Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rancangan pembaharuan kepimpinan giat berlangsung sejak penubuhan PSP

Apr 26, 2025 | 7:55 PM
Pengerusi Parti Demokratik Singapura (SDP) dan calon SMC Bukit Panjang, Dr Paul Tambyah (paling kiri), meraikan hari lahir ke-85 pengerusi Parti Kemajuan Singapura (PSP) yang juga calon GRC West Coast-Jurong West, Dr Tan Cheng Bock (paling kanan), bersama anggota PSP lain sebelum sesi lawatan di Pusat Makanan dan Pasar Teban Gardens pada 26 April.
Pengerusi Parti Demokratik Singapura (SDP) dan calon SMC Bukit Panjang, Dr Paul Tambyah (paling kiri), meraikan hari lahir ke-85 pengerusi Parti Kemajuan Singapura (PSP) yang juga calon GRC West Coast-Jurong West, Dr Tan Cheng Bock (paling kanan), bersama anggota PSP lain sebelum sesi lawatan di Pusat Makanan dan Pasar Teban Gardens pada 26 April. - Foto ST

Rancangan pembaharuan kepimpinan telah diorak sejak Parti Kemajuan Singapura (PSP) mula diasaskan pada 2019, kata naib pengerusi pertama parti, Cik Hazel Poa.

Ini setelah pengasas dan pengerusi parti, Dr Tan Cheng Bock, memegang jawatan setiausaha agung selama dua tahun apabila parti itu diasaskan sebelum menyerahkan jawatan itu kepada anggota lebih muda, katanya.

“Dari situ (detik peralihan jawatan) bermulanya proses pembaharuan parti bagi memberi ruang kepada anggota lebih muda secara beransur,” katan Cik Poa.

Beliau berkata demikian kepada pihak media sebelum sesi lawatan ke Pusat Makanan dan Pasar Teban Gardens pada 26 April.

Dr Tan dan Cik Poa merupakan anggota calon parti yang bertanding bagi GRC West Coast-Jurong West, di samping setiausaha agung PSP, Encik Leong Mun Wai, Encik Sani Ismail dan Encik Sumarleki Amjah.

Beliau berkata demikian memandangkan Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) mungkin adalah yang terakhir bagi Dr Tan sebelum beliau mengundurkan diri daripada politik.

Dr Tan adalah setiausaha agung parti dari 2019 hingga 2021, sebelum menyerahkan tampuk pimpinan kepada Encik Francis Yuen pada 2021.

Ketua parti semasa, Encik Leong Mun Wai, mengambil alih jawatan daripada Encik Yuen pada 2023.

Cik Poa menambah setakat ini, tiada penduduk (yang telah berinteraksi dengan beliau) merasakan proses pembaharuan adalah satu masalah kerana mereka “dapat menilai terdapat anggota lain dalam PSP yang dapat mengambil alih tampuk pimpinan”.

Sesi lawatan itu menyaksikan barisan calon, sukarelawan dan anggota parti meraikan hari lahir Dr Tan yang ke-85, dengan disertai pengerusi Parti Demokratik Singapura (SDP), Dr Paul Tambyah.

Dr Tan berkata harapan hari lahirnya adalah agar Singapura maju jaya pada tahun-tahun akan datang, dan beliau ingin menjadi “sebahagian daripada pasukan yang akan membawa Singapura melangkah jauh”.

“Walaupun pada usia saya, saya masih rasa saya ingin menyumbang dalam apa cara sekalipun,” ujarnya.

Dr Paul menyifatkan Dr Tan sebagai “rakan yang sangat baik”.

“Dr Tan adalah kawan lama keluarga saya. Ayah saya mengenalinya... ayah saya memberitahu saya awal-awal lagi ‘Dengar Dr Tan, beliau tahu apa yang berlaku dalam penjagaan kesihatan’,” kata Dr Paul, seorang perunding kanan penyakit berjangkit di Hospital Universiti Nasional (NUH).

Cik Poa berkata Dr Tan “sangat berani” mengutarakan berlandaskan keyakinan diri.

Beliau menukil contoh semangat Dr Tan yang telah mendesak supaya tempat letak kereta adalah percuma pada Ahad dan cuti umum agar keluarga dapat meluangkan lebih banyak masa bersama.

“Itulah semangat yang kami mahu kekalkan – kami perlu berkata benar kepada (pihak) berkuasa,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg