Kita akan terus mengatasi percubaan untuk memecahbelahkan kita,” tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg