Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SM Lee gesa warga bersatu sebagai pasukan Team Singapore bagi hadapi cabaran sejagat

Lahirkan ucapan terima kasih kepada penduduk atas sokongan pada pemerintah
Apr 12, 2025 | 4:35 PM
Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, berucap di hadapan penduduk Ang Mo Kio semasa acara kemasyarakatan di Pasar dan Pusat Makanan Masak Cheng San pada 12 April.
Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, berucap di hadapan penduduk Ang Mo Kio semasa acara kemasyarakatan di Pasar dan Pusat Makanan Masak Cheng San pada 12 April. - Foto ST

Rakyat Singapura perlu bekerjasama sebagai pasukan Team Singapore dalam menghadapi sekitaran luaran yang mencabar, termasuk tarif terkini Amerika Syarikat dan tarif timbal balas China.

Ini kerana semua itu akan mewujudkan kesan terhadap perdagangan sejagat, kata Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, kepada penduduk Ang Mo Kio dalam acara kemasyarakatan di Pasar dan Pusat Makanan Masak Cheng San, pada 12 April.

Encik Lee yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Ang Mo Kio, berkata:

“Semua ini adalah masalah luaran, dan apakah yang boleh kita lakukan mengenainya adalah dengan bekerjasama dalam negara sebagai satu pasukan Team Singapore, untuk menanganinya secara sepakat sebagai sebuah negara.

“Kita mempunyai tanggungjawab untuk melindungi rumah kita, masa depan kita, rakyat kita... bekerjasama bagi memberikan Singapura masa depan yang lebih baik.”

Awal daripada ini, China telah menaikkan tarif ke atas import Amerika kepada 125 peratus, sebagai tindak balas kepada keputusan Presiden Amerika, Encik Donald Trump, yang meningkatkan duti ke atas barangan China kepada 145 peratus.

Amerika turut mengenakan tarif asas 10 peratus ke atas kebanyakan import mereka, termasuk dari Singapura.

Ini telah menyebabkan turun naik harga pasaran dan kemungkinan akan memberi kesan kepada rantaian bekalan sejagat.

Encik Lee turut melahirkan ucapan terima kasih kepada penduduk atas sokongan mereka selama ini, dan menggesa mereka supaya terus menyokong pemerintah.

“Bagi mereka yang seusia saya, kebimbangan terbesar dalam hidup adalah tentang cucu kita.

“Apakah yang akan berlaku kepada mereka? Dunia bagaimakah yang akan mereka hadapi apabila dewasa kelak? Apakah yang boleh kita lakukan bagi memastikan mereka mendapat peluang terbaik?,” ujar beliau.

Di samping itu, Encik Lee turut menggesa penduduk supaya “berfikir dengan teliti” dan bekerjasama bagi memastikan cucu-cucu tersebut mendapat peluang terbaik dalam hidup, lapor The Straits Times (ST).

Seruan beliau itu dibuat tatkala parti politik bersiap menghadapi Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) yang harus diadakan tahun ini.

Bagi Encik Lee, beliau gembira dengan penambahbaikan di kawasan kejiranan itu. Turut bersama beliau ialah AP GRC Ang Mo Kio, Cik Nadia Samdin, yang bertanggungjawab bagi divisyen, Cheng San-Seletar.

Menurut Encik Lee, meskipun dunia bergolak, Singapura masih berupaya meningkatkan kemudahan dan kawasan kejiranannya.

Antara penambahbaikan di kawasan tersebut termasuk peningkatan bagi Pasar dan Pusat Makanan Masak Cheng San, serta pembaikan dan pengubahsuaian di Pasar dan Pusat Makanan Chong Boon. 

Lebih 40 peratus penduduk Cheng San-Seletar berumur 60 tahun ke atas.

Justeru empat kawasan di Chong Boon akan dinaik taraf dengan kemudahan mesra warga emas, termasuk laluan berbumbung, tanjakan, tempat turun, serta pusat dan sudut kegiatan warga emas.

Ang Mo Kio kekal sebagai GRC terbesar dengan 161,235 pengundi walaupun Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Jalan Kayu baru dipecahkan dari GRC tersebut.

SMC baru itu mengambil kawasan yang kini berada dalam lingkungan Jalan Kayu serta sebahagian dari kawasan Fernvale.

GRC Ang Mo Kio dilihat sebagai kubu kuat Parti Tindakan Rakyat (PAP), dengan pasukan tersebut memperoleh 71.9 peratus undi sah pada Pilihan Raya Umum 2020 (GE2020) menentang pasukan Parti Pembaharuan (RP).

GRC itu dijangka menyaksikan pertempuran tiga penjuru dalam pilihan raya akan datang, dengan dua parti pembangkang mempertaruhkan kawasan itu.

Pada 5 April, Setiausaha Agung Parti Kuasa Rakyat (PPP), Encik Goh Meng Seng, berkata parti itu akan meletakkan pasukan di GRC Ang Mo Kio yang akan diketuai bendahari parti, Encik William Lim, 47 tahun, yang bekerja sebagai penyedia perkhidmatan limousin. 

Parti Bersatu Singapura (SUP) juga mengumumkan akan bertanding di GRC Ang Mo Kio.

Setiausaha Agung SUP, Encik Andy Zhu, dan pasukannya, yang pernah bertanding di GRC tersebut pada GE2020 di bawah bendera RP, meraih 28.09 peratus undi pada waktu itu.

Encik Zhu memberitahu wartawan pada 10 April bahawa SUP dan PPP gagal mencapai persetujuan untuk mengelak pertembungan tiga penjuru.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg