Ikuti Live Blog kami di sini.
Calon Parti Demokratik Singapura (SDP) bagi GRC Marsiling-Yew Tee, Setiausaha Penganjur parti, Encik Muhammad Jufri Mohd Salim, menggesa supaya jawatan Mayor dihapuskan, semasa rapat Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) bagi SMC Sembawang West yang diadakan di Sekolah Rendah Evergreen.
Katanya, penjimatan dana bagi jawatan tersebut boleh digunakan untuk membantu rakyat Singapura yang sedang menghadapi kesukaran dengan kos sara hidup.
“Boleh saya tanya anda semua satu soalan mudah? Anda tahu siapa Mayor anda? Mereka hanya muncul bagi upacara memotong reben dan menerima gaji enam angka setahun,” kata Encik Jufri.
Beliau membandingkan gaji tinggi itu dengan kesusahan yang dihadapi rakyat biasa.
“Sementara kita semua cuba mencari jalan untuk membayar bil utiliti seterusnya, perbezaannya amat ketara. Sebab itu kami kata, sekali lagi, hapuskan jawatan Mayor ini,” tambahnya.
Encik Jufri turut menggariskan gaji menteri yang tinggi, dengan menyatakan bahawa gaji tahunan Perdana Menteri Singapura ialah $2.2 juta manakala seorang menteri peringkat permulaan menerima gaji $1.1 juta setahun.
Beliau menggesa agar kadar gaji itu dipotong.
Encik Jufri menekankan bahawa hasil penjimatan daripada penghapusan jawatan Mayor dan pemotongan gaji menteri boleh disalurkan kepada perkhidmatan penting seperti penjagaan kesihatan, perumahan dan pendidikan yang lebih memerlukan dana.
“Kami rasa kesakitan anda, perjuangan anda, harapan anda. Tolong berikan kami peluang untuk berkhidmat kepada anda,” ujarnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg