Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

RDU gesa kepimpinan lebih adil, terangkum

Ravi Philemon: RDU tekad berkhidmat lebih daripada yang diperlukan rakyat
May 1, 2025 | 10:47 PM
Cik Liyana Dhamirah menyertai pasukan Titik Merah Bersatu (RDU) setelah dapat bangkit semula daripada kesusahan hasil pertolongan Setiausaha Agung RDU, Encik Ravi Philemon, pada 2009.
Cik Liyana Dhamirah menyertai pasukan Titik Merah Bersatu (RDU) setelah dapat bangkit semula daripada kesusahan hasil pertolongan Setiausaha Agung RDU, Encik Ravi Philemon, pada 2009. - Foto TANGKAP LAYAR VIDEO RAPAT RDU

Calon parti pembangkang Titik Merah Bersatu (RDU) menyarankan kepimpinan lebih bertanggungjawab dan dasar lebih positif di rapat terakhir pada 1 Mei.

Bendahari RDU yang juga calon bagi GRC Jurong East-Bukit Batok, Cik Liyana Dhamirah, berkongsi pengalaman peribadi ketika sarat hamil dan hidup gelandangan sekitar 2009 untuk menampilkan peri penting dasar lebih terangkum, yang mengurangkan ketidaksaksamaan dan menyokong golongan terpinggir.

Saya tahu apa rasanya berjimat setiap sen, saya tahu apabila kebimbangan bertambah di hujung bulan,” katanya yang juga telah mencatatkan kisahnya dalam sebuah biografi, ‘Homeless - The Untold Story of a Mother’s Struggle in Crazy Rich Singapore’.

Menurut Cik Liyana, kisahnya itu cerminan yang kekal ada dalam kumpulan tertentu dalam masyarakat yang masih terpinggir seperti ibu tunggal, individu bergaji rendah dan warga emas.

Dalam ucapannya, ibu empat anak itu berjanji menjadi suara rakyat biasa, terutama bagi masyarakat Melayu dan sokongannya untuk politik yang berteraskan empati, tetapi bukan elitisme.

Cik Liyana turut menyuarakan hasrat memperjuangkan nasib masyarakat Melayu dengan lebih tegas.

Ia termasuk memelihara bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang dihormati.

Beliau juga ingin memberi penghargaan kepada tokoh masyarakat yang sering terpinggir.

RDU antara parti yang menampilkan ramai calon bagi Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).

Ia menghantar 15 calon untuk bertanding di enam kawasan undi.

Kesemua calon itu hadir di rapat yang diadakan di padang bersebelahan Futsal Arena @Yishun, di mana kesemua calon bagi enam kawasan pilihan raya tampil berucap di hadapan penyokong mereka pada Hari Pekerja, 1 Mei.

Mereka turut melafazkan ikrar negara bersama-bersama di pentas di akhir rapat.

Sementara itu, Setiausaha Agung RDU, Encik Ravi Philemon, yang bertanding di GRC Nee Soon menekankan peri penting kepimpinan yang telus dan bertanggungjawab.

Menurutnya Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, turut mengiktiraf RDU sebagai parti kedua terbesar, setelah Parti Pekerja (WP) pada Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).

“Ini tidak berlaku secara kebetulan. Bagaimana perkara seperti ini boleh berlaku tanpa tenaga kerja? Bagaimana ini boleh berlaku tanpa wang? Bagaimana ini boleh berlaku tanpa kita menggerakkan rakyat kita dengan betul untuk berjuang dalam kempen ini?

“Seharusnya jelas kepada anda bahawa kami adalah pihak yang akan membuat lebih dari yang diperlukan,” kata beliau.

Encik Ravi turut mengingatkan orang ramai bahawa perjuangan RDU bukan tentang merebut kuasa, tetapi tentang memperjuangkan kehidupan yang lebih baik untuk semua rakyat.

Menurutnya, Singapura hari ini berdepan jurang kelas yang semakin luas dan hanya perubahan politik yang berani boleh merapatkan jurang tersebut.

“Ia sentiasa mengenai rakyat, tidak ada kaitan dengan kepentingan peribadi. Jangan sekali-kali berkata – apa yang terbaik untuk parti, sentiasa berfikir – apa yang terbaik untuk rakyat.

“Kami berada di persimpangan jalan. Apa jua bangsa anda, apa sahaja bahasa anda, apa sahaja yang anda perkatakan, agama yang anda amalkan atau tidak amalkan, sama ada anda kaya atau miskin atau hanya berpendapatan sederhana, kita mesti bersatu,” kata Encik Ravi meminta penyokong menyertai RDU dalam perjuangannya untuk membina Singapura yang lebih bersifat terangkum.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg